Monday 18 November 2019

LATIHAN DAN PEMBANGUNAN


 PENGENALAN MENGENAI DEFINISI LATIHAN

Sumber manusia adalah komponen penting dalam sesebuah organisasi untuk melahirkan dan membentuk pekerja dengan pengetahuan, kemahiran serta kaedah bagi melaksanakan setiap tugasan yang diberikan. Objektif organisasi tidak akan dapat direalisasikan jika jabatan sumber manusia tidak mempunyai pengetahuan, kemahiran dan kaedah untuk melaksanakan tugasnya. Latihan bermula sejurus apabila seseorang pekerja memulakan tugasnya dan ia akan berterusan bergantung kepada keperluan organisasi, tugas dan pekerja itu sendiri. Oleh itu, peranan latihan dan pembangunan pada mana-mana organisasi tidak boleh dipandang remeh.
Latihan adalah proses pembelajaran yang disusun secara sistematik untuk melengkapkan pekerja dengan pengetahuan., kemahiran dan sikap yang diperlukan untuk melaksanakan tugas serta meningkatkan prestasi kerja (Khulida Kirana dan rakan-rakan, 2013). Latihan ialah sebarang inisiatif yang diambil oleh organisasi untuk menggalakkan pekerjanya belajar dan menambah pengetahuan. Ia juga sebagai proses mendidik pekerja baru tentang kemahiran asas yang mereka perlukan dalam melaksanakan tugas. Latihan lebih menumpukan kepada pemerolehan pengetahuan bagi jangka masa pendek.   
Menurut Nadler (1985), seperti yang dinyatakan oleh Khulida Kirana dan rakan-rakan (2013), latihan berkait rapat dengan tugasan yang dilakukan oleh pekerja pada masa kini. Nadler juga percaya latihannyang diberikan kepada pekerja mestilah ada kaitan dengan tugasannya yang terkini. Perkara ini adalah penting kerana pekerja boleh mengaplikasikan apa yang dipelajari sebaik pulang ke tempat kerja. Walaubagaimanapun, Blanchard dan Thacker (1999) melihat latihan sebagai proses sistematik untuk meningkatkan pengetahuan, kemahiran dan kemampuan untuk melaksanakan tugasan terkini dan pada masa hadapan.
Secara umumnya, latihan adalah aktiviti yang dirancang dan dianjurkan bagi mempelajari teknologi dan kaedah dalam pembangunan tingkah laku, membina pengetahuan dan meningkatkan kemahiran secara sistematik supaya seseorang itu memiliki keupayaan untuk melaksanakan tugas pada standard yang ditentukan. Dewan Bahasa dan Pustaka mentakrifkan bahawa latihan ialah pembelajaran atau didikan untuk membiasakan ajaran yang diterima. Ia merupakan satu perancangan yang sistematik untuk mengubah atau mengembangkan pengetahuan, kemahiran dan juga sikap melalui pengalaman bekerja bagi melahirkan prestasi kerja yang efektif. Definisi latihan menurut Harsono (1988), ialah latihan merupakan proses sistematik di mana ia perlu dilakukan secara berulang-ulang sehingga pekerja itu mahir dan mampu melaksanakandengan sempurna, malah merupakan satu proses yang berpanjangan selagi pekerja itu berkhidmat di dalam pekerjaannya.
            Menurut Poon (1994), latihan adalah merujuk pada segala usaha terancang organisasi untuk memudahkan pembelajaran tingkah laku kerja yang tertentu. Usaha ini bertujuan memperbaiki prestasi semasa dan prestasi masa depan pekerja dengan meningkatkan kebolehan pekerja melakukan tugas-tugas mereka supaya objektif-objektif organisasi dapat dicapai. Kebolehan pekerja dapat dipertingkatkan dengan mengubah sikap mereka atau menambah kemahiran dan pengetahuan mereka.
            Cascio (1989) pula menyatakan, latihan terdiri dari program terancang yang direka bentuk untuk menambahbaikkan prestasi diperingkat individu, kumpulan, dan organisasi. Prestasi yang bertambah baik, sebaliknya menyifatkan bahawa telah terdapat perubahan yang dapat diukur dalam pengetahuan, kemahiran, sikap dan kelakuan social. Sementara itu, menurut Truelove (1995), latihan adalah usaha atau ikhtiar untuk menambahkan pengetahuan, kemahiran dan tingkahlaku yang diperlukan dalam melaksanakan sesuatu perkara yang berkaitan kerja. Motifnya adalah untuk memperbaiki prestasi pekerja dengan cara yang khusus. Bagi Ricks, Ginn, dan Daughtrey (1995) berpendapat bahawa latihan adalah merujuk kepada aktiviti dan pengalaman yang direkabentuk untuk membangunkan kemahiran, pengetahuan dan kelakuan atas arahan organisasi. Latihan selalunya berkait rapat dengan tugas-tugas yang khusus atau yang berkaitan dengan kerja dan ia direkabentuk untuk mengajar kemahiran yang baru atau mempertingkatkan kemahiran yang ada. Latihan juga termasuk dalam penyediaan pekerja untuk melakukan tugas baru.

Tujuan Latihan

            Menurut Pertubuhan Perkhidmatan Tenaga Kerja (Manpower Services Commission) latihan boleh didefinasikan seperti berikut:
“Satu proses perancangan untuk merubah tingkahlaku, pengetahuan atau kemahiran melalui pengalaman pembelajaran dalam mencapai kejayaan yang berke   san melalui sesuatu atau pelbagai aktiviti. Tujuannya adalah untuk, (dalam suasana kerja) meningkatkan keupayaan seseorang dan memuaskan kehendak semasa serta masa depan tahap guna tenaga organisasi tersebut”.
            Tujuan utama diadakan latihan adalah untuk memastikan bahawa organisasi tersebut dapat mencapai pulangan yang memuaskan daripada pelaburan yang dibuat, terutamanya daripada sumber yang paling penting (dan yang paling berharga) iaitu pekerja mereka. Oleh sebab itu, tujuan utama latihan adalah mencapai sebarang perubahan dalam pengetahuan, kemahiran, pengalaman, tingkahlaku, atau perangai yang mana melonjakkan keupayaan seseorang pekerja itu. (Barry, 1994). Menurut Poon (1994), latihan perlu diadakan apabila wujud suatu jurang kelainan antara kebolehan seseorang individu dengan keperluan kerjanya, iaitu prestasinya berbeza daripada prestasi yang dikehendaki oleh majikan. Khususnya, antara tujuan latihan ialah :-
·        Untuk meningkatkan kemahiran dan pengetahuan pekerja dalam bidang-bidang yang tertentu.
·    Untuk menyesuaikan pekerja dengan system baru, prosedur dan cara kerja akibat daripada kemajuan teknologi yang menyebabkan perubahan.
·         Menolong pekerja lama dan pekerja baru untuk menyesuaikan diri dengan kehendak sesuatu kerja baru dalam organisasi.
·         Terdapat pekerja baru.
Bagi pendapat G.A. Cole (1983), keperluan latihan timbul apabila terdapat kekurangan pengetahuan, kefahaman, kemahiran dan tingkahlaku dikalangan pekerja jika dibandingkan dengan kehendak pekerjaan atau keperluan organisasi akibat dari transformasi.

           



No comments:

Post a Comment