Monday 19 February 2018

INTEGRASI KAUM DI MALAYSIA

PENGENALAN
             Integrasi Kaum memainkan peranan yang sangat besar dan penting untuk memajukan sesebuah negara. Namun begitu, apakah yang dimaksudkan dengan integrasi itu sendiri? Menurut Mohd Syariefudin Abdullah (2014), Integrasi ditakrifkan sebagai proses penyesuaian bersama pelbagai kebudayaan dan ciri-ciri sosial yang diterima oleh semua kelompok etnik dalam negara. Integrasi itu wujud dalam sesuatu masyarakat apabila ahlinya menerima ciri ahli yang lain tanpa merujuk asal-usul dan ras mereka.  Integrasi terbahagi kepada dua bentuk iaitu integrasi sosial dan integrasi nasional. Integrasi Sosial adalah ilmu yang digunakan dalam ilmu sosiologi. Ia merupakan proses untuk menyatupadukan pelbagai kumpulan kelompok dalam masyarakat melalui satu identiti bersama dengan menghilangkan perbezaan dan identiti masing-masing. Menurut Mohd Syariefudin Abdullah (2014) lagi seperti yang dinyatakan oleh Ahmad Haji Kambar (1987), integrasi ialah proses bagi mewujudkan satu identiti nasional dalam kalangan kumpulan yang terpisah dari segi kebudayaan, sosial dan lokasi dalam sesebuah unit politik. Merujuk pada Jawatankuasa Integrasi Nasional (Jun 1991), integrasi nasional didefinisikan sebagai proses dinamik untuk merapatkan masyarakat negeri dalam Malaysia, khususnya antara negeri di Semenanjung dengan negeri Sabah dan Sarawak, untuk membentuk Bangsa Malaysia yang mempunyai identitinya sendiri berteraskan Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara.
Malaysia adalah sebuah negara yang mempunyai pelbagai etnik atau masyarakat majmuk. Ia telah pun wujud sejak beratus-ratus tahun dahulu. Hubungan etnik yang mantap sangat perlu dalam kalangan rakyat di sesebuah negara yang mempunyai kepelbagaian dari segi agama, bahasa dan etnik. Integrasi dan perpaduan kaum adalah sangat penting untuk mewujudkan kestabilan politik dan seterusnya pembangunan negara akan bertambah maju dan berjalan dengan lancar tanpa sebarang gangguan. Dalam konteks Malaysia, kita boleh perhatikan masyarakat yang terdiri daripada pelbagai etnik yang ada di Malaysia. Maka, lahirlah konsep yang diguna pakai oleh para sarjana untuk memahami tahap integrasi dalam masyarakat yang bermula dengan segregasi, akomodasi, akulturasi, asimilasi dan akhir sekali amalgamasi. Untuk membentuk satu bangsa Melayu bukanlah mudah. Banyak cabaran yang terpaksa ditempuh walaupun negara sudah mengecapi kemerdekaan. Ini kerana, masalah perkauman akan tetap menjadi satu isu yang serius dan sangat besar sekiranya perhatian dan tindakan yang sewajarnya tidak di ambil. Oleh sebab itu, pelbagai usaha perlu diambil dan dibuat oleh kerajaan dan juga setiap lapisan masyarakat untuk memupuk dan menyemai sikap masyarakat yang berbilang kaum di Malaysia agar perpaduan terus subur dan mekar mewangi di dalam setiap kehidupan masyarakat sekali gus dapat mengelakkan peristiwa hitam 13 Mei 1969 daripada berulang kembali. Di perenggan yang berikutnya, akan dibincangkan bentuk-bentuk aktiviti atau program serta impak yang dapat memupuk integrasi kaum dalam masyarakat.
  
2.0       Bentuk aktiviti/program yang dapat memupuk integrasi kaum dalam masyarakat.

            Di dalam realiti kehidupan masyarakat Malaysia pada hari ini, kesepaduan antara etnik itu akan dapat dilihat melalui penglibatan masyarakat dalam pelbagai aktiviti sosial dan kemasyarakatan yang dianjurkan. Hal ini sangat penting kerana dapat memastikan segala perancangan untuk memupuk perpaduan dapat dilaksanakan dengan baik. Terdapat beberapa aktiviti dan program yang boleh dianjurkan dan disertai oleh setiap anggota masyarakat untuk memastikan keharmonian dapat dijalin dengan erat. Aktiviti yang dianjurkan juga perlu menggambarkan bentuk kesepaduan yang wujud di kalangan rakyat Malaysia. Antara aktiviti yang boleh dijalankan termasuklah gotong-royong, sambutan perayaan, aktiviti sukan dan permainan serta sambutan bulan kemerdekaan.

2.1 Bergotong-royong
             Untuk mewujudkan perpaduan dan dapat memupuk integrasi kaum dalam masyarakat adalah dengan mengadakan aktiviti bergotong royong yang boleh dilakukan sebulan sekali. Aktiviti bergotong-royong adalah merupakan saluran dan peluang kepada masyarakat di sesuatu kawasan perumahan dan perkampungan untuk berjumpa dan saling mengenali di antara satu sama lain (lihat Rajah 2.1). Aktiviti ini boleh disertai oleh semua golongan tidak kira tua dan muda. Sebagai contoh, aktiviti gotong-royong yang boleh dilakukan bersama ialah membersihkan kawasan perumahan, taman permainan, surau dan masjid, balai raya, tanah perkuburan dan sebagainya. Selain mengeratkan silaturahim, kebersihan kawasan penduduk setempat juga akan lebih terjamin.
                             
2.2       Sambutan Perayaan dan Majlis Rumah Terbuka
            Selain daripada itu, integrasi kaum di Malaysia dapat dipupuk melalui sambutan perayaan kaum-kaum di Malaysia secara bersama-sama dengan membuat majlis rumah terbuka. Perayaan utama yang boleh diraikan oleh seluruh masyarakat yang terdiri daripada pelbagai kaum ialah Sambutan Hari Raya Aidilfitri, Tahun Baru Cina, Deepavali, Krismas dan Hari Gawai. Melalui kunjungan sambutan perayaan sesuatu kaum dapat menerbitkan perasaan saling hormat-menghormati terhadap adat dan kepercayaan kaum lain. Apa yang pasti, majlis rumah terbuka itu disambut dan diraikan oleh masyarakat berbilang etnik sambil menikmati bermacam-macam-macam juadah bersama-sama. Aktiviti seperti ini merupakan satu-satunya peluang yang perlu digunakan oleh rakyat Malaysia untuk bersantai bersama-sama sambil berkenalan dengan lebih rapat lagi (lihat Rajah 2.2).

2.3       Aktiviti Sukan Dan Permainan
Seterusnya dalam aktiviti sukan dan permainan pula, penglibatan masyarakat daripada pelbagai etnik di Malaysia terutamanya dalam sukan bola sepak, badminton dan hoki jelas menunjukkan kesepaduan sosial. Apa yang lebih penting, ketiga-tiga pasukan tersebut diwakili oleh rakyat Malaysia daripada pelbagai etnik. Pasukan bola sepak negara yang lebih dikenali dengan Harimau Malaya (lihat Rajah 2.3) telah mengharumkan nama negara di peringkat rantau benua dan antarabangsa. Aktiviti sukan dan permainan yang dijalankan dapat dijadikan tali penghubung atau gelanggang pertemuan pelbagai kaum di Malaysia.
                                     
2.4       Sambutan Bulan Kemerdekaan     
            Tanggal 31 Ogos 1957 adalah merupakan tarikh keramat kemerdekaan negara kita. Pada setiap tahun, pelbagai kaum akan bersama-sama meraikannya dan menyertai upacara sambutan hari kemerdekaan ini (lihat Rajah 2.4). Sambutan kemerdekaan ini sesungguhnya membuka satu lagi jalan dalam usaha untuk memupuk integrasi kaum di Malaysia. Kebiasaannya pelbagai kaum akan menyertai upacara sambutan kemerdekaan pada setiap tahun. Melalui pelbagai aktiviti yang dijalankan, akan dapat mengukuhkan ukhwah dan permuafakatan antara masyarakat pelbagai kaum di Malaysia.

3.0       Impak aktiviti yang bercorak integrasi kaum yang dijalankan dalam masyarakat

            Hubungan etnik di Malaysia wajar dimantapkan dari semasa ke semasa. Antara kaedah yang boleh digunakan untuk mengukuhkan lagi perhubungan sesama kaum ini adalah dengan melakukan aktiviti seperti bergotong-royong, rumah terbuka, aktiviti sukan dan juga sambutan bulan kemerdekaan. Aktiviti-aktiviti seperti ini diharapkan dapat mencapai tahap integrasi kaum yang lebih bersepadu. Apa yang lebih penting ialah impak yang akan terhasil kesan  daripada menyertai aktiviti tersebut.

3.1 Bergotong-royong
             Sebenarnya, aktiviti bergotong-royong ini merupakan contoh yang paling mudah untuk menggambarkan wujudnya kesepaduan dalam kalangan rakyat Malaysia. Impak daripada aktiviti bergotong-royong ini ialah dapat memupuk semangat bekerjasama serta nilai-nilai murni untuk membersihkan serta mengindahkan lagi kawasan persekitaran tempat kediaman masing-masing sesuai dengan slogan “Negara Bersih Rakyat Sihat”. Sememangnya aktiviti gotong-royong ini dapat meringankan beban dan memudahkan kerja yang sukar untuk dilakukan, ibarat kata pepatah, “Yang berat sama dipikul, yang ringan sama dijinjing”.   
                       
3.2       Sambutan Perayaan dan Majlis Rumah Terbuka
             Majlis rumah terbuka adalah satu lagi contoh realiti kesepaduan sosial yang wujud di kalangan rakyat Malaysia. Impak yang dapat dirasai melalui amalan kunjung-mengunjung ialah dapat mengeratkan lagi ikatan silaturahim di antara jiran serta rakan daripada pelbagai bangsa dan kaum. Ini juga akan meningkatkan interaksi sesama etnik. Sekiranya ini dapat dipraktikkan, nescaya masyarakat Malaysia akan mampu menghadapi apa-apa sahaja cabaran yang datang dari luar ibarat kata pepatah “Bersatu kita teguh, bercerai kita roboh”. Sikap seperti inilah yang membezakan rakyat Malaysia dengan rakyat negara lain. Apa yang lebih penting, amalan rumah terbuka di negara kita kini sudah menjadi identiti Malaysia di mata dunia. Ini kerana, jika masyarakat luar berbincang mengenai tradisi rumah terbuka, Malaysia pasti di sebut sebagai sebuah negara yang telah lama mengamalkannya.

3.3       Aktiviti Sukan Dan Permainan
             Di dalam aktiviti sukan dan permainan ini, perkara yang perlu diselesaikan ialah dengan memecahkan monopoli sukan dan permainan yang dikuasai oleh sesuatu kaum sahaja seperti bola keranjang dan sepak takraw. Kita mengharapkan semoga suatu masa nanti pasukan bola keranjang negara misalnya, boleh diwakili pelbagai kaum di Malaysia dan bukan dimonopoli oleh kaum Cina sahaja. Dengan bermain bersama-sama dalam sesuatu sukan dan permainan serta mewakili pasukan kebangsaan di peringkat antarabangsa, impak yang akan di lihat ialah dapat menanamkan semangat cintakan negara. Usaha ini sudah tentu akan dapat mengharumkan nama negara sekali gus meningkatkan imej negara di peringkat antarabangsa. Sukan ialah kesepaduan sosial dalam realiti masyarakat Malaysia yang jelas dapat dilihat pada hari ini. Semoga sukan di negara kita ini terus maju dan sihat, bak slogan yang selalu dilaungkan “Majulah Sukan Untuk Negara”.

3.4       Sambutan Bulan Kemerdekaan        
 Dengan menyertai aktiviti sambutan bulan kemerdekaan, impaknya adalah terlalu besar. Bukan sahaja dapat menimbulkan kesepaduan di kalangan setiap kaum yang hadir, malah dengan menghayati tema Hari Kebangsaan seperti “Sehati Sejiwa” diharap dapat menanamkan semangat cintakan negara, kesepaduan, kesefahaman, kekitaan dan kemanusiaan seluruh rakyat di negara ini. Seharusnya, semua kaum di Malaysia perlu memahami bahawa kemerdekaan yang digapai pada hari ini perlu dijaga dengan sebaiknya. Peribahasa “Hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri, baiklah di negeri sendiri” perlulah direnungi oleh setiap warganegara Malaysia agar Wawasan 2020 dapat dicapai.


3 comments: