Monday, 19 February 2018

SKALA TAHAP AKTIVITI

SKALA TAHAP AKTIVITI (STA)

Skala Tahap Aktiviti (STA) adalah satu ukuran yang memberi petunjuk anggaran seseorang untuk melakukan perbuatan fizikal. Bacaan nilai STA ini bukan sahaja berasaskan kepada kronologi umur, bahkan keadaan fizikal dan apa jua kecacatan yang sedia ada yang mungkin memerlukan seseorang itu untuk menggubah gaya hidup masing-masing. Ia tidak bergantung pada faktor umur kita kerana bukan umur atau jenis aktiviti yang dilakukan menunjukkan siapa diri kita sebenarnya walaupun kedua-dua aspek ini mempengaruhi pilihan kita. STA mencadangkan pelbagai aktiviti dengan berpandukan pada tahap kecergasan seseorang, intensiti dan contoh variasi aktiviti di mana seseorang itu boleh memilih aktiviti yang sesuai dengan gaya hidup peribadi dan keadaan fizikal tubuh mereka.

            Apabila kita merancang ingin membuat sebarang aktiviti fizikal yang dirasakan boleh untuk dilakukan, adalah penting untuk kita membuat penilaian terlebih dahulu berdasarkan tahap aktiviti. Kita janganlah begitu mudah mengikut atau terpengaruh dengan kebolehan rakan-rakan sekeliling atau umur kerana ia boleh mengundang bahaya dan risiko untuk mendapat kecederaan. Melakukan aktiviti-aktiviti fizikal dan mental yang berada di luar had keupayaan seseorang boleh menyebabkan kecederaan fizikal ataupun risiko kehilangan anggota badan. Situasi ini sudah tentu akan membuatkan kehidupan kita menjadi lebih sukar bukan sahaja kepada diri sendiri bahkan juga kepada orang lain. Kita perlu mengambil lebih  langkah-langkah yang bijak untuk membuat penilaian terlebih dahulu dengan memilih tahap dan jenis aktiviti fizikal dengan menggabungkan skor pada Skala Tahap Aktiviti dengan faktor peribadi seperti jenis personaliti kita, jantina, kepentingan peribadi, hobi, bakat, kurang keupayaan dan batasan disebabkan oleh penyakit kronik, tahap kecergasan fizikal dan struktur badan.


            Kesimpulannya, memilih Skala Tahap Aktiviti yang sesuai adalah satu kriteria yang amat penting kerana ia dapat membimbing seseorang itu untuk kekal aktif dan sihat dari segi fizikal dan mental untuk seberapa lama yang boleh. Keputusan untuk menjalani gaya hidup yang sihat dan aktif adalah sama pentingnya dengan membuat keputusan utama yang lain seperti hubungan dengan kekeluargaan dan persaudaraan, kewangan, kesihatan dan matlamat hidup.                                                                                                                      

No comments:

Post a Comment