Wednesday 30 March 2016

PERANAN TAMADUN CHINA DALAM PEMBINAAN BUDAYA MALAYSIA

ANALISIS EMPAT PERANAN TAMADUN CHINA DALAM PEMBINAAN BUDAYA MALAYSIA

Menurut Ghazali Darusalam (2014), Abdullah Ahmad Badawi (2001) menjelaskan, interaksi tamadun China dengan Malaysia telah terjalin sejak zaman Kerajaan Melayu Melaka pada abad ke-15 sehingga kini. Peranan Tamadun China yang telah menyumbang dalam pembinaan tamadun Malaysia moden boleh dilihat dalam pelbagai aspek seperti yang berikut :

1. Amalan Falsafah

1.1 Falsafah Konfusianisme
            Mengikut Ghazali Darusalam (2014) seperti yang dijelaskan oleh Esa Khalid dan Mohd Azhar Abd Hamid (2004), multiracial masyarakat Malaysia terdiri daripada pelbagai kaum yang boleh hidup bersama dengan aman damai dan berkongsi nilai universal yang wujud melalui falsafah Konfusianisme. Menurut CT Muna (2013), Falsafah Konfusianisme ini telah diasaskan oleh Kung Fu-Tze, tokoh peradaban Cina yang bertujuan meningkatkan moral dan menjaga akhlak setiap manusia. Beliau mempunyai pengalaman hidup pada zaman kekacauan dan penindasan dari pihak berkuasa. Oleh sebab itu, beliau menekankan pembentukan akhlak. Terdapat lima akhlak yang utama iaitu:
i)                    Ren      : perikemanusiaan
ii)                  Li         : kesusilaan
iii)                Yi        : keadilan
iv)                Zhi       : kebijaksanaan
v)                  Xin      : layak dipercayai

            Menurut Ghazali Darusalam lagi, Siti Hajar Che Man dan Ratna Roshida Abd Razak(2012) menjelaskan, konsep ‘jen’ ialah satu konsep yang menekankan sifat berperikemanusiaan terhadap sesama insan. Falsafah Kung Fu-Tze mengatakan, mereka yang memiliki sifat perikemanusiaan akan mempunyai sifat seperti amanah, budi bahasa, rajin dan bermurah hati. Matlamat tertinggi adalah untuk menjadi manusia teragung (Chun Tze/Junzi). Dalam mewujudkan masyarakat yang bersatu padu dan harmoni, ajaran konfusianisme  menitiberatkan kejujuran dan kebaikan melalui lima hubungan utama iaitu :-
i)                    Hubungan bapa dengan anak
ii)                  Hubungan suami dengan isteri
iii)                Hubungan saudara tua dengan muda
iv)                Hubungan raja dan pegawai
v)                  Hubungan sesama sahabat
Ajaran falsafah konfusianisme yang bersifat universal ini boleh diguna pakai oleh seluruh rakyat Malaysia agar setiap individu mempunyai perasaan bertanggungjawab untuk menjadi baik. (Ghazali Darusalam, 2014)

1.2 Falsafah Taoisme
            Taoisme berasaskan ajaran Lao Tze dan Chuang Tzu. Menurut lagenda, selepas meninggalkan jawatannya sebagai seorang pegawai yang penting di istana Dinasti Chou, beliau mula menyebarkan falsafahnya (http://www.geocities.ws/cominglucky/conftao.htm). Menurut Wikipedia (2015), lambang yang sering dikaitkan dengan ajaran Laozi ialah lambang “ying-yang” (“ying” bermaksud ‘feminine’ dan “yang” bermaksud ‘maskulin’).Ia membayangkan kebenaran bahawa dunia ini adalah dunia dualisme iaitu dianggap sepasang dan tidak boleh diasingkan. Contohnya, kiri dan kanan, besar dan kecil, lelaki dan perempuan. Kefahaman mengenainya sangat penting bagi membentuk kesedaran bahawa hidup ini memerlukan keseimbangan yang sempurna saling melengkapi, saling membantu dan saling memerlukan di antara satu dengan lain. Untuk mencapai wawasan 2020, kaum Melayu dan Cina saling berganding bahu baik dalam bidang politik, sosial dan ekonomi. Apa yang paling utama ialah untuk membentuk sebuah masyarakat yang mempunyai sifat yang mulia dan saling hormat-menghormati agar masalah yang timbul dapat diatasi.

2. Pendidikan
            Dalam pembentukan sesebuah negara dan bangsa, tamadun China amat menekankan prinsip kekuatan pendidikan. Untuk melahirkan masyarakat yang mementingkan kebijaksanaan dan pembentukan akhlak, mempunyai pendidikan adalah penting. Sumber pendidikan banyak diperoleh daripada sumber lama ajaran tokoh pemikir utama mereka seperti Kung Fu-Tze. Dengan memahami kepentingan pendidikan dalam tamadun China, sebagai masyarakat Malaysia, kita haruslah lebih memahami rasionalnya masyarakat Cina amat  mementingkan pendidikan dalam semua peringkat  pendidikan, bermula daripada peringkat rendah hinggalah ke peringkat universiti. (Ghazali Darusalam, 2014)

3. Perkahwinan
            Menurut Ghazali Darusalam (2014), perkahwinan campur antara Cina dengan kaum lain seperti Melayu, India, Sikh dan paling banyak dengan bumiputera Sabah dan Sarawak telah melahirkan satu komuniti yang bersifat saling ambil-mengambil dari aspek kebudayaan, bahasa, makanan, pakaian, amalan nilai moral dan juga cara pemikiran. Ia juga akan menambahkan lagi kepelbagaian budaya yang diamalkan. Proses amalgasi dapat dilihat sekiranya kaum Cina yang menganut agama Buddha berkahwin dengan kaum India penganut Hindu dan anaknya hanya boleh memilih untuk menganut agama sehingga berumur 18 tahun.

4. Perayaan
Kaum Cina mempunyai pelbagai perayaan yang boleh disambut. Antara perayaan yang biasanya sama-sama diraikan oleh pelbagai lapisan masyarakat di Malaysia ialah :-

4.1 Tahun Baru Cina
            Perayaan Tahun Baru Cina juga digelar Tahun Baru Lunar atau Perayaan Musim Bunga adalah merupakan satu perayaan utama dalam masyarakat Cina di Malaysia. Perayaan ini disambut pada hari kedua bulan pertama calendar Cina. Seperti masyarakat lain, kaum cina menyambut kedatangan tahun baru dengan meriah kerana diyakini dapat memberikan kekayaan dan kelebihan kemakmuran kepada mereka. Sehari sebelum kedatangan Tahun Baru, semua ahli keluarga akan berkumpul untuk makan bersama-sama. Jamuan ini bertujuan untuk mengeratkan lagi hubungan mereka sekeluarga. Pada hari pertama, setiap orang akan menggayakan pakaian baru berwarna merah yang diyakini akan membawa tuah. Individu yang sudah berkahwin akan memberi angpau kepada kanak-kanak dan saudara mara yang belum berkahwin. Angpau berwarna merah membawa makna kesejahteraan yang berpanjangan. Sebagai makanan wajib, buah limau mandarin dan kuih bakul mesti disediakan untuk dijamu pada tetamu yang datang. Yang paling penting, pada hari pertama merupakan masa untuk menziarah ibubapa ataupun ahli keluarga paling tua. Ucapan yang sering diungkapkan ialah Gong Xi Fa Cai yang membawa maksud salam sejahtera dan murah rezeki.  Terdapat juga keluarga yang mengundang tarian singa sebagai upacara simbolik untuk menyambut tahun baru sambil menghalau musibah dari rumah. (Dylla Arshad, 2012)

4.2 Pesta Chap Goh Mei
Menurut Dylla Arshad (2012), kaum Cina akan menyambut Chap Goh Mei atau ‘Yuanxiaojie’, pada hari kelima belas perayaan ini. Hari tersebut menandakan hari terakhir bagi bulan penuh dan merupakan penutup kepada perayaan tahun baru. Perayaan Chap Goh Mei juga di sebut “Pesta Lampu” kerana pada sebelah malam lampu-lampu akan dinyalakan sebagai aktiviti yang utama pada hari perayaan tersebut. Tangyuan atau bebola pulut manis dalam sup, akan dihidangkan pada hari ini. Biasanya pesta ini berlangsung selama tiga hari tiga malam. Mercun akan dibakar habis-habisan untuk menghasilkan bunyi yang kuat dan dipercayai dapat menghalau roh jahat. Tarian naga dan singa pastinya akan memeriahkan lagi pesta ini. Sebagai tanda berakhirnya pesta ini, pemuda dan pemudi yang berhasrat untuk mencari jodoh yang sesuai akan melemparkan buah limau mandarin ke dalam laut.(Ghazali Darusalam, 2014)

4.3 Perayaan Kuih Bulan
            Selepas Tahun Baru Cina, perayaan Kuih Bulan merupakan perayaan yang kedua penting untuk kaum Cina. Perayaan ini juga dikenali sebagai Pesta ‘Tanglung’ atau Perayaan Musim Luruh (zhong qiu jie). Dalam kalender Cina, pesta ini disambut pada hari ke-15, bulan lapan. Dipercayai pesta ini bermula pada 3,000 tahun lalu ketika pemerintahan Dinasti Shang (1,600-1,046SM), di mana raja-raja menyembah bulan untuk mendapatkan hasil tuaian yang berganda pada musim luruh.Semasa upacara penyembahan dilakukan, juadah seperti kuih bulan, akar teratai, buah-buahan, manisan dan barangan kosmetik seperti bedak juga dipersembahkan kepada Dewi Bulan yang bernama Chang’E. Ketika malam pesta berlangsung, mereka akan berarak membawa tanglung.
Selain itu, asal-usul bermulanya pesta ini disambut ialah merupakan kemenangan orang Cina menumpaskan penjajah Monggol di akhir Dinasti Yuan (1280SM-1341M). Nota rahsia telah disorokkan di dalam kuih bulan untuk menggulingkan kerajaan Monggol yang kejam kerana telah menindas orang Cina yang berketurunan Han. Sememangnya pesta ini tidak lengkap tanpa kuih bulan iaitu sejenis pastri tradisional berintikan pes biji teratai, kuning telur masin dan kacang merah. Walaubagaimanapun, kini terdapat pelbagai perisa inti menarik untuk dinikmati bersama keluarga kerana bentuknya yang bulat adalah simbolik kepada keharmonian keluarga. (http://journal.gemfive.com.my/ms/gaya-hidup/8-fakta-yang-harus-anda-tahu-tentang-perayaan-kuih-bulan/)


 7.0 KESIMPULAN

            Sememangnya tidak dapat dinafikan bahawa kemasukan beramai-ramai orang Cina ke Tanah Melayu oleh penjajah British telah membawa bersama tamadun dan budaya mereka. Ini telah memberikan kesan yang menyeluruh terhadap aspek politik, ekonomi, pendidikan dan sosial di Tanah Melayu. Walaupun British dengan sengaja mewujudkan jurang perbezaan kaum dengan mengasingkan kawasan penempatan, namun kehadiran mereka ke Tanah Melayu telah memajukan sektor ekonomi dan telah mewujudkan masyarakat majmuk yang  kekal sehingga kini. Setelah merdeka, kaum Cina telah diberi taraf kerakyatan dan menjadi warganegara Malaysia dan secara tidak langsung budaya dan tamadun Cina juga turut berkembang. Walaupun masih tidak begitu memahami tentang budaya Cina, akan tetapi dengan 58 tahun kemerdekaan ini akhirnya telah berjaya mengangkat perbezaan dan persamaan yang terdapat dalam tamadun Cina dengan tamadun Melayu dan India dimana akhirnya telah menjadi sebati dalam masyarakat di Malaysia.


8.0 RUJUKAN

Ghazali Darusalam (2014).Tamadun Islam dan Tamadun Asia: MPU3123 (1st ed.) Seri  Kembangan, Selangor, Malaysia: Open Universiti Malaysia
   
Gemfive (2015). 8 Fakta Yang Harus Anda Tahu Tentang Perayaan Kuih Bulan.   Google[web log]. Retrieved November 10, 2015 from    http://journal.gemfive.com.my/ms/gaya-hidup/8-fakta-yang-harus-anda-tahu-tentang-perayaan-kuih-bulan/

Orang Cina Malaysia.(2015). In Wikipedia. Retrieved October 25, 2015 from https://ms.wikipedia.org/wiki/Orang_Cina-Malaysia

Dylla Arshad (2012). Kajian Tentang Perayaan Tahun Baru Cina [File PDF] Retrieved October 25, 2015 from http://www.slideshare.net/dyllaarshad/kajian-tentang-perayaan-tahun-baru-cina

No comments:

Post a Comment