Wednesday 16 March 2016

WHAT IS MANAGEMENT?


Di sini akak kongsikan bersama tugasan akak untuk semester yang lalu berkenaan topik Pengurusan. Di harap boleh dijadikan bahan bacaan, pengetahuan, rujukan dan panduan untuk rakan-rakan yang mengambil course yang sama di luar sana. Dan dikesempatan ini, akak nak ucapkan jutaan terima kasih kepada tutor akak Pn Zubidah Binti Ahmad yang banyak memberikan tunjur ajar, idea, motivasi dan juga sokongan, Tanpa guideline yang diberikan, tak mungkin akak dapat menyiapkan tugasan dengan baik dan berkesan. Semoga bermanfaat untuk semua,


APA ITU PENGURUSAN?


1.0 PENGENALAN
Apakah yang dimaksudkan dengan Pengurusan? Pengurusan itu boleh ditakrifkan sebagai satu proses mentadbir dan mengurus untuk merancang, mengorganisasi, memimpin dan mengawal sumber-sumber secara berkesan dan cekap untuk mencapai matlamat organisasi yang telah ditetapkan. Pengurusan adalah sangat penting untuk menentukan jatuh dan bangunnya sesebuah syarikat dan organisasi. Menurut Farah Megat (2015) seperti yang dinyatakan oleh Hodge B.J (2003), pengurusan adalah suatu proses yang berterusan meliputi  proses perancangan, pengorganisasian, kepimpinan, penilaian dan juga pengawalan terhadap segala tugas dan tanggungjawab setiap ahli dalam organisasi bagi mencapai setiap objektif yang telah ditetapkan. Manakala Prof Henry Mintzberg (1980) pula berpendapat, pengurusan itu adalah satu usaha untuk meramal dan merancang, mengorganisasi, mengarah, mengkoordinasi dan juga mengawal. Sebenarnya, kejayaan dan kegagalan sesebuah organisasi itu bukanlah terletak pada kecekapan dan keberkesanan dari pengurusan semata-mata, tetapi peranan yang dimainkan oleh seseorang pengurus juga perlu di ambil kira. Pengurus adalah individu yang bertanggungjawab untuk memastikan setiap tugas-tugas dapat dilaksanakan dengan jayanya oleh setiap pekerja dalam sesebuah organisasi.  J.Penc (2000) berpendapat, pengurus adalah orang yang ditugaskan untuk mengurus, memenuhi semua fungsi dan menggunakan sebahagian atau semua sumber-sumber untuk mencapai matlamat organisasi. Setiap pengurus adalah cenderung untuk menggalas tugas dan peranan yang berbeza pada setiap hari. Pengurus dapat dibezakan berdasarkan daripada peringkat, kedudukan dan juga fungsi mereka dalam organisasi.
Terdapat enam peranan penting yang dimainkan oleh setiap pengurus dalam sesebuah organisasi iaitu peranan sebagai tunggak, pemimpin, pegawai perhubungan, jurucakap, perunding dan pencetus idea.

1.1       Peranan sebagai Tunggak
            Seorang pengurus berperanan sebagai ketua atau simbolik, dan merupakan individu yang terpenting dalam organisasi. Dalam organisasi, pengurus perlu bertindak sebagai wakil dan melakukan tugas rutin yang bersifat rasmi, sosial atau perundangan. Antara contoh-contoh peranan ketua ialah sebagai canselor universiti yang menyampaikan sijil kepada graduan, pengurus besar yang terlibat dalam setiap pelancaran produk-produk baharu dan juga meraikan tetamu-tetamu dari luar untuk makan tengah hari.

1.2       Peranan sebagai Pemimpin
            Sebagai seorang pengurus, secara tidak langsung pengurus juga memainkan peranan sebagai seorang pemimpin. Setiap pengurus perlu untuk memberikan motivasi dan semangat kepada pekerja bawahan untuk bekerja dengan lebih baik dan berdedikasi. Menurut Farah Megat (2015), sebagai pemimpin, tugas pengurus melibatkan penyediaan matlamat, mewujudkan tindakan yang terperinci dan mengagihkan sumber. Pengurus bertanggungjawab dalam memberikan arahan, mengawal dan menyelaras aktiviti-aktiviti orang bawahan malah membantu untuk menyelesaikan masalah dan juga perkara-perkara yang berbangkit.
1.3       Peranan sebagai Pegawai Perhubungan
            Fara Megat (2015), menjelaskan seorang pengurus turut memainkan peranan sebagai penyampai maklumat dan perlu meluangkan masa untuk berinteraksi dengan rakan niaga dan pihak di luar unit dan juga organisasi. Ini adalah untuk memudahkan urusan seperti persetujuan bersama, kontrak, penerimaan arahan dan melakukan tugas-tugas penting untuk organisasi. Dalam organisasi, seseorang pengurus perlu berhubung dengan pengurus-pengurus yang lain dan juga individu-individu yang lain serta mempunyai hubungan yang baik dengan mereka bagi melicinkan urusan kerja. Sebagai contoh, seorang pengurus jualan perlu berbincang dengan seorang pengurus pemasaran untuk urusan memasarkan produk keluaran yang terbaru.

1.4       Peranan sebagai Jurucakap Pengurus
            Menurut Hasrull Ramli, (2015) di dalam hal yang tertentu, pengurus perlu bertindak sebagai penyebar maklumat kepada orang yang berada di luar unitnya seperti badan-badan kerajaan, jabatan-jabatan lain, media, pelanggan dan kakitangan dalaman sendiri. Sebagai contoh, seorang pengurus perlu memberikan tindak balas atau respons yang pantas apabila timbul isu daripada pihak luar seperti menerima rungutan daripada pelanggan kerana kekurangan bekalan produk di pasaran.

1.5       Peranan sebagai Perunding
            Sebagai perunding pula, pengurus perlu memantau dan mencari penyelesaian bagi masalah yang dihadapi oleh syarikat seperti masalah jualan, cukai atau pengeluaran. Perundingan juga boleh berkaitan dengan kerja, prestasi, objektif, sumber-sumber dan juga perkara-perkara lain yang boleh mempengaruhi unitnya. Bak kata Leonard Sayles, “rundingan adalah jalan hayat untuk pengurus yang canggih”. Rundingan adalah tidak dapat lari daripada menjadi tugas pengurus kerana ini sudah menjadi sebahagian daripada tugasnya. (Hasrull Ramli, 2015)

1.6       Peranan sebagai Pencetus Idea
            Pengurus perlu melaksanakan tugas dan mengambil tindakan sebagai pencetus idea dalam hal-hal yang berkaitan dengan korporat dan transformasi. Tugas ini memerlukan beberapa strategi untuk membuat keputusan yang penting. Di dalam hal ini, pengurus mempunyai kuasa, maklumat dan juga berupaya mengawal sebarang keputusan penting yang dibuat. Untuk mencapai matlamat dan kemajuan, program-program penambahbaikan perlu ditetapkan dan dilaksanakan selepas mengenal pasti setiap masalah yang wujud.  Farah Megat (2015) menjelaskan, terdapat tiga proses yang dapat dijadikan panduan untuk memandu pekerja ke arah mencapai inisiatif perubahan. Tiga proses tersebut adalah seperti yang berikut :-
            1.6.1 Proses Keusahawanan
            1.6.2 Proses Pembangunan Keupayaan
            1.6.3 Proses Reformasi

1.6.1)   Proses Keusahawanan
            Setiap pengurus perlu mencuba untuk memperbaiki setiap unit-unitnya dengan mencari idea yang baru dan membawa perubahan. Mereka akan memulakan sesuatu program atau projek dengan mengumpulkan sumber dan mencari cara baru demi merealisasikan setiap idea yang dibawa.

1.6.2)   Proses Pembangunan Keupayaan
            Proses ini memperlihatkan bagaimana seseorang pengurus itu menangani setiap gangguan atau masalah yang wujud daripada persekitaran pekerja. Gangguan itu tidak semestinya daripada kakitangan tetapi juga timbul melalui sumber, ancaman atau kerana kesilapan yang dilakukan oleh orang lain ataupun inovasi mempunyai kesan-kesan yang tidak terjangka. Di sini, pengurus perlu memainkan peranan untuk mewujudkan persekitaran kerja yang sihat dan kondusif dengan memberikan semangat kepada setiap pekerja untuk lebih bertanggungjawab dan fokus. Jangan takut untuk membuat kesilapan kerana setiap kesilapan itu akan menjadikan seseorang itu lebih matang dan belajar daripada kesilapan yang telah dilakukan.

1.6.3)   Proses Reformasi
            Seorang pengurus yang berwibawa akan dapat mengesan situasi yang mungkin akan memberi cabaran kepada strategi organisasi serta andaian yang dibuat. Pengurus perlu bertanggungjawab dalam membentuk unit struktur, perhubungan rasmi dan menentukan cara bagaimana sesuatu kerja itu dapat dibahagikan serta diselaraskan. Oleh itu, pengurus mestilah membahagikan masanya dengan pekerja agar mereka sentiasa dapat berhubung dan membuat keputusan bersama.

             
2.0 ANALISIS ARTIKEL
Di bahagian ini akan membincangkan tiga artikel pendek dari majalah atau akhbar yang menggambarkan tiga peranan berlainan yang dimainkan oleh pengurus dalam organisasi. Saya akan cuba menjelaskan dan mengupas dengan lebih lanjut setiap peranan berserta dengan contoh yang dipetik daripada artikel majalah dan juga surat khabar. Tiga peranan pengurus yang akan dibincangkan ialah :

2.1 Pengurus Sebagai Pencetus Idea
2.2 Pengurus Sebagai Pemimpin
2.3 Pengurus Sebagai Perunding


2.1 Artikel 1
Pengurus Sebagai Pencetus Idea
Sumber : www.majalahniaga.com/majalah-niaga-edisi-29, 7 Oktober, 2015
Tuan Rafie Ramli dan Puan Felinna Nadea ialah pengurus yang berperanan sebagai Pencetus Idea kerana telah berjaya mewujudkan sebuah syarikat yang berjaya, Felinna Beauty. Sebagai Pencetus Idea, mereka mempunyai matlamat, misi dan visi yang lebih meluas untuk terus berjaya dan kekal maju. Selain itu, mereka di lihat lebih bersedia dan berani untuk membuat sebarang perubahan yang drastik atau transformasi dalam organisasi. Transformasi dalam konteks organisasi adalah merujuk kepada proses perubahan yang menyeluruh serata berorientasikan ke arah hala tuju yang baru dan memerlukan tahap keberkesanan yang berbeza. Untuk mencapai matlamat dan tujuan ini, seorang pengurus haruslah memainkan peranan sebagai pencetus idea, pereka dan penggalak kepada perubahan. Pengurus perlu bijak mengenal pasti sesuatu peluang yang dapat menaikkan keuntungan melalui projek atau strategi yang baru dalam urusan pengeluaran produk syarikat. Sesuatu projek itu haruslah melibatkan beberapa perkara seperti mengesyorkan pengeluaran produk-produk yang baru ataupun perkhidmatan baru yang dapat memenuhi kehendak semasa pelanggan, kempen perhubungan awam, peraliran dana yang di kemas kini, penyusunan semula bahagian organisasi yang lemah dan sebagainya. (Farah Megat, 2015)
 Di dalam artikel “Felinna Beauty Revolusi Produk Kecantikan Online” menceritakan bagaimana pemiliknya iaitu Tuan Rafie Ramli dan isterinya Puan Felinna Nadea tenggelam dalam kegagalan dan ujian yang bertimpa-timpa sebelum bangkit daripada kegagalan meneruskan bisnes dengan menjual tudung apabila ramai rakan yang memuji kecantikan tudung yang diperagakan dan seterusnya bangkit dengan produk sendiri dengan berbekalkan keuntungan yang disimpan. Melalui artikel tersebut, produk keluaran mereka yang melibatkan proses keusahawanan iaitu rangkaian produk kecantikan dan kesihatan wanita seperti Felinna Inchloss, PMCVC, Teaberry Juice, Hygienic Foam serta Curcuma Mangga Cure. Produk ini dilancarkan dan banyak dikeluarkan kerana mendapat banyak permintaan yang tinggi daripada pelanggan serta sambutan yang memberangsangkan terhadap produk-produk keluaran syarikat ini. Selain daripada itu, ciri-ciri keusahawanan pemilik Felinna Beauty terserlah apabila mereka bangkit kembali daripada kejatuhan dengan melakukan beberapa perubahan, strategi dan penghijrahan dalam beberapa aspek seperti mengubah perkara-perkara yang menyalahi syariat agama dengan lebih menekankan nilai-nilai murni dan mendekatkan diri kepada Allah s.w.t.
Felinna Beauty juga turut melakukan beberapa pembaharuan iaitu misi syarikat sudah bertukar tidak hanya kepada money oriented semata-mata supaya sesuai dengan peredaran semasa dan perkembangan sekeliling serta memperkukuhkan ukhuwah dan membantu orang lain seperti berkongsi pengalaman dan ilmu pengetahuan serta melakukan mentoring dan coaching kepada peniaga lain. Di samping itu, transformasi juga turut melibatkan agen-agen yang direkrut daripada kalangan orang yang menerima BRIM. Mereka akan memberikan latihan kepada penerima BRIM ini untuk berniaga supaya pendapatan mereka tidak akan putus. Secara tidak langsung, duit BRIM mereka dapat digunakan untuk memulakan perniagaan dan tidak disalurkan kepada perkara yang tidak perlu.
Analisis artikel ini turut mempamerkan peranan pengurus dalam proses pembangunan  keupayaan akibat daripada gangguan-gangguan seperti pengeluaran produk tiruan dan pendaftaran trademark Felinna yang kedua telah dilakukan oleh pengurus daripada syarikat lain yang mengeluarkan produk tiruan. Masalah ini telah dapat diatasi melalui pelbagai inisiatif yang diambil untuk membuang tanggapan negatif terhadap produk keluaran mereka. Contohnya melabur dalam cabang bisnes lain seperti syarikat penerbitan, syarikat motorsport, syarikat construction, syarikat trade dan supply dan lain-lain. Felinna juga masih mengekalkan corak pemasaran untuk memasarkan sesuatu produk yang baru iaitu dengan mengadakan teaser. Sebagai contoh, apabila produk yang bakal dilancarkan berkaitan dengan kesihatan wanita, mereka akan membangkitkan dan fakta yang berkait rapat dengan isu kesihatan wanita. Selain itu, menggunakan model yang sesuai, ayat jualan yang menarik dan membuat pertandingan meneka produk. Teaser seperti ini akan menimbulkan perasaan ingin tahu di kalangan pengguna.
Dalam artikel ini dapat dilihat sebagai Pencetus Idea, terlalu banyak cabaran-cabaran yang ditempuh oleh Tuan Rafie Ramli dan Puan Felinna Nadea namun, mereka tidak putus asa dan percaya bahawa setiap musibah yang berlaku ada hikmahnya dan mereka cepat muhasabah diri serta senantiasa mencari idea yang baru untuk membuat perubahan. Dan daripada situlah datangnya kekuatan dalaman yang membuatkan mereka sentiasa tenang menghadapi rintangan sebagai seorang usahawan.



2.2 ARTIKEL 2
Pengurus Sebagai Tunggak
Sumber : http://ww1.utusan.com.my/utusan/Keluarga/20130412/ke_01/Aliff-Syukri-cetus-fenomena, 7 Oktober, 2015.

Dengan memilih slogan “Terlajak Laris” untuk menjadikan produk jualan laris, Pengarah Urusan D’Herbs Healthy Sdn Bhd Datuk Aliff Syukri Kamarzaman telah bertekad untuk menjadikan produknya terus laris di pasaran dan menjadi pilihan setiap orang dan para pengguna. Secara tidak langsung, slogan ini telah memberikan motivasi kepada  beliau untuk terus mengeluarkan produk terbaru untuk para pengguna yang senantiasa mahukan sesuatu yang baru.
Sebagai tunggak syarikat dan pengasas produk kosmetik kecantikan yang paling muda di Malaysia, Datuk Aliff Syukri yang dilahirkan Di Kuala Lipis, Pahang tidak pernah kekeringan idea untuk memajukan lagi perniagaan yang sudah tiga tahun  bertapak di Malaysia. Hasil kerja keras beliau, pada hari ini produk D’Herbs telah menjadi jenama yang mencetuskan fenomena di dalam industri herba kesihatan dan kosmetik di negara ini.
Sebagai ayah kepada tiga orang cahaya mata dan anak ketiga daripada tujuh adik-beradik ini, beliau adalah seorang yang begitu peramah serta tidak meninggi diri. Sifatnya yang murni ini telah menjadikan beliau begitu disenangi di kalangan mereka yang terlibat dengannya seperti stokis, pengedar, pengguna dan juga kakitangannya sendiri. Maka tidak hairanlah jika beliau sudah boleh bersyukur dan menarik nafas lega kerana dengan kerja yang tidak jemu dan tanpa mengenal penat lelah, kini D’Herbs telah mempunyai seramai 6,000 orang stokis di seluruh negara. Menurut beliau juga, sebanyak 60 jenis produk telah berjaya dikeluarkan khusus untuk lelaki, wanita dan juga kanak-kanak.
Antara produk keluaran D’Herbs yang terbaru ialah pewarna rambut super lebat yang terdapat dalam  dua warna iaitu warna hitam dan warna perang. Keistimewaan pewarna rambut ini ialah ia diadun khusus untuk lelaki dan wanita Islam yang mementingkan kesucian dan kebersihan serta dijamin halal dan boleh dibawa sembahyang. Pengguna juga tidak perlu merasa bimbang kerana produk ini dihasilkan dengan herba-herba yang tiada mengandungi bahan kimia yang boleh menjejaskan kesihatan. Tambah beliau, sambutan yang diberikan oleh pengguna di seluruh negara sangat memberangsangkan walaupun baru saja tiga bulan berada di pasaran.
            Peristiwa beliau ditimpa kemalangan ngeri yang menyebabkan mukanya hampir hancur dan hidung patah, telah menjadi titik permulaan kepada terciptanya minuman jus kesihatan Gamolex Gold, antara produk yang terlaris di D’Herbs Healthy Sdn Bhd. Minuman jus kesihatan yang dijual pada harga RM88.80 ini kata beliau boleh membantu merawat 1001 jenis penyakit. Ketika mendapat kecederaan di muka itu, beliau telah menyapu lendir gamat di muka dan hasilnya luka di muka beliau telah sembuh dalam masa dua minggu sahaja. Daripada situ, beliau telah meminta seorang saintis untuk membuat kajian dan menghasilkan satu produk yang sangat berkesan untuk membantu menyembuhkan luka dan penyakit. Maka lahirlah Gamolex Gold yang mengandungi campuran 30 jenis herba dan kesannya sudah boleh dilihat pada pengambilan satu botol atau penggunaan selama sebulan sahaja.
            Beliau juga memberitahu bahawa D’Herbs Healthy Sdn Bhd sebenarnya mempunyai kilang sendiri iaitu Aliff Herbs Manufacturing yang beroperasi di Kuala Selangor. Dalam masa yang terdekat ini D’Herbs akan mengeluarkan satu lagi produk terbaru serta membuka sebuah spa di Damansara. Langkah tersebut di ambil adalah untuk melindungi para pengguna daripada tertipu dengan kandungan bahan-bahan yang tidak selamat dan juga berbahaya kepada kesihatan. Beliau turut menjelaskan bahawa selain daripada berniaga, beliau mempunyai harapan untuk membantu golongan yang berpendapatan sederhana dan dalam masa yang sama tidak memberikan bebanan kepada pengguna. D’Herbs telah membuka peluang kepada semua golongan untuk menjadi usahawan atau pengedar dengan modal serendah RM350 sahaja. Keuntungan yang diperoleh adalah di antara 30 hingga 40 peratus. Kepada yang berminat, mereka bolehlah menghubungi stokis negeri ataupun di ibu pejabat.
            Sebagai Tunggak teratas di syarikat D’Herbs Healthy Sdn Bhd, beliau turut menghargai usaha para stokis, pengedar dan pengguna dengan mengadakan malam gala. Di malam gala tersebut juga, pihak D’Herbs turut menyampaikan anugerah kepada pengedar dan pengguna yang mencapai tahap jualan yang tinggi. Secara tidak langsung ini akan menaikkan lagi semangat para pengedar D’Herbs untuk berusaha dengan lebih keras lagi.
            Kehadiran Datuk Aliff Syukri senantiasa boleh dilihat dalam setiap acara dan iklan di televisyen serta majalah. Dalam masa yang sama beliau turut mempromosikan barangan produk beliau kepada para pengguna di luar. Banyak rancangan di televisyen juga di taja oleh D’Herbs dan kemunculan Datuk Aliff Syukri jelas menunjukkan bahawa beliau adalah seorang Tunggak di D’Herbs Healthy Sdn Bhd.


Artikel 3
Pengurus sebagai Pemimpin
Sumber : http://www.sinarharian.com.my/personaliti/iron-lady-inspir1asi-wanita-1.21150, 7 Oktober, 2015.

            Seorang pengurus adalah memainkan peranan yang sangat penting dalam menentukan jatuh atau bangunnya sesebuah organisasi. Corak kepimpinan pengurus yang efisien dan efektif mampu untuk membawa organisasinya mencapai matlamat dan juga objektif yang dikehendakinya. Kepimpinan adalah bermaksud mewujudkan budaya dan nilai yang dikongsi bersama, menyalurkan maklumat mengenai matlamat kepada semua ahli organisasi melalui proses komunikasi, dan menanamkan dalam diri pekerja semangat untuk berusaha ke arah prestasi yang lebih tinggi (Aizat, Intan dan Zainal, 2006). Tanggungjawab pengurus sebagai seorang pemimpin adalah untuk mengarah, memberi motivasi, melatih, membimbing, memberi kaunseling dan berkomunikasi dengan subordinat. Artikel yang bertajuk “’Iron Lady’ Inspirasi Wanita” ini berkisar tentang kepimpinan pemilik syarikat kawalan keselamatan yang dikenali sebagai Securiforce, iaitu Datuk Dr Maznah Hamid. Beliau adalah merupakan wanita pertama di Malaysia yang mengetuai sebuah syarikat kawalan keselamatan.
Beliau memberitahu, pada awal penghijrahannya 30 tahun yang lalu di Kuala Lumpur, beliau telah melalui pelbagai keperitan hidup sehingga pernah mendiami rumah setinggan yang tiada bekalan air dan elektrik. Beliau hanyalah gadis biasa yang telah dilahirkan di Ayer Hitam, Jerlun, Kedah  dan telah dibesarkan oleh datuk dan nenek yang terlalu konservatif dan kuat agama. Hasil didikan agama daripada datuk dan neneknya itulah yang membuatkan beliau sentiasa mengingati asal usul beliau walau di mana beliau berada.
Pengerusi Eksekutif Kumpulan Securiforce Sdn Bhd ini kini boleh berbangga kerana syarikatnya itu telah mempunyai 68 cawangan dan berjaya menyaingi 500 buah syarikat keselamatan lain di dunia. Apa yang menariknya mengenai cerita kejayaan Maznah ialah kesemua anak syarikat yang ditubuhkan dan berkembang maju tanpa bantuan kewangan daripada mana-mana bank. Memegang prinsip “kita mesti sanggup bekerja lebih daripada gaji yang dibayar, maka akhirnya kita akan mendapat lebih dari apa yang kita kerjakan” telah membawa kejayaan yang besar dalam bidang kerja dan perniagaannya, membolehkan beliau berada di tahap sekarang.
            Securiforce kini bukan hanya sebuah syarikat keselamatan yang biasa, tetapi telah berkembang seiring dengan teknologi semasa dan telah melebarkan sayapnya ke peringkat antarabangsa berkonsepkan ‘Total Security Solution’. Securiforce Logistik merupakan ejen penghantaran di darat, laut dan udara di mana memiliki cawangan di Singapura, Bangkok, China, Korea, Turki dan Jerman. Selain itu, Maznah juga telah menceburi bidang hartanah melalui syarikat Danau Lumayan Sdn Bhd. pada tahun 1997. Danau Lumayan telah menerokai kawasan sekitar Bandar Tun Razak dengan membina 3,000 unit kediaman kondominium dan lot kedai.
            Walaupun sudah berada di atas, Maznah tidak pernah lupa akan asal-usulnya dan bersedia untuk berkongsi ilmu serta pengalaman yang ada. Oleh itu, beliau telah menubuhkan Maznah Motivational Centre bagi membantu para usahawan baru serta mereka yang pernah gagal dalam kehidupan untuk mendapatkan motivasi diri. Motivasi menurut Williams (2000), ialah terdiri daripada “kuasa-kuasa yang boleh mendorong, mengarah serta membolehkan seseorang itu berusaha bersungguh-sungguh untuk mencapai matlamat yang tertentu”. Pemilik Ijazah Kedoktoran Pentadbiran Perniagaan dalam bidang Keusahawanan, Motivasi dan Modal Pembangunan Insan dari Central State University of New York ini telah menerbitkan beberapa buah buku motivasi. Antara buku yang mendapat sambutan hangat bertajuk Motivasi Memburu Kejayaan dan buku mini siri Rahsia 3K-Kejayaan, Kebahagiaan dan Kekayaan. Selain itu, beliau turut menjadikan laman facebook sebagai tempat untuk berkongsi ilmu. Di situ beliau akan menjawab apa sahaja pertanyaan mengenai masalah berkaitan perniagaan atau kehidupan.
            Sebagai seorang Pemimpin, walaupun sibuk dalam pelbagai bidang, Maznah yang juga Exco Wanita Umno dan Ketua Wanita Umno Kedah tidak pernah lupa kepada mereka yang kurang bernasib baik dan memerlukan bimbingan. Beliau juga aktif menyertai program kemasyarakatan untuk membantu meringankan beban mereka yang memerlukan.
Menutup perbualannya, ketika ditanya mengenai misi dan visi, beliau menegaskan sebagai seorang usahawan yang telah berkecimpung di dalam bidang ekonomi dan keusahawanan lebih dari 30 tahun, sudah pasti beliau berhasrat untuk berkongsi pengalaman dan ilmu pengetahuan dalam bidang ini dengan seluruh masyarakat dengan lebih berkesan lagi agar bangsa kita tidak miskin dan dijajah oleh bangsa asing di bumi sendiri.



3.0 KESIMPULAN
Daripada analisis ketiga-tiga artikel yang diterangkan di atas, perbezaan peranan pengurus telah dapat dijelaskan dengan secara terperinci. Walaupun pengurus mempunyai pelbagai peranan yang berbeza, namun kesemuanya mempunyai matlamat yang sama dengan berpandukan pada misi dan visi organisasi. Merujuk daripada kesemua artikel tersebut, antara ketiga-tiga peranan yang telah dibincangkan, peranan yang paling sukar untuk dibawa ialah sebagai pencetus idea. Nampaknya bukan senang untuk membuat sesuatu perancangan dan strategi bagi melakukan perubahan dalam organisasi kerana ia memerlukan percaturan yang luas dari segi matlamat dan tujuan. Di samping itu, ia juga memerlukan tenaga kerja, dana, sumber dan tempoh masa yang lama seandainya ingin melibatkan perubahan dalam skala yang besar. Jika dibandingkan dengan peranan sebagai  tunggak dan pemimpin yang juga tidak kurang sukarnya untuk dibawa, seseorang pengurus itu perlu membuat keputusan yang penting untuk mengelakkan kegagalan daripada terjadi. Pengurus yang baik perlu bijak untuk membuat keputusan yang tepat agar matlamat organisasi dapat dicapai.
                                                           
                                                                                                            (3148 patah perkataan)





4.0 RUJUKAN

Ahmad, S.A., Ramli, A., Nalimi, R., Aziz, A., Raghavan, S (2013).Principles of Management: BBPP1103 (2nd ed.) Seri Kembangan, Selangor, Malaysia: Open Universiti Malaysia

Farah Megat (2015). Analisis Peranan Pengurus Dalam Organisasi [File PDF] Retrieved October 20, 2015 from http://www.slideshare.net/hoonmin/analisis-peranan-pengurus-dalam-organisasi

Anonymous. (2011). Pengurusan Organisasi [PDF document]. Retrieved 21 October, 2015 from Lecture Notes Online Website : http://pendaftar.uitm.edu.my/latihan/images/stories/Nota_Induksi/Kump1/pengurusan_organisasi.pdf


Hasrull Ramli. (2015). Management [PDF document]. Retrieved 21 October, 2015 from


http://www.academia.edu/3809221/management

No comments:

Post a Comment