Wednesday 7 August 2019

BBSH4103 PENGURUSAN HAZARD PUNCA-PUNCA KEMALANGAN DI TEMPAT KERJA


TOPIK : PENGURUSAN HAZARD

1.0 EMPAT PUNCA-PUNCA LAZIM KEMALANGAN PEKERJAAN

Pengamalan budaya kerja yang selamat dan sihat memerlukan kerjasama dan komitmen semua pihak dalam organisasi. Golongan pekerja sering menyalahkan pihak pengurusan kerana tidak menyediakan peralatan yang selamat manakala pihak pengurusan menyalahkan pekerja keran tidak mengikut prosedur yang ditetapkan. Jika keadaan ini berterusan dan berlaku kemalangan, ia akan merugikan kedua-dua belah pihak. Kemalangan bukan sahaja menyebabkan kerosakan pada harta tetapi juga boleh turut menyebabkan kecederaan dan juga kematian. Kecenderungan utama berlaku kemalangan di tempat kerja boleh dibahagikan kepada beberapa faktor utama iaitu punca asas dan punca langsung. Menurut Nor Azimah dan rakan-rakan (2014), terdapat beberapa teori yang boleh digunakan untuk mengetahui punca-punca lazim kemalangan di tempat kerja. Teori-teori tersebut adalah seperti yang berikut:-

1.1       TEORI DOMINO

            Teori Domino telah diperkenalkan oleh Herbert W.Heinrich selepas beliau mengkaji 75,000 laporan kemalangan perusahaan. Berdasarkan hasil kajian tersebut,  dia merumuskan bahawa 80% kemalangan perusahaan adalah berpunca daripada tindakan tidak selamat yang dilakukan oleh sesama pekerja, 10% daripada keadaan tidak selamat, dan hanya 2% yang tidak dapat dielakkan. Contoh kerja yang tidak selamat yang dilakukan oleh pekerja ialah bersikap cuai dan tidak mematuhi prosedur keselamatan. Manakala contoh keadaan kerja yang tidak selamat ialah semasa bekerja di bangunan tinggi tanpa kelengkapan dan peralatan yang selamat dan menggunakan alatan elektrik yang sudah rosak atau tidak berfungsi dengan baik. Selain itu, kemalangan yang tidak dapat dielakkan ialah seperti banjir, ribut dan kemalangan yang disebabkan oleh individu lain.

1.2       TEORI FAKTOR MANUSIA

            Teori Faktor Manusia menyifatkan kemalangan di tempat kerja ialah rangkaian kemalangan akibat kesilapan manusia. Berikut adalah tiga faktor besar yang menyebabkan kesilapan manusia boleh berlaku :-

1.2.1    Sarat (Beban lebih)

            Sarat ialah keadaan tidak seimbang antara keupayaan seseorang pada sesuatu masa dan bebanan yang boleh dibawa pada keadaan tertentu. Keupayaan seseorang ialah penggabungan beberapa kualiti seperti keupayaan semula jadi, latihan, keadaan minda, tekanan dan keadaan fizikal.
            Beban yang boleh dibawa seseorang mengandungi tugasan di bawah tanggungjawabnya dan beberapa beban tambahan akibat daripada faktor seperti :-
a) Faktor alam persekitaran (bising, tarikan dan sebagainya).
b) Faktor dalaman (masalah peribadi, tekanan perasaan dan kebimbangan.
c) Faktor keadaan (paras risiko, arahan tidak jelas dan seumpamanya).
Bagaimana seseorang itu bertindak ialah hasil paras motivasi dan tahap rangsangan.

1.2.2    Tindak balas tidak sesuai

            Cara seseorang bertindak balas terhadap sesuatu keadaan boleh menyebabkan atau mencegah kemalangan. Jika seseorang mengesan keadaan bahaya tetapi tidak berbuat sesuatu untuk membetulkannya, maka dia telah melakukan tindak balas yang tidak sesuai. Contohnya, pekerja di tapak pembinaan mesti memakai topi keselamatan dan mematuhi semua garis panduan keselamatan yang telah ditetapkan oleh pihak pengurusan. Tidak mematuhi peraturan ini boleh dianggap sebagai tindak balas yang tidak berpatutan. (Rujuk Rajah 2.0).
            Jika seseorang mengeluarkan alat perlindungan daripada sebuah jentera sebagai usaha untuk meningkatkan pengeluaran, makan dia telah melakukan tindak balas yang tidak sesuai. Sekali lagi, jika seseorang mengabaikan prosedur keselamatan yang diiktiraf, maka tindak balasnya tidak sesuai dan boleh menyebabkan berlakunya kemalangan. Selain daripada itu juga, ketidaksesuaian tempat kerja atau persekitaran boleh menyumbang pada kemalangan. Ketidaksesuaian tempat kerja seseorang berkaitan dengan saiz fizikal kemudahan yang ada dan juga pasukan, kecapaian, rasa dan faktor seumpamanya yang boleh menyebabkan kemalangan dan kecederaan.

1.2.3    Aktiviti Tidak Sesuai
            Kesilapan manusia boleh berlaku diakibatkan oleh aktiviti tidak sesuai. Contohnya, seseorang menjalankan tugasan yang tidak biasa dilakukan. Contoh lain ialah kesalahan menilai tahap risiko sesuatu tugasan. Aktiviti yang tidak sesuai boleh mengakibatkan kemalangan dan kecederaan.

Untuk memahami Teori Faktor Manusia dengan lebih lanjut. sila rujuk Rajah 3.0.
                                   
1.3       TEORI KEMALANGAN ATAU KEJADIAN

            Teori kemalangan atau kejadian ialah sambungan daripada Teori Faktor Manusia. Ia dibangunkan oleh Den Petersen dan kadangkala dikenali sebagai Teori Kemalangan atau Kejadian Petersen. Petersen memperkenalkan beberapa unsur baru seperti perangkap ergonomik, keputusan yang silap, dan kegagalan sistem. Teori ini menerangkan bahawa sarat, perangkap ergonomik, dan keputusan untuk membuat salah menyebabkan kesilapan manusia. Kesalahan membuat keputusan berkemungkinan dibuat secara dan logik atau juga secara tidak sedar.
            Pelbagai tekanan seperti tarikh akhir yang ketat, tekanan rakan sekerja dan kekangan belanjawan adalah faktor yang boleh menyumbang pada kelakuan yang tidak selamat. Faktor lain yang boleh mempengaruhi keputusan ialah sikap “ia tidak akan berlaku kepada saya”.
            Komponen kegagalan sistem pula ialah sumbangan penting dalam teori Petersen. Pertama ia menunjukkan ada kemungkinan yang berlaku akibat hubungan antara pengurusan keputusan atau gelagat pengurusan dengan keselamatan. Kedua, ia membina peranan pengurusan dalam pencegahan keselamatan dan juga konsep yang meluas dalam keselamatan dan kesihatan pekerjaan.

1.4       TEORI EPIDEMIOLOGI

            Teori Epidemiologi ialah bidang kajian ilmiah yang mengkaji hubungan penyebab antara faktor alam persekitaran dengan penyakit. Teori ini menyatakan bahawa model ini digunakan untuk mengkaji dan menentukan hubungan yang boleh digunakan untuk mengkaji hubungan penyebab antara faktor alam persekitaran dan kemalangan ataupun penyakit. Komponen utamanya merupakan sifat kecenderungan dan sifat keadaan. Sifat ini jika di ambil bersama akan menghasilkan atau mencegah keadaan yang mengakibatkan kemalangan.
            Sebagai contoh, pekerja akan mudah terkena tekanan daripada rakan sekerja (sifat kecenderungan) dan dia ditekan oleh rakan sekerja (sifat keadaan) untuk mempercepatkan operasinya. Sebarang keputusan berkemungkinan akan menghasilkan kecuaian sehingga meningkatkan kebarangkalian berlaku kemalangan di tempat kerja.



2.0 PENILAIAN MENGENAI AMALAN-AMALAN KESIHATAN DAN KESELAMATAN DI MALAYSIA AIRPORT HOLDINGS BERHAD

            Terdapat sebuah jawatankuasa yang mengawal dan mengurus sistem keselamatan di bawah jabatan yang dipanggil sebagai Quality Management System (QMS) yang juga berfungsi dalam mengurus tadbir Safety Management System (SMS). Selain itu, terdapat sebuah jawatankuasa atau sistem yang telah diwujudkan oleh Malaysia Airport Holdings Berhad (MAHB), yang bertanggungjawab dalam keseluruhan aspek dalam kesihatan dan keselamatan pekerjaan diaplikasikan dengan baik dan mengikut prosedur yang telah ditetapkan. Sistem ini diwakili daripada pekerja yang merangkumi daripada pelbagai unit, seperti AVSEC (Aviation Security), AFRS (Airport Fire & Rescue System), unit kejuruteraan, dan lain-lain lagi unit yang wujud dalam carta organisasi MAHB ini.
            AFRS adalah merupakan sebuah unit bomba dan penyelamat milik MAHB sendiri yang sentiasa bersedia sekiranya berlaku insiden dan kemalangan di sekitar kawasan lapangan terbang. AFRS mempunyai 4 buah trak bomba yang berharga RM3.2 juta setiap satu selepas cukai. Trak tersebut menampilkan ciri-ciri teknologi moden yang amat kondusif dalam usaha untuk menangani dan memadamkan kebakaran yang berlaku di kawasan lapangan terbang tersebut sama ada melibatkan pesawat ataupun bangunan di terminal lapangan terbang. Dalam prosedur yang telah ditetapkan, AFRS perlu bertindak dalam lingkungan 6 minit selepas laporan diterima daripada “Air Traffic Control”.
            Sementara itu, AVSEC pula adalah sebuah pasukan keselamatan khas yang berfungsi dalam bertindak menjaga keselamatan di kawasan sekitar lapangan terbang dari ancaman jenayah atau insiden kemalangan yang berlaku. AVSEC terdiri daripada pasukan polis bantuan yang telah diberi pentauliahan daripada pihak polis selepas setiap latihan ditamatkan. Pegawai AFRS atau AVSEC akan diberi latihan di sebuah pusat latihan khas dikenali sebagai ECA Training College .
            Dalam perancangan dan amalan keselamatan yang telah digariskan oleh MAHB, terdapat 3 jenis latihan atau tindakan yang akan dilakukan sebagai persediaan kepada sebarang insiden yang akan berlaku. Antara latihan dan tindakan tersebut ialah seperti :-
i)          Table Talk” yang berfungsi dalam membincangkan perkara-perkara yang boleh mendatangkan bahaya yang berlaku di tempat kerja yang akan diadakan enam bulan sekali.
ii)         “Partial Exercise” yang melibatkan pihak AFRS dan juga hospital tempatan yang akan membuat latihan untuk menghadapi kecemasan yang dijangka akan berlaku, iaitu latihan berfokus.
ii)         Full Scale Exercise” yang diadakan dua tahun sekali di mana latihan ini melibatkan orang awam sekitar lapangan terbang MAHB.

Selain itu juga, terdapat beberapa budaya keselamatan lain yang telah diterapkan oleh MAHB ini. Pihak MAHB telah menetapkan beberapa prosedur penting dalam syarikat bagi memastikan setiap tindakan yang dilakukan sekiranya berlaku kecemasan adalah mengikut garis panduan yang telah ditetapkan oleh pihak syarikat yang dipanggil Airport Emergency Procedure (AEP). AEP adalah sebuah fail yang berfungsi dalam menentukan dan menerangkan tindakan yang seharusnya di ambil sekiranya berlaku kecemasan. Fail tersebut juga menjelaskan mengenai beberapa jenis kecemasan yang mungkin akan berlaku di sekitar kawasan lapangan terbang. Antara budaya keselamatan lain yang diamalkan oleh MAHB juga ialah dengan mengadakan Workplace Inspection yang dilakukan 4 bulan sekali. Seramai 7 hingga 8 orang yang bertauliah akan dipertanggungjawabkan untuk melakukan pemantauan terhadap kawasan tempat kerja di sekitar terminal lapangan terbang tersebut. Sekiranya terdapat sebarang situasi atau keadaan yang boleh mendatangkan risiko, satu laporan akan dibuat oleh pemantau tersebut dan akan diserahkan kepada pihak atasan pengurusan untuk mengambil tindakan yang seterusnya.
            Dalam konteks kesihatan pula, pihak MAHB menyediakan beberapa pakej rawatan kesihatan kepada pekerja-pekerja dan akan melakukan pemeriksaan kesihatan terhadap penyakit-penyakit yang boleh dihidapi oleh pekerja-pekerja di sekitar lapangan terbang. Antara pakej rawatan tersebut ialah seperti noise monitoring yang akan dilakukan setahun sekali dalam memastikan pendengaran pekerja-pekerja tidak terkesan daripada bunyi-bunyi enjin kapal terbang yang sangat kuat. Pihak MAHB akan melantik konsultan daripada hospital luar untuk menjalankan rawatan tersebut. Selain daripada aktiviti yang melibatkan kesihatan dan keselamatan di tempat kerja, terdapat beberapa kempen yang dianjurkan oleh ibu pejabat MAHB di Semenanjung telah diadakan di lapangan-lapangan terbang di sekitar Malaysia antaranya ialah kempen pengagihan poster mengenai kesedaran kepentingan Safety Management System (SMS) yang sebenarnya lebih berfokus kepada pihak pekerja di MAHB sendiri. Pihak ibu pejabat juga akan mengadakan beberapa taklimat penerangan mengenai Occupational Safety & Health (OSH) terhadap pekerja MAHB untuk meningkatkan lagi kesedaran pekerja terhadap kepentingan Keselamatan dan Kesihatan di tempat kerja.

3.0 CADANGAN UNTUK MENGURANGKAN KESAN-KESAN KEMALANGAN PEKERJAAN

Pepatah ada menyatakan bahawa mencegah itu adalah lebih baik dari merawat. Dalam mencegah kemalangan ini, pelbagai teori telah dikeluarkan oleh pihak yang berkaitan dan yang paling popular ialah prinsip pencegahan yang dikeluarkan oleh Kementerian Buruh dan Perkhidmatan Kebangsaan UK, 1956. Walaupun sudah berusia hampir separuh abad, namun masih relevan. Antara prinsip yang dinyatakan ialah :-
·         Kerjasama pengurusan dengan pekerja mestilah berterusan dan bersungguh-sungguh.
·         Pemimpin tertinggi dan semua peringkat mestilah menyokong langkah keselamatan yang dilaksanakan.
·         Dasar keselamatan dan kesihatan hendaklah jelas dan diketahui oleh semua peringkat.
·         Pengetahuan dan kaedah terbaik mestilah digunakan.

Menurut Nor Azimah dan rakan-rakan (2014), beberapa cadangan umtuk mengurangkan kesan-kesan kemalangan di tempat kerja boleh dipraktikkan iaitu :-

3.1       Prinsip Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 (AKTA 514)
            Akta 514 berasaskan konsep peraturan diri yang melibatkan sesiapa yang mewujudkan risiko dan bekerja dengan risiko tersebut bertanggungjawab untuk memastikan keselamatan dan kesihatan di tempat kerja. Mereka yang mewujudkan risiko ialah majikan, manakala yang bekerja dengan risiko ialah pekerja.
4.1.1    Terdapat empat objektif matlamat AKTA 514 iaitu :-
·         Memastikan keselamatan, kesihatan dan kebajikan individu di tempat kerja terhadap risiko keselamatan dan kesihatan berbangkit dari kegiatan individu di tempat kerja,
·         Melindungi individu di tempat kerja selain daripada pekerja terhadap risiko keselamatan dan kesihatan berbangkit daripada kegiatan pekerja,
·         Mempromosi persekitaran pekerjaan kepada individu di tempat kerja yang boleh diadaptasi untuk keperluan fisiologi dan kejiwaan.
·         Menyediakan cara yang berkaitan perundangan keselamatan dan kesihatan agar ia bisa berkembang untuk digantikan dengan sistem peraturan dan kod amalan industri yang diluluskan dengan gabungan peraturan akta ini, direka khas untuk menyelenggarakan dan menambahbaik piawai keselamatan dan kesihatan.
3.2       Pemantauan Perubatan

            Majikan mesti memastikan setiap pekerjanya menjalankan kerja dalam keadaan selamat dan sihat untuk mengelakkan risiko kepada kesihatan. Oleh itu, majikan mesti memberikan perlindungan kepada pekerja mereka terhadap penyakit yang disebabkan keaslian proses atau bahan yang digunakan dalam proses. Individu di bawah umur 16 tahun mesti dicegah daripada bekerja kerana akan mendatangkan risiko kecederaan. Hal ini kerana pekerja akan terlibat dengan pekerjaan dengan risiko khusus seperti yang tersenarai dalam Rajah 4.0, mereka mesti dilindungi oleh majikan daripada risiko ke atas kesihatan. Bagi mencegah penyakit dan kecederaan pekerjaan, majikan mestilah menjalankan pemantauan perubatan ke atas pekerja khususnya kepada mereka yang terlibat dengan pekerjaan yang ada risiko khas. 

3.3       Pegawai Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan

Tugas-tugas pegawai keselamatan dan kesihatan mengikut akta adalah seperti yang berikut :-

a)         Memberi nasihat kepada majikan tentang langkah yang mesti di ambil demi kepentingan keselamatan dan kesihatan orang yang digaji di tempat kerja.
b)         Memeriksa tempat kerja,
c)         Menyiasat sebarang kemalangan, hampir berlakunya kemalangan, kejadian bahaya, keracunan pekerjaan atau penyakit pekerjaan yang berlaku di tempat kerja,
d)         Membantu majikan atau jawatankuasa keselamatan dan kesihatan menganjurkan dan melaksanakan program keselamatan dam kesihatan pekerjaan di tempat kerja,
e)         Menjadi setiausaha kepada jawatankuasa keselamatan dan kesihatan,
f)         Membantu jawatankuasa keselamatan dan kesihatan dalam sebarang pemeriksaan di tempat kerja,
g)         Mengutip, menganalisis dan mengekalkan perangkaan bagi sebarang kemalangan, kejadian bahaya, keracunan pekerjaan dan keracunan penyakit yang telah berlaku di tempat kerja,
h)         Membantu mana-mana pegawai menjalankan sebarang perkara berkenaan keselamatan dan kesihatan di tempat kerja,
i)          Menghantar laporan keselamatan dan kesihatan kepada majikan pada setiap bulan dengan itu majukan akan membincangkan laporan berkenaan dengan pegawai keselamatan dan kesihatan selepas menerima laporan tersebut,
j)          Sebarang arahan mengenai keselamatan dan kesihatan pekerjaan yang berlaku dari semasa ke semasa.

Keanggotaan jawatankuasa keselamatan dan kesihatan pekerjaan ialah ;-
a)         Pengerusi – Majikan atau pembantunya.
b)         Setiausaha – Pegawai keselamatan dan kesihatan pekerjaan atau mana-mana anggota jawatankuasa yang dipilih.
c)         Wakil Majikan – Dari jabatan yang terpilih.
d)         Wakil Pekerja – Dari jabatan yang terpilih.

3.4       Jawatankuasa Keselamatan dan Kesihatan

            Akta 514 menghendaki majikan membentuk jawatankuasa keselamatan dan kesihatan di tempat kerja bagi memastikan keselamatan, kesihatan dan kebajikan pekerja. Jawatankuasa ini merupakan struktur rasmi organisasi yang majikan dan pekerja boleh membincangkan dan menyelesaikan masalah keselamatan dan kesihatan di tempat kerja. Rajah 5.0 menunjukkan syarat mewujudkan jawatankuasa keselamatan dan kesihatan.
Rajah 5.0 :     Dua syarat untuk mewujudkan jawatankuasa keselamatan dan kesihatan.
Rujukan : Nor Azimah dan rakan-rakan (2015), Modul BBSH4103 Pengurusan Hazad

Keahlian jawatankuasa, pemilihan ahli jawatankuasa dan fungsi jawatankuasa adalah termaktub dalam Peraturan Keselamatan dan Kesihatan (Jawatankuasa Keselamatan dan Kesihatan) 1996. Rajah 6.0 menjelaskan keahlian Jawatankuasa Keselamatan dan Kesihatan.
Rajah 6.0 : Keahlian Jawatankuasa Keselamatan dan Kesihatan.
Rujukan : Nor Azimah dan rakan-rakan (2014), Modul BBSH4103 Pengurusan Hazad
Fungsi Jawatankuasa Keselamatan dan Kesihatan di tempat kerja adalah seperti berikut :-
a)         Menggubal peraturan keselamatan dan kesihatan dan sistem kerja yang selamat,
b)         Menyemak keberkesanan program keselamatan dan kesihatan,
c)         Menjalankan kajian terhadap kecenderungan kemalangan, nyaris kemalangan, kejadian berbahaya, keracunan pekerjaan atau penyakit pekerjaan yang berlaku di tempat kerja, dan melaporkan ke majikan sebarang keadaan atau amalan yang tidak selamat dan tidak sihat di tempat kerja bersama-sama dengan saranan untuk tindakan pembetulan,
d)         Menyemak dasar keselamatan dan kesihatan di tempat kerja dan membuat syor kepada majikan untuk sebarang semakan terhadap dasar berkenaan,
e)         Memeriksa tempat kerja paling kurang setiap tiga bulan bagi memastikan tiada sebarang sangkaan tidak baik terhadap keselamatan dan kesihatan pekerja yang diambil bekerja,
f)         Menyiasat sebarang kemalangan yang berlaku di tempat kerja,
g)         Menyiasat dan menyelesaikan sebarang aduan yang dibuat oleh pekerja terhadap sebarang tindakan atau keadaan tempat kerja yang tidak selamat,
h)         Membantu majikan dalam sebarang persaingan, syarahan mengenai keselamatan dan kesihatan atau sebarang kegiatan berkaitan keselamatan dan kesihatan,
i)          Mengambil pertimbangan terhadap perkara yang berikut :-
·            Sebarang laporan yang dihantar oleh pegawai keselamatan dan kesihatan,
·            Audit keselamatan yang dihantar oleh pegawai audit keselamatan dan kesihatan,
·            Laporan dan kebenaran maklumat yang disediakan oleh pegawai keselamatan dan kesihatan,
·            Laporan oleh agensi kerajaan yang lain mengenai perkara berkaitan dengan keselamatan dan kesihatan di tempat kerja.
j)          Membentuk jawatankuasa kecil untuk membantu jawatankuasa dalam prestasi fungsinya.

Jawatankuasa keselamatan dan kesihatan sepatutnya mengadakan mesyuarat setiap 3 bulan sekali. Namun, mesyuarat boleh dipanggil dengan segera jika berlaku kemalangan yang mengakibatkan kehilangan nyawa atau kecederaan parah. Majikan di tempat kerja sewajarnya menyediakan tempat yang sesuai untuk jawatankuasa mengadakan mesyuarat dan memberikan kebenaran kepada ahli jawatankuasa yang menghadiri mesyuarat di waktu kerja.

No comments:

Post a Comment