Friday 12 April 2019

RESEARCH METHODOLOGY ANCAMAN BULI SIBER

ANCAMAN BULI SIBER DI KALANGAN KOMUNITI MASYARAKAT

            Perkembangan penggunaan internet semakin meningkat sejak beberapa dekad yang lalu. Ini adalah kerana internet dapat membantu pengguna komputer dan telefon pintar untuk mendapatkan pelbagai maklumat yang diperlukan. Merujuk kepada kamus Dewan Bahasa dan Pustaka (Edisi Ke Empat), Internet boleh didefinisikan sebagai rangkaian komputer antarabangsa yang membolehkan pengguna komputer berhubung di antara satu dengan yang lain dan dapat mencapai maklumat di pangkalan data dari seluruh dunia. Melalui internet, pengguna dapat berhubung dan mengenali di antara satu sama lain melalui media sosial seperti Facebook, Twitter, Instagram, Skyppe dan media sosial yang lain. Daripada kajian statistik mendapati Malaysia mempunyai 34 juta pelanggan mudah alih dan 17.7 juta pengguna internet (Malaysia Sosial Media Statistik, 2013).
            Hasil kajian tinjauan yang dilakukan oleh Dr Wan Hassan dan rakan-rakan mengenai ‘Buli Siber Di kalangan Mahasiswa Universiti Teknologi Malaysia’ (2016), terdapat di kalangan pengguna media sosial ini yang telah menyalahgunakannya terutamanya golongan muda. Ybarra & Mitchell (2004), mendapati golongan remaja menunjukkan tingkah laku yang agresif di alam siber. Mereka berpendapat melalui alam siber tindakan agresif boleh dilakukan kerana di anggap sebagai ruang yang selamat untuk membalas dendam dengan menggunakan nama palsu di laman sosial (King, Walpoe & Lamon, 2007). Ia turut disokong oleh Kowalski & Limber (2007), yang menyatakan bahawa laman sosial, telefon mudah alih dan teknologi lain digunakan untuk mengugut seseorang dengan menggunakan nama yang direka untuk menyebarkan khabar angin, menghantar mesej atau video yang memalukan, menabur fitnah dan lain-lain. Aktiviti yang negatif dan tidak bermoral ini di gelar sebagai buli siber (cyber bully). Ia boleh di definisikan sebagai penggunaan dengan niat, pengulangan maklumat, publisiti maklumat yang dihantar, ketidaktahuan tentang pembuli dan teknologi maklumat yang berbahaya (Ibrahim, 2010). Buli siber termasuk menggunakan ayat yang mengeji, mengancam, klik gambar tanpa kebenaran melalui telefon mudah alih, penyiaran gambar tanpa kebenaran, memeras ugut melalui laman perbualan (chatting), dan penyiaran gambar lucah atau maklumat peribadi di internet yang disebarkan (Willard, 2007). Secara ringkasnya, buli siber merujuk kepada tingkah laku orang yang pada dasarnya mempunyai niat untuk merosakkan individu lain dari segi psikologi dengan menggunakan alat-alat elektronik dan penggunaan teknologi maklumat untuk berkomunikasi seperti emel, telefon bimbit, alat kelui teks mesej, mesej segera seperti Whatsapp, Line, Wechat serta laman web peribadi yang digunakan untuk menyebarkan fitnah secara berulang-ulang.
            Merujuk Wikipedia (2013), Buli Siber melibatkan penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi untuk menyokong tingkah laku sikap sengaja bermusuh oleh seseorang individu atau kumpulan, yang berniat untuk mengugut orang lain (Bill Belsey).  Takrifan “National Crime Prevention Council” mengenai buli siber ialah apabila internet, telefon bimbit atau alat lain yang digunakan untuk mengirim teks atau imej diniatkan untuk mencedera atau memalukan orang lain. “StopCyberbullying.org” sebuah pertubuhan pakar berdedikasi pada keselamatan, kawalan dan keperibadian internet pula mentakrifkan buli siber sebagai suatu keadaan apabila seorang kanak-kanak, usia di antara kanak-kanak dan belasan tahun, menyeksa, mengancam, mengganggu, menghina, memalukan kanak-kanak atau remaja belasan tahun lain menggunakan mesej teks, emel, mesej segera atau mana-mana jenis lain teknologi digital. Buli siber menjadi begitu mudah hanya dengan mengirim emel kepada seseorang yang mereka kata bahawa mereka tidak mahukan hubungan lanjut dengan pengirim, tetapi juga boleh termasuk ancaman, ulasan seksual, kelabelan ucapan kebencian, berpakat terhadap mangsa dengan membuat mereka melakukan penghinaan dalam forum dan mengirimkan kenyataan palsu serta apabila sesuatu fakta itu ditulis dengan sengaja kea rah penghinaan.
            Kegiatan buli siber ini boleh mendedahkan data peribadi mangsa contohnya seperti nama sebenar, alamat tempat tinggal atau kerja dan sekolah, di laman web atau forum. Selain itu juga, siber buli ini dapat menyamar sebagai diri mangsa untuk tujuan menerbitkan bahan dengan tujuan untuk memfitnah atau memalukan mangsa atau pun keluarga mangsa. Sesetengah pembuli siber ini juga tergamak untuk mengirimkan emel yang mengancam dan mengganggu secara berterusan, sementara ada di antara mereka yang mengirimkan khabar angin atau umpatan atau hasutan agar untuk tidak menyukai dan berkomplot terhadap sasaran mereka.
            Menurut Dr Harjeet Kaur (2013) pula, Buli siber adalah satu kejadian yang biasa berlaku pada masa kini dan sedang meningkat. Insiden sebenar kejadian buli siber tidak diketahui kerana ramai mangsa buli siber tidak tampil untuk mendapatkan bantuan. Buli siber adalah perbuatan mengancam, memalukan atau menakutkan seseorang melalui medium elektronik seperti mesej teks (SMS), chatting, emel, laman web sosial, telefon bimbit atau permainan internet.
            
2.1       Jenis-jenis buli siber ialah :-
·         Mesej yang menggangu dan mengancam.
·         Menyalahgunakan kata laluan atau nama skrin orang lain atau menyamar sebagai orang lain.
·         Memanjangkan emel, foto atau video kepada orang lain.
·         Memuat naik komen atau gambar yang tidak senonoh.
·         Sexting (tindakan menghantar gambar, mesej atau video berunsurkan seksual menggunakan telefon bimbit).
·         Memulaukan individu tertentu daripada sesuatu kumpulan internet dengan sengaja.

2.2       Tanda-tanda buli siber termasuklah :-
·         Mengalami tekanan emosi semasa atau selepas menggunakan internet.
·         Mengasingkan diri daripada rakan-rakan dan ahli keluarga.
·         Menjauhkan diri dari perhimpunan sekolah atau kumpulan.
·         Keciciran gred dan mudah marah apabila berada di rumah.
·         Mengalami perubahan emosi, tingkah laku, tidur atau selera makan.
·         Mahu berhenti menggunakan computer atau telefon bimbit.
·         Kelihatan gelisah apabikla mendapat mesej teks ataupun emel.
·         Mengelakkan perbincangan mengenai aktiviti computer atau telefon bimbit.

            Kejadian buli siber ini berlaku dengan adanya laman sosial melalui internet dan ledakan teknologi. Menurut Che Maznah (2014), buli siber merupakan satu gejala buli yang baru muncul setelah berlakunya perkembangan teknologi komunikasi pada hari ini. Ibrahim (2010), turut berpendapat bahawa ketagihan internet oleh kemajuan teknologi merupakan sebab-sebab yang paling penting bagi penyebaran buli siber khususnya pelajar sekolah, university dan anak-anak muda yang kurang mempunyai interaksi dan komunikasi sosial.
            Sebenarnya, perbuatan buli siber ini adalah lebih dahsyat daripada perbuatan membuli yang lain. Pembuli siber sukar untuk dikenalpasti kerana mereka boleh merahsiakan identiti sebenar. Pembuli siber tidak seperti pembuli yang lain kerana ia berlaku dalam dunia siber yang tidak bersempadan. Ini akan menyukarkan mangsa untuk melindungi diri mereka. Selain daripada itu, pembuli siber ini lebih mudah bersekongkol berbanding pembuli jenis lain kerana bilangan individu yang boleh turut serta tidak dihadkan dalam dunia siber. Apa yang lebih menakutkan ialah buli siber boleh berlaku selama-lamanya iaitu 24 jam sehari, 7 hari seminggu dan 365 setahun. Kesan daripada buli siber yang teruk atau kronik boleh menyebabkan mangsa menjadi resah, murung serta terdedah untuk mendapat penyakit lain yang berkaitan dengan tekanan. Di dalam kes yang tertentu, buli siber boleh menyebabkan mangsa membunuh diri.


3.0       FAKTA SIBER BULI
           
            Kes-kes buli siber bukan sahaja kini ‘trending’ di media sosial, malah turut mendapat liputan luas di media nasional. Buli Siber bukanlah gejala yang baru. Ia yang semakin menular di luar negara selaras dengan kemajuan teknologi masa kini. Bermula dengan blog dan sekarang laman media social seperti Twitter, Facebook dan Instagram, terdapat pelbagai platform untuk individu meluahkan perasaan mereka. Ada yang menggunakannya untuk kebaikan dan berkongsi maklumat. Namun begitu, terdapat juga yang lebih emosi dan memilih untuk mengancam, memalukan dan menakutkan seseorang dalam medium elektronik. Kumpulan “keyboard warriors” sudah tidak perlu diperkenalkan lagi. Mereka hanya lantang bersuara di hadapan computer atau peranti mereka sendiri. Ada yang memilih untuk merahsiakan identity mereka, seolah mereka rasa selamat selepas membuat sesuatu kenyataan di media social. Statistik daripada Kumpulan Tindakan Kecemasan Komputer Malaysia (MyCert) melaporkan terdapat 516 aduan mengenai gangguan siber sehingga November pada tahun 2014. Pada 2013, Mycert menerima 512 aduan. Sangat menyedihkan kerana pada 2012, perangkaan menunjukkan MyCert hanya menerima 300 aduan untuk gangguan siber tetapi terus meningkat di tahun-tahun yang berikutnya. Peningkatan yang ditunjukkan pada setiap tahun menunjukkan kegiatan buli siber ini harus dibendung dan dikawal dengan segera agar tidak terus menular dan menjadi perkara yang biasa di kalangan pengguna.
Peristiwa yang mendapat perhatian disebabkan jenayah buli siber di antaranya ialah kes Amanda Todd dan Tyler Clementi yang memilih untuk membunuh diri disebabkan tekanan perasaan yang melampau (Six Unforgettable CyberBulling Cases, 2014). Kes ini cukup untuk membuktikan bahawa jenayah buli siber boleh membawa kesan yang amat buruk kepada mangsa buli terutamanya golongan remaja dan juga persepsi masyarakat kepada individu yang terlibat.
            Microsoft Global Youth Online Behaviour Survey, (2012) melaporkan, Malaysia berada di tempat ke-17 paling tinggi kes buli siber dari kalangan 25 negara yang ditinjau. Kajian ini juga melaporkan 35% kanak-kanak yang berumur dari lapan hingga 17 tahun mengalami beberapa jenis bentuk buli siber. Dua tahun selepas kajian itu, satu kajian lanjutan mendedahkan kejadian buli siber dalam kalangan kanak-kanak yang bersekolah di Malaysia sedang meningkat terutama mereka yang berumur dalam lingkungan 13 hingga 15 tahun. (Nazali, 2017).
            Menurut Ketua Pegawai Eksekutif CyberSecurity Malaysia (CSM), Datuk Dr Amirudin Abdul Wahab berkata, buli siber di negara ini berada pada tahap serius ketika ini dan masyarakat perlu bersedia untuk menghadapi ancaman berkenaan. Jika tidak dibendung, ia akan menjadi ancaman kepada diri dan masyarakat kerana buli siber dikesan lebih bahaya berbanding buli secara fizikal berikutan ia boleh dilakukan sesiapa saja tanpa kawalan di alam internet. Mangsa tidak mengenali individu yang membuli kerana “anonymity” disediakan melalui internet. Dengan “penonton’ yang ramai, kes membabitkan buli siber juga akan sentiasa berulang kerana bahan itu kekal di internet, sekaligus menyebabkan mangsa buli terus tertekan dan dalam sesetengah kes menimbulkan keinginan mangsa untuk membunuh diri. Beliau turut berkata, jika kecederaan mangsa buli secara fizikal dapat dilihat dengan mata kasar, keadaan ini berbeza dengan mangsa buli siber kerana mereka akan mengalami gangguan dari segi mental emosi. Keadaan ini akan menyebabkan banyak perkara boleh berlaku, termasuk perkara meragut nyawa. Agak mengejutkan kerana kebanyakan pembuli siber ini adalah terdiri daripada kenalan rapat kepada mangsa sama ada rakan, bekas suami dan juga bekas rakan sekerja yang kebanyakkannya bermotifkan dendam.
            Berdasarkan statistik Pusat Bantuan Cyber999, telah menunjukkan 51 kes membabitkan remaja berusia sehingga 18 tahun, 19 tahun hingga 25 tahun (246), 26 tahun hingga 40 tahun (314), 41 tahun hingga 55 tahun (69) dan 56 tahun ke atas (69 kes). Pada suku ketiga tahun ini saja, sebanyak 228 kes telah dilaporkan kepada Pusat Bantuan Cyber999, manakala pada tahun 2016 (344 kes), 2015 (319 kes), 2014 (374 kes), 2013 (410 kes) dan 2012 (62 kes). Jumlah keseluruhan dalam tempoh enam tahun ialah 1,737 kes. Peratusan ini diramalkan akan meningkat pada tahun ini kerana masyarakat kita masih ramai yang kurang menyedari betapa seriusnya perkara ini yang boleh mengganggu keselamatan anak-anak remaja dan golongan dewasa juga. Berdasarkan statistik yang telah dijalankan itu, seharusnya orang awam harus dididik oleh pihak berkuasa yang dilantik supaya melakukan sesuatu dan lebih bertanggungjawab.
                          
  
4.0       SENARAI SOALAN-SOALAN DAN OBJEKTIF KAJIAN

4.1       Soalan-soalan kaji selidik telah disediakan untuk mendapatkan maklumat yang lebih baik mengenai kesedaran orang ramai terhadap jenayah buli siber.

1.         Adakah anda lelaki atau perempuan dan dimanakah anda tinggal?
_________________________________________________

2.         Nyatakan teknologi siber yang anda miliki.
_________________________________________________

3.         Adakah anda tahu apa yang dimaksudkan dengan Buli Siber?
__________________________________________________

3.         Apakah kaedah yang digunakan?
__________________________________________________

5.         Adakah anda sedar tentang kewujudan masalah buli siber?
__________________________________________________

6.         Adakah terdapat cara untuk mengesan pembuli siber?
__________________________________________________

7.         Siapa yang harus bertanggungjawab untuk memastikan perkara ini tidak berterusan?
__________________________________________________

8.         Adakah anda akan memeberitahu keluarga anda mengenai bahayanya buli siber?
__________________________________________________

9.         Pada pendapat anda, golongan manakah yang kerap melakukan buli siber?
__________________________________________________

10.       Adakah undang-undang untuk menangani masalah buli siber ini?
__________________________________________________

11.       Apakah yang boleh anda lakukan sekiranya anda telah dipermainkan atau menjadi mangsa buli di dalam talian?
__________________________________________________

12.       Sekiranya terdapat kempen atau aktiviti untuk membanteras pembulian di siber, adakah anda akan menyokong kempen tersebut?
__________________________________________________       

2.2       OBJEKTIF KAJIAN

Secara khususnya kajian ini dijalankan adalah untuk :-

·         Mengenalpasti medium buli siber yang popular di kalangan masyarakat.

·         Mengenalpasti hubungan dikalangan pembuli siber dan mangsa buli siber.

·         Mendapatkan perbandingan di antara jantina dengan penglibatan peribadi dalam buli siber.

·     Mendedahkan kepada orang ramai terhadap bahayanya ancaman dan masalah yang akan timbul disebabkan oleh pembulian siber.

·         Memastikan pihak berkuasa yang bertanggungjawab untuk mengambil berat isu ini dengan serius dan bertindak balas untuk menyelesaikannya secara positif.

·         Mengumpul maklumat mengenai buli siber daripada orang yang menjadi mangsa atau mana-mana orang yang menyedari isu buli siber ini.

·         Mendidik orang ramai tentang isu buli siber.

·         Mengetahui kesan emosi selepas di buli.

·      Mengetahui di mana dan bagaimanakah cara untuk membuat aduan sekiranya menjadi mangsa buli siber.

  
5.0       JUSTIFIKASI UNTUK MENJALANKAN PENYELIDIKAN

Sebagai tindak balas kepada masalah buli siber ini, kajian saya adalah untuk menyiasat beberapa pilihan penyelesaian berdasarkan penyelidikan yang dilakukan oleh pihak berkuasa serta hasil penemuan dan penyelidikan yang saya lakukan sendiri. Bagi mendapatkan data, borang soal selidik akan diedarkan kepada responden kajian. Dengan memberitahu dan memberi perhatian kepada orang ramai tentang betapa beratnya jenayah buli siber ini, kita boleh mengurangkan peratusan jenayah buli siber yang berlaku secara drastik. Langkah ini perlu di ambil dengan serius kerana masa depan sebuah negara bergantung pada bagaimana belia negara di asuh dan di didik, baik di rumah atau di sekolah. Aktiviti pelajar sama ada dalam kehidupan sebenar atau di internet perlu dihadkan dan dikawal untuk mencegah kes-kes buli siber daripada berlaku. Masyarakat awam harus di didik dan sentiasa menyedari keseriusan isu ini kerana masa depan negara adalah dalam bahaya sekiranya masalah buli siber ini terus dibiarkan berleluasa. Demi mencapai kejayaan dan negara menjadi lebih maju, langkah-langkah bijak harus diambil tindakan agar belia negara boleh menjadi yang terbaik. Semua orang dari pelbagai latar belakang mengenai kedudukan mereka dalam masyarakat harus mengambil tindakan yang diperlukan dan langkah-langkah yang berkesan untuk membuang sifat negatif dan sosial dari masyarakat kita untuk memastikan pembangunan masyarakat yang sihat serta hidup bertoleransi serta terpuji.
            Selain itu, saya juga akan menyiarkan atau memuatnaik artikel-artikel di laman sosial untuk berkongsi cerita dan pengetahuan mengenai kes-kes buli siber yang kian meningkat ini.
Sebanyak 20 borang soal selidik juga akan diedarkan kepada reponden yang merupakan pelajar-pelajar di sekolah yang terdekat. Kebanyakan pelajar di sekolah kini masing-masing sudah mempunyai telefon bimbit. Adalah penting risalah-risalah yang berkaitan turut sama diedarkan kepada mereka agar mereka dapat baca dan akhirnya faham mengenai kesan keburukan yang akan didapati daripada buli siber ini. Kesemua responden yang terlibat akan akan menjawab dan mengembalikan semula soal selidik yang diedarkan. Pemulangan semula borang soal selidik ini adalah 100%.
Sebab-sebab penting yang perlu diketengahkan ialah:-
1.         Penyelidikan ini akan mendedahkan kepada orang ramai mengenai bahayanya pembulian siber dan kesannya kepada masyarakat.
2.         Anggota masyarakat akan dididik mengenai betapa pentingnya melindungi belia pada masa kini dari ancaman buli siber.
3.         Cara bagaimana untuk mencegah buli siber iaitu seperti :-
·         Mengamalkan keselamatan internet.
·         Didik anak atau pelajar mengenai keselamatan internet dan etika melayari internet atau menggunakan telefon bimbit dengan betul.
·         Jangan kongsi butiran peribadi di internet.
·         Menghantar atau memanjangkan mesej yang kesat ataupun berunsurkan ancaman adalah tidak wajar dan menyalahi undang-undang.
4.         Buli siber adalah satu jenayah dan masalah serius di kalangan remaja dan tidak harus di ambil ringan. Pembuli boleh dihukum di bawah Akta Jenayah Komputer, Kod Penal atau Akta Juvenil, bergantung pada sifat atau keterukan kes.

6.0       KESIMPULAN

Seperti yang telah dibincangkan, dapat dirumuskan bahawa, kes buli siber perlu di ambil serius oleh orang ramai kerana ia sudah menjadi isu yang serius. Buli siber yang didefinisikan sebagai sebarang bentuk ancaman dan serangan melalui teks, gambar menerusi e-mel, blog, telefon bimbit serta rangkaian web bagi menggangu, memalukan dan mengugut, sebenarnya bukan satu perkara yang baru dalam erti kata yang sebenar. Ternyata di dalam kes ini, siber buli boleh berlaku tanpa segan silu dalam bentuk yang memalukan mangsa, tidak kira apa juga niat pembuli berkenaan. Sekalipun tidak ada sebarang kecederaan fizikal yang ditinggalkan dalam kes ini, apa yang nyata adalah kajian secara konsisten menunjukkan buli siber boleh memberi kesan yang lebih serius berbanding buli fizikal. Ia termasuk mengganggu perkembangan emosi kanak-kanak, menyebabkan rasa rendah diri dan risiko mengalami masalah mental yang serius seperti kemurungan dan keinginan untuk membunuh diri. Peningkatan kes masalah mental dan bunuh diri oleh mangsa buli siber di luar negara juga dikhuatiri merebak ke Malaysia akibat fenomena yang sama. Ini tidak menghairankan kerana laporan Kajian Kebangsaan Mengenai Keselamatan Sibe Sekolah di Malaysia sendiri menunjukkan lebih 70 peratus pelajar sekolah berusia antara 13 hingga 15 tahun terbabit dengan buli siber. Kajian oleh Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat pada 2017 pula menunjukkan hampir 40 peratus belia berusia 19 hingga 30 tahun mengaku pernah menjadi mangsa buli siber. Teknologi seharusnya menjadi alat pemacu pembangunan manusia dan bukannya pemusnah kepada nilai kemanusiaan. Dalam hal ini, pengguna media sosial haruslah menanam sikap bertanggungjawab serta bertimbang rasa dalam menyebarkan sesuatu berita dan maklumat. Jangan jadikan media sosial sebagai satu platform untuk menyerang dan mengaibkan seseorang hanya kerana rasa tidak puas hati. Hukuman yang berat wajar dikenakan kerana jenayah ini bukan sahaja mendera emosi mangsa malah akan mendorong mangsa untuk bertindak membunuh diri. Pembulian siber seperti ini boleh dianggap seumpama “membaling batu, sembunyi tangan”, tidak jelas dilakukan dan sukar untuk dibuktikan. Mengikut Seksyen 223 Akta Komunikasi Dan Multimedia, pembuli siber boleh dikenakan tindakan mengikut seksyen 233, Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (AKM 98) dan jika sabit kesalahan boleh didenda sebanyak RM50,000.00 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi setahun atau kedua-duanya sekali.                                                                                                      

7.0       RUJUKAN
Ahmad, S., Thinagaran P., Nagarajah, L.,  (2014). Kaedah Penyelidikan.  [1st  ed.) Seri Kembangan, Selangor, Malaysia : Open Universiti Malaysia

Syahidatul, N.H., (2018). Hentikan Jenayah Buli Siber. Google [web log]. Retrieved Februari 15, 2019 from


Nazeli, H., (2017). Membendung Buli Siber. Google [web log]. Retrieved Februari 15, 2019 from  https://www.hmetro.com.my/hati/2017/08/251830/membendung-buli-siber.

Hassan, W., (2015). Kajian Tinjauan Buli Siber Di Kalangan Mahasiswa. Google [web log]. Retrieved Februari, 15 2019 from

Sazarina, S., (2008). Hati-hati Dengan Pembuli Siber. Google [web log]. Retrieved            Februari 20, 2019             from    http://www.cybersecurity.my/en/knowledge_bank/news/2008/main/detail/1635/index.html

Rozanizam, Z., (2018). Viral Bentuk Baharu Buli Siber. Google [web log]. Retrieved Februari 20, 2019 from https://www.bharian.com.my/kolumnis/2018/02/386787/viral-bentuk-baharu-buli-siber

Sheith K, A.B., (2018). Pakar Buli Siber Boleh Lebih Menyakiti Berbanding Buli Biasa.    Google [web log]. Retrieved        Februari 20, 2019 from          
            https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2018/02/04/pakar-buli-siber-  boleh-lebih-menyakiti-berbanding-buli-biasa/

Syafique, S., (2014). Kes Buli Siber Meningkat, Komuniti Media Sosial Belum Matang?.    Google [web log]. Retrieved        Februari 20, 2019 from          
         http://www.astroawani.com/sebelum-2015/kes-buli-siber-meningkat-komuniti-media-        sosial-belum-matang-50646

Wikipedia (2013). Siber Buli. Google [web log]. Retrieved   Februari 20, 2019 from          

Hargeet K, B., (2013). Buli Siber. Google [web log]. Retrieved Februari 20, 2019 from     

Justin, P., (2019). Cyberbullying Victimization Rates by Race, Sex, and Age. Google [web log]. Retrieved Februari 20, 2019 from

Hafiz, A., Feride, H.A., (2018). Ancaman Buli Siber. Google [web log]. Retrieved Februari 20, 2019 from https://www.bharian.com/nasional/2018/01/370155/ancaman-buli-siber

Anita, A., (2004), Cyber Bully. Google [web log]. Retrieved Februari 20, 2019 from
http://www.cybersecurity.my/en/knowledge_bank/news/2004/main/detail/904/index.html

Kertas Kerja Pembentangan Rina Sani (2018) - Buli Siber di kalangan Belia

RESEARCH METHODOLOGY BBRC4103


PENGENALAN

            Apakah itu Penyelidikan? Menurut Salkind (2000), penyelidikan adalah satu proses untuk menghasilkan suatu pengetahuan yang baru. Di dalam menjalankan sesuatu penyelidikan, metodologi penyelidikan merupakan elemen penting yang perlu di ambil berat kerana ianya merupakan kaedah bagaimana sesebuah penyelidikan itu dijalankan. Untuk memastikan penyelidikan dapat dijalankan secara tersusun, metodologi penyelidikan dapat membantu untuk menghasilkan keputusan penyelidikan yang lebih baik. Terdapat pelbagai metodologi penyelidikan yang boleh digunakan dan bergantung kepada jenis penyelidikan yang dijalankan terdiri dalam bidang saintifik, kesusasteraan, sosiologi, teknologi dan sebagainya.
            Penyelidikan melibatkan proses daripada pelbagai peringkat. Walaupun jumlah peringkat dalam proses penyelidikan itu berbeza, penyelidikan perlu mempunyai peringkat mengenal pasti topic, sorotan literature, merancang strategi, mengumpul data, menganalisis data dan juga menulis laporan. Dalam proses penyelidikan, perbincangan rasional perlu ada di setiap peringkat walaupun sukar untuk dilakukan di dalam keadaan yang sebenar. Kadangkala, pengkaji perlu kembali ke setiap peringkat kerana setiap peringkat berkait rapat dan mungkin mempengaruhi atau dipengaruhi antara satu dengan yang lain. Setiap kali pengkaji kembali ke sesuatu peringkat, pengkaji perlu untuk membuat refleksi isu-isu yang terbabit, memperhalus idea, dan mengambil kira isu etika serta akses semasa penyelidikan itu dijalankan.
            Menurut Ahmad Shuib dan rakan-rakan (2014), Proses Penyelidikan bermula dengan sesuatu peristiwa, keadaan dan objek yang menarik minat atau keinginan untuk mengetahui sesuatu perkara. Penyelidikan ialah proses mengumpul maklumat yang diperlukan, untuk menjawab persoalan tertentu, untuk membantu menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh individu, organisasi atau masyarakat. Maklumat yang diberikan mestilah baik agar ia berguna. Bagi mendapatkan maklumat yang baik, proses untuk mendapatkannya juga mestilah baik. Proses yang baik ialah proses saintifik atau proses bersistematik.
           
1.1              Langkah-langkah dalam proses penyelidikan ialah :-

·         Mengenalpasti masalah
·         Membangunkan Persoalan Kajian
·         Sorotan Literatur
·         Falsafah dan pendekatan Penyelidikan
·         Rekabentuk penyelidikan
·         Pengumpulan Data (Persampelan, data sekunder, pemerhatian, temubual dan soal selidik)
·         Pemprosesan dan analisis data (Kaedah kuantitatif dan kualitatif)
·         Rumusan dan laporan.


            Di dalam proses kajian penyelidikan, setiap penyelidikan akan melalui proses yang tersendiri bergantung kepada bidang dan jenis penyelidikan yang dijalankan. Kronologi yang berlaku pada setiap penyelidikan juga adalah berbeza namun pada dasarnya perlulah dimulai dengan menentukan tajuk penyelidikan dan diakhiri dengan menulis laporan penyelidikan. Walaupun begitu, setiap langkah tidak perlu diselesaikan sebelum langkah yang seterusnya diambil. Ada ketikanya sesuatu langkah itu mengambil masa yang terlalu lama dan jika ditunggu akan mengganggu perjalanan keseluruhan penyelidikan.
            Terdapat dua metodologi yang sering diguna pakai dalam menjalankan penyelidikan iaitu kaedah kuantitatif dan kualitatif. Kedua-dua kaedah ini memerlukan fakta dan data untuk di analisis. Gabungan kedua jenis kaedah ini dikenali sebagai kaedah rangkaian segi tiga (triangulation method). Kaedah rangkaian segitiga dipilih berdasarkan permasalahan penyelidikan yang lebih berbentuk tertutup. Menurut Fellows dan Liu (2003), dengan menggunakan kaedah rangkaian segi tiga, keputusan yang tepat akan diperolehi kerana kekurangan dan kelebihan kedua jenis kaedah ini akan melengkapi di antara satu sama lain. Walaupun begitu, kedua-dua kaedah ini mempunyai kelebihan dan kelemahan masing-masing.
            Kaedah Kuantitatif melibatkan kaedah saintifik selepas sedikit kajian teori dan literature dijalankan bagi menguji hipotesis. Kaedah ini melibatkan pungutan data dari pelbagai sumber dan akan dianalisis secara formula bergantung kepada jenis statistik yang dipilih. Terdapat pelbagai kaedah statistik boleh dipilih dan digunakan mengikut kesesuaian di dalam penyelidikan. Di antara kaedah yang digunakan ialah ujian parametik, ujian bukan parametik, regressi dan kolerasi, jangkaan masa dan nombor indeks.
            Kaedah Kualitatif pula adalah penyelidikan yang dijalankan tanpa menggunakan sebarang formula. Ia hanya dilakukan dengan memahami topik penyelidikan diikuti dengan pungutan fakta dan data di mana teorinya akan membantu untuk mendapatkan keputusan penyelidikan. Kaedah ini dianggap mudah kerana ianya tidak memerlukan sebarang kaedah matematik dan statistik ketika analisis data dilakukan. Oleh kerana kaedah ini tidak menggunakan pengiraan matematik, maka setiap keputusan analisis perlu dibuat dengan bijak berdasarkan daripada semua teori yang ada.
            Untuk memastikan sesuatu penyelidikan itu berjaya, setiap pengkaji perlulah mendapatkan maklumat yang terkini. Selain itu pengkaji haruslah mendapatkan maklumat daripada mereka yang mempunyai lebih banyak maklumat berkenaan dengan sesuatu situasi dan prospek teknologi. Pengkaji juga perlu mengenal pasti pengkaji lain yang membuat penyelidikan yang sama dan yang lebih utama pengkaji perlu mengenal pasti kejayaan dan kegagalan pengkaji lain dalam keadaan yang sama.
            Walaubagaimanapun, pengkaji juga perlu berhati-hati di dalam membuat penyelidikan kerana terdapat beberapa faktor yang boleh menggugat proses penyelidikan. Faktor-faktor tersebut ialah seperti sindrom metodologi yang terbaik, terdapat tanggapan bahawa dapatan kajian dapat menyelesaikan semua masalah. Selain itu, soalan yang direka bentuk tidak boleh diukur ditambah lagi dengan permasalahan kajian yang tidak dinyatakan dengan jelas. Bukan itu sahaja, penyelidikan yang dipolitikkan juga boleh menggugat proses penyelidikan.