Tuesday 17 April 2018

JURNAL REFLEKSI KHIDMAT MASYARAKAT


JURNAL REFLEKSI

SEBELUM PELAKSANAAN

            Tugasan Khidmat Masyarakat yang telah saya pilih ialah mengindahkan kawasan pusat pembelajaran yang sedang dipelajari / sekolah / tadika. Setelah memilih tajuk tugasan yang ingin dilakukan, saya bernekad untuk membuat tugasan khidmat masyarakat di Pra Sekolah Ibnu Khaldun, SK Seri Aman, Seri Gading, Batu Pahat, Johor. Program ini telah dijalankan pada hari Sabtu, 24.02.2018. Saya memilih tugasan ini kerana merasakan tanggungjawab yang harus saya berikan untuk berbakti kepada masyarakat dan menjadi warganegara yang patriotik. Alhamdulillah program yang dilaksanakan telah berjalan dengan lancar seperti yang dirancangkan mengikut jadual.
            Pada mulanya perbincangan bersama guru besar dan guru kelas prasekolah telah diadakan sebulan sebelum program ingin dijalankan. Setelah mendapat kelulusan daripada Guru Besar, mesyuarat bersama beberapa orang guru dan ahli jawatankuasa persatuan ibubapa telah diadakan untuk membincangkan kos-kos yang terlibat, pembahagian tugas serta aktiviti-aktiviti yang akan dijalankan.


SEMASA PELAKSANAAN

            Seawal jam 8.00 pagi, para ibubapa sudah mula tiba di Prasekolah Ibnu Khaldun untuk memulakan aktiviti yang telah dirancang.  Ada di antara ibu bapa yang hadir dengan membawa cangkul, penyapu, kain-kain buruk, pasu dan juga bunga-bungaan. Kami semua terus memulakan tugas masing-masing yang telah ditetapkan seperti membersihkan longkang, menyapu kawasan kelas, mengecat, melukis mural, menanam pokok bunga dan juga membersihkan taman permainan.
            Setelah gotong royong selesai dijalankan, kami semua berkumpul untuk menikmati jamuan yang telah disediakan dan majlis penyampaian cenderamata. Di samping itu juga, kami sempat beramah mesra sambil bertukar-tukar fikiran dan pandangan.


SELEPAS PELAKSANAAN

            Kekuatan program ini ialah saya dan ajk yang dilantik telah dapat memberikan kerjasama dalam melaksanakan program yang telah ditetapkan mengikut yang dirancang. Melalui penyertaan khidmat masyarakat ini saya telah mendapat pendedahan tentang pengurusan, perancangan dan pengelolaan sesuatu tugas. Saya juga dapat membina hubungan yang baik di antara rakan-rakan dan ibubapa yang terlibat. Selain daripada itu juga, saya turut didedahkan dengan cara dan prosedur berkaitan pengurusan apabila bekerja di dalam sesebuah kumpulan.

            Secara kesimpulannya, telah dapat dirumuskan bahawa banyak faedah telah dapat diperolehi daripada projek yang dijalankan ini. Di antaranya ialah :-
i)                    Mengetahui kaedah untuk mengadakan dan mengendali mesyuarat
ii)                  Memahami peraturan-peraturan yang boleh dan tidak boleh dilaksanakan di sekolah.
iii)                Merasa lebih yakin semasa berurusan dengan organisasi lain.
iv)                Memupuk semangat kerjasama dan toleransi di kalangan guru dan ibu bapa.
v)                  Memupuk rasa tanggungjawab untuk mencintai kebersihan.
vi)                Dapat bertukar-tukar pandangan dan fikiran untuk menjadi lebih baik di antara satu sama lain.

            Walaubagaimanapun, terdapat juga kelemahan yang masih boleh diperbaiki seperti :-

i)                    Masa yang suntuk semasa menjalankan aktiviti.
ii)                  Ketidakhadiran beberapa orang ibubapa untuk sama-sama bergotong-royong mencantikkan kawasan sekolah.
iii)                Peruntukan kewangan yang terhad.
iv)                Terpaksa berhati-hati ketika beramah mesra atau meminta bantuan dengan para ibu bapa agar tidak tersinggung.



CADANGAN

            Saya juga ingin mencadangkan agar di masa-masa yang akan datang aktiviti bergotong-royong untuk membersihkan kawasan sekolah patut dijadikan aktiviti wajib kepada para ibu bapa. Aktiviti seperti ini bolehlah di buat 2 kali dalam setahun. Selain daripada mencantikkan kawasan persekitaran pembelajaran anak-anak, para ibu bapa juga dapat mengutarakan atau bertanya soalan kepada guru kelas mengenai pembelajaran dan perkembangan anak-anak di sekolah.
            Selain daripada itu, jawatankuasa kebersihan juga bolehlah diwujudkan dikalangan ibubapa agar mereka dapat memastikan kawasan sekolah anak mereka sentiasa bersih dan cantik. Secara tidak langsung ini akan menggalakkan anak-anak mereka untuk hadir ke sekolah dengan perasaan gembira dan seronok.

No comments:

Post a Comment