Thursday, 3 March 2016

PENGURUSAN MASA

Salam Semua.., kali ni saya nak kongsikan dengan semua hasil tugasan saya mengenai pengurusan masa. Sebagai seorang yang bekerjaya, pelajar, ibu, isteri dan anak, saya memang kena pandai membahagikan masa. Sememangnya masa sangat-sangat mencemburui kita. Rasa macam cepat sangat masa berlalu. Tanpa kita sedari, umur juga sudah semakin meningkat dan anak-anak semakin dewasa. Oleh itu, luangkanlah masa yang ada bersama dengan anak-anak, suami/isteri, ibubapa, adik beradik serta orang yang tersayang, kerana masa yang berlalu pergi, takkan kembali lagi. Dan ketika itu, barulah kita sedar yang kita sudah kerugian. Semoga bermanfaat. Jangan lupa komen ya..:)

Menurut Bashah (2011), Masa diertikan seperti mana yang dikatakan oleh Peter F Drucker, dalam Ambasworkz (2005) “Masa merupakan sumber yang paling sukar didapati dan tidak ada sesuatu pun yang dapat diurus kecuali masa diurus”. Pepatah Arab ada menyebut, “Masa adalah ibarat pedang, jika kita tidak memotongnya, maka ia akan memotong kita”. Ini menggambarkan kepada kita bahawa masa itu sesuatu yang sangat penting dan amat berharga. Justeru itu, sebagai pelajar, kita perlu menguruskan masa dengan betul kerana kebanyakan pelajar jarak jauh (PJJ) telah mempunyai kerjaya dan memiliki keluarga. Jadi di sinilah kemahiran dalam pengurusan masa perlu dilaksanakan dengan cara yang tepat dan berkesan.

Banyak faedah yang kita akan peroleh seandainya kita dapat menguruskan masa dengan bijak. Antaranya ialah dapat menjadikan jadual harian kita lebih teratur. Kita juga dapat menyemai sifat bertanggungjawab dan amanah. Selain itu, setiap aktiviti yang kita lakukan dapat dilaksanakan dengan lebih terurus dan berupaya memberikan fokus kepada perkara-perkara yang patut diberikan keutamaan. Oleh itu, kita perlu bijak menyusun jadual waktu untuk memastikan tugasan di tempat kerja dan pengajian tidak akan terjejas dan terabai.

Sebagai seorang pelajar, kita perlu pandai untuk membahagikan masa dengan menetapkan matlamat hidup. Jika tiada matlamat yang ingin dicapai, maka hidup kita tiada hala tujuan. Jika matlamat telah dirancangkan, kita akan tahu apa yang perlu dicapai dan seterusnya akan memudahkan kita untuk membuat keputusan yang tepat. Walau bagaimanapun, kita haruslah mempunyai disiplin yang tinggi untuk menguruskan masa. Jika kita sukar untuk mendisiplinkan diri, agak sukar untuk kita uruskan masa dan jadual yang telah ditetapkan. Selain itu, dengan menguruskan masa yang baik, kita juga dapat meluangkan masa berharga bersama-sama dengan keluarga dan rakan-rakan. Kehidupan yang indah itu ialah apabila kita dapat menghargai masa dengan begitu baik sekali.

Secara kesimpulannya, pengurusan masa adalah sangat penting dalam menentukan kejayaan pembelajaran seseorang. Oleh itu, sekiranya saya ingin berjaya di dalam pengajian, saya perlu bijak untuk mengatasi masalah yang timbul dan pandai membahagikan masa yang terluang bersama keluarga serta dapat memberikan tumpuan yang penuh terhadap pelajaran. Saya yakin dan sentiasa berdoa agar pengorbanan yang saya berikan sepanjang pengajian ini akan membuahkan hasil dan kejayaan yang saya impikan akan menjadi kenyataan.

No comments:

Post a Comment