Friday 12 April 2019

RESEARCH METHODOLOGY BBRC4103


PENGENALAN

            Apakah itu Penyelidikan? Menurut Salkind (2000), penyelidikan adalah satu proses untuk menghasilkan suatu pengetahuan yang baru. Di dalam menjalankan sesuatu penyelidikan, metodologi penyelidikan merupakan elemen penting yang perlu di ambil berat kerana ianya merupakan kaedah bagaimana sesebuah penyelidikan itu dijalankan. Untuk memastikan penyelidikan dapat dijalankan secara tersusun, metodologi penyelidikan dapat membantu untuk menghasilkan keputusan penyelidikan yang lebih baik. Terdapat pelbagai metodologi penyelidikan yang boleh digunakan dan bergantung kepada jenis penyelidikan yang dijalankan terdiri dalam bidang saintifik, kesusasteraan, sosiologi, teknologi dan sebagainya.
            Penyelidikan melibatkan proses daripada pelbagai peringkat. Walaupun jumlah peringkat dalam proses penyelidikan itu berbeza, penyelidikan perlu mempunyai peringkat mengenal pasti topic, sorotan literature, merancang strategi, mengumpul data, menganalisis data dan juga menulis laporan. Dalam proses penyelidikan, perbincangan rasional perlu ada di setiap peringkat walaupun sukar untuk dilakukan di dalam keadaan yang sebenar. Kadangkala, pengkaji perlu kembali ke setiap peringkat kerana setiap peringkat berkait rapat dan mungkin mempengaruhi atau dipengaruhi antara satu dengan yang lain. Setiap kali pengkaji kembali ke sesuatu peringkat, pengkaji perlu untuk membuat refleksi isu-isu yang terbabit, memperhalus idea, dan mengambil kira isu etika serta akses semasa penyelidikan itu dijalankan.
            Menurut Ahmad Shuib dan rakan-rakan (2014), Proses Penyelidikan bermula dengan sesuatu peristiwa, keadaan dan objek yang menarik minat atau keinginan untuk mengetahui sesuatu perkara. Penyelidikan ialah proses mengumpul maklumat yang diperlukan, untuk menjawab persoalan tertentu, untuk membantu menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh individu, organisasi atau masyarakat. Maklumat yang diberikan mestilah baik agar ia berguna. Bagi mendapatkan maklumat yang baik, proses untuk mendapatkannya juga mestilah baik. Proses yang baik ialah proses saintifik atau proses bersistematik.
           
1.1              Langkah-langkah dalam proses penyelidikan ialah :-

·         Mengenalpasti masalah
·         Membangunkan Persoalan Kajian
·         Sorotan Literatur
·         Falsafah dan pendekatan Penyelidikan
·         Rekabentuk penyelidikan
·         Pengumpulan Data (Persampelan, data sekunder, pemerhatian, temubual dan soal selidik)
·         Pemprosesan dan analisis data (Kaedah kuantitatif dan kualitatif)
·         Rumusan dan laporan.


            Di dalam proses kajian penyelidikan, setiap penyelidikan akan melalui proses yang tersendiri bergantung kepada bidang dan jenis penyelidikan yang dijalankan. Kronologi yang berlaku pada setiap penyelidikan juga adalah berbeza namun pada dasarnya perlulah dimulai dengan menentukan tajuk penyelidikan dan diakhiri dengan menulis laporan penyelidikan. Walaupun begitu, setiap langkah tidak perlu diselesaikan sebelum langkah yang seterusnya diambil. Ada ketikanya sesuatu langkah itu mengambil masa yang terlalu lama dan jika ditunggu akan mengganggu perjalanan keseluruhan penyelidikan.
            Terdapat dua metodologi yang sering diguna pakai dalam menjalankan penyelidikan iaitu kaedah kuantitatif dan kualitatif. Kedua-dua kaedah ini memerlukan fakta dan data untuk di analisis. Gabungan kedua jenis kaedah ini dikenali sebagai kaedah rangkaian segi tiga (triangulation method). Kaedah rangkaian segitiga dipilih berdasarkan permasalahan penyelidikan yang lebih berbentuk tertutup. Menurut Fellows dan Liu (2003), dengan menggunakan kaedah rangkaian segi tiga, keputusan yang tepat akan diperolehi kerana kekurangan dan kelebihan kedua jenis kaedah ini akan melengkapi di antara satu sama lain. Walaupun begitu, kedua-dua kaedah ini mempunyai kelebihan dan kelemahan masing-masing.
            Kaedah Kuantitatif melibatkan kaedah saintifik selepas sedikit kajian teori dan literature dijalankan bagi menguji hipotesis. Kaedah ini melibatkan pungutan data dari pelbagai sumber dan akan dianalisis secara formula bergantung kepada jenis statistik yang dipilih. Terdapat pelbagai kaedah statistik boleh dipilih dan digunakan mengikut kesesuaian di dalam penyelidikan. Di antara kaedah yang digunakan ialah ujian parametik, ujian bukan parametik, regressi dan kolerasi, jangkaan masa dan nombor indeks.
            Kaedah Kualitatif pula adalah penyelidikan yang dijalankan tanpa menggunakan sebarang formula. Ia hanya dilakukan dengan memahami topik penyelidikan diikuti dengan pungutan fakta dan data di mana teorinya akan membantu untuk mendapatkan keputusan penyelidikan. Kaedah ini dianggap mudah kerana ianya tidak memerlukan sebarang kaedah matematik dan statistik ketika analisis data dilakukan. Oleh kerana kaedah ini tidak menggunakan pengiraan matematik, maka setiap keputusan analisis perlu dibuat dengan bijak berdasarkan daripada semua teori yang ada.
            Untuk memastikan sesuatu penyelidikan itu berjaya, setiap pengkaji perlulah mendapatkan maklumat yang terkini. Selain itu pengkaji haruslah mendapatkan maklumat daripada mereka yang mempunyai lebih banyak maklumat berkenaan dengan sesuatu situasi dan prospek teknologi. Pengkaji juga perlu mengenal pasti pengkaji lain yang membuat penyelidikan yang sama dan yang lebih utama pengkaji perlu mengenal pasti kejayaan dan kegagalan pengkaji lain dalam keadaan yang sama.
            Walaubagaimanapun, pengkaji juga perlu berhati-hati di dalam membuat penyelidikan kerana terdapat beberapa faktor yang boleh menggugat proses penyelidikan. Faktor-faktor tersebut ialah seperti sindrom metodologi yang terbaik, terdapat tanggapan bahawa dapatan kajian dapat menyelesaikan semua masalah. Selain itu, soalan yang direka bentuk tidak boleh diukur ditambah lagi dengan permasalahan kajian yang tidak dinyatakan dengan jelas. Bukan itu sahaja, penyelidikan yang dipolitikkan juga boleh menggugat proses penyelidikan.


No comments:

Post a Comment