Tuesday, 18 April 2017

Tujuan Kemahiran Berfikir Dan Menyelesaikan Masalah

Apakah itu berfikir? Menurut Haresh Kumar Kantilal dan Anton Espira (2012), seperti yang dinyatakan oleh Ruggiero, V.R (2008), Berfikir didefinisikan sebagai aktiviti mental bersebab yang sedikit sebanyak berada di bawah kuasa atau kawalan kita. Bukti telah menunjukkan berfikir boleh dilakukan dalam keadaan minda separa sedar dan tanpa sedar. Berfikir adalah satu proses semula jadi. Kita biasa diingatkan oleh orang yang berkuasa untuk berfikir dan menggunakan akal sedangkan apa sebenarnya yang perlu kita tahu adalah bagaimana untuk melakukan proses berfikir secara mendalam serta kemahiran berfikir secara reflektif. Memandangkan individu hari ini sudah terbiasa dengan jawapan mudah dan jalan penyelesaian yang siap sedia untuk diguna pakai sedangkan masalah dan cabaran dalam kehidupan adalah sukar dan kompleks. Oleh itu, masalah-masalah ini sebenarnya memerlukan kita memupuk pemikiran lebih mendalam dan bukan hanya sekadar berfikir di peringkat permulaan. Beberapa percubaan telah dilakukan untuk menerangkan sifat semula jadi berfikir dan pandangan paling popular dewasa ini yang dianggap tidak penting adalah berfikir sepenuhnya bersifat lisan. Kepentingan berfikir hanya dihargai apabila seseorang berhadapan dengan situasi kehidupan yang memerlukan mereka menggunakan kemahiran seperti menganalisa, menyelesaikan masalah dan membuat keputusan yang tepat.
Untuk menjadi seorang penyelesai masalah yang berkesan, seseorang itu perlu mempunyai kedua-dua fakta dan kemahiran berfikir yang baik. Apakah itu penyelesaian masalah? Menurut Fensel & Motta, (1997), Penyelesaian masalah dan teknik yang berkaitan dengannya adalah komponen bebas iaitu domain penaakulan, yang menggariskan pola-pola tingkah laku  yang boleh digunakan kembali untuk merentasi aplikasi. (Haresh Kumar Kantilal dan Anton Espira, 2012). Ini bermaksud, penyelesaian masalah adalah satu siri teknik, melibatkan kedua-dua aspek iaitu kognitif dan tingkah laku, yang boleh di aplikasi pada pelbagai bidang untuk mendapatkan penyelesaian. Secara keseluruhan, penyelesaian masalah melibatkan satu siri tahap yang bermula daripada mengenal pasti satu masalah dan seterusnya membawa kepada pembinaan satu penyelesaian. Penyelesaian masalah boleh dilihat sebagai satu proses berstruktur serta berorientasi terarah. Walau bagaimanapun dalam arah bagi penyelesaian, kita perlu mendefinisikan masalah terlebih dahulu, diikuti dengan matlamat yang diingini atau perubahan yang diperlukan. Tahap-tahap dalam penyelesaian masalah adalah :-
·         Mengecam dan mendefinisi satu masalah;
·         Mencari kemungkinan penyelesaian;
·         Memilih penyelesaian terbaik; dan
·         Mengimplementasi penyelesaian.
Masalah-masalah boleh diselesaikan dengan mengaplikasikan dua pendekatan asas iaitu :-
·         Mengambil kira sebab atau sumber masalah
·         Mengambil kira kesan-kesan atau simptom-simptom masalah.
Adalah penting untuk kita merancangkan penyelesaian bagi masalah sebelum meneruskan kepada proses sebenar untuk menyelesaikannya.

1.2       Penyakit Yang Berkaitan Dengan Tekanan

Untuk topik tugasan kali ini, kajian telah menunjukkan semakin ramai rakyat Malaysia mendapat penyakit yang berkaitan dengan tekanan. Kita sering kali mendengar tentang tekanan perasaan. Tetapi tahu kah anda apa sebenarnya yang dimaksudkan dengan tekanan perasaan? Menurut Dr Lim Jac Fang (2014) yang dipetik daripada Kamus Perubatan Taber, tekanan perasaan terhasil apabila kuasa luaran bertindak ke atas sebuah struktur, sistem atau organisma dan mengganggu keseimbangan atau menghasilkan tekanan. Dalam erti kata lain, tekanan perasaan terhasil diakibatkan sebarang faktor fizikal, sosial, ekonomi, emosi atau faktor-faktor lain yang memerlukan tindak balas atau perubahan. Secara amnya ramai berpendapat bahawa sedikit tekanan tidak mengapa (kadangkala tekanan ini dikenali sebagai cabaran atau tekanan emosi) tetapi apabila tekanan berlaku melebihi jumlah yang mampu ditanggung, perubahan mental dan fizikal mungkin akan berlaku.
Tekanan di tempat kerja merupakan tindak balas emosi dan fizikal yang terjadi apabila berlakunya konflik di antara kehendak pekerjaan terhadap pekerja dan kebolehan pekerja memenuhi kehendak dan jangkaan tersebut. Secara amnya, kombinasi permintaan tinggi kerjaya dan jumlah kawalan yang rendah terhadap sesuatu situasi boleh menyebabkan terjadinya tekanan. Tekanan kerja yang sedikit adalah perlu untuk meningkatkan daya produktiviti. Jika mendapat tekanan yang berlebihan, ia boleh memberi kesan negatif kepada individu sama ada dari segi mental atau emosi. Masalah peribadi dan keluarga akan merumitkan lagi kesihatan pekerja.

1.3       Alat Penyelesaian Masalah

Untuk menyelesaikan masalah tekanan di tempat kerja ini, kita boleh menyelesaikannya dengan menggunakan alat penyelesaian masalah. Alat-alat ini akan membantu kita untuk memahami situasi yang rumit dan sukar. Tanpa menggunakan alat-alat ini, sesetengah masalah akan menjadi kompleks. Akan tetapi, jika digunakan dengan cara yang betul, alat-alat ini boleh membantu kita dalam memecahkan masalah kepada komponen-komponen yang boleh dikendalikan dan seterusnya dapat membantu dalam pembinaan penyelesaian masalah.

Terdapat enam alat utama penyelesaian masalah iaitu :-

a)         Percambahan Minda
            Percambahan Minda ialah satu teknik yang membantu satu kumpulan menjana sebanyak mungkin idea dalam masa yang singkat.
b)         Penanda Aras

            Penanda Aras adalah proses mengukur dan membandingkan proses-proses dalaman organisasi dengan proses-proses dalaman organisasi lain yang mempunyai amalan terbaik untuk mengkaji cara memperbaiki proses-proses tersebut.

c)         Gambar Rajah Sebab Dan Kesan

            Gambar Rajah Kesan dan Sebab merupakan teknik yang menggabungkan percambahan minda dengan kegunaan satu peta konsep.

d)         Carta Alir

            Carta Alir ialah satu bentuk gambar rajah sistem yang dipermudahkan untuk mempamerkan bagaimana langkah-langkah dalam satu proses berkaitan antara satu sama lain.

e)         Analisis SWOT

            SWOT ialah singkatan bagi Kekuatan (Strength), Kelemahan (Weakness), Peluang (Opportunities), dan Ancaman (Treats). SWOT merupakan satu teknik yang selalu digunakan dalam konteks perniagaan bagi membolehkan organisasi mengenal pasti bidangnya dalam sesuatu pasaran.

f)         Matriks Keutamaan

            Matriks Keutamaan ialah satu alat yang berguna untuk mencapai persetujuan dalam satu kumpulan bagi penyelesaian masalah atau pembuatan keputusan.


1.4       Gambar Rajah Sebab Dan Kesan

Untuk menyelesaikan masalah berkenaan topik yang berkaitan dengan tekanan di tempat kerja ini, alat penyelesaian masalah yang sesuai digunakan ialah Gambar Rajah Sebab Dan Kesan.  Ia berguna dalam membantu kita mengambil kira kesemua sebab masalah lebih jauh dari apa yang boleh kita bayangkan pada mulanya. Terdapat beberapa gambar rajah alternatif berkaitan tentang sebab dan kesan termasuklah gambar rajah ikan atau tulang ikan dan gambar rajah ishikawa. (sila lihat rajah 1.0)


Tahap 2 Sebab

Sebab Utama A

Sebab Utama
           

Tahap 1 Sebab
 


             

Tahap 3 Sebab
                                                                                               

Masalah Perlu diselesaikan (kesan)



Sebab Utama

Sebab Utama
 

Rajah 1.0 : Komponen Utama Gambar Rajah Tulang Ikan

Untuk menggunakan alat ini, kita boleh mengikuti langkah berikut untuk membina dan menggunakan gambar rajah sebab dan kesan. Kita akan merujuk rajah 1.0 sebagai contoh untuk menggambarkan bagaimana gambar rajah tulang ikan dibuat berdasarkan langkah-langkah ini :-

a)         Kenal pasti masalah
            Pada sebelah kiri kertas, tulis masalah dan kemudian lukis satu garisan secara mendatar merentas kertas bermula daripada masalah.

b)         Fikirkan faktor-faktor yang terlibat
            Lukis garisan-garisan berlabel dari tengah garisan yang dilukis di atas bagi mewakili setiap faktor yang menyumbang kepada masalah. Teroka semua faktor yang terlibat sehingga semua telah termasuk. Faktor-faktor yang di ambil kira mungkin merangkumi keterlibatan orang, sistem, alat, bahan dan sebagainya.

c)         Kenal pasti sebab-sebab yang mungkin
            Ambil kira faktor yang mungkin berkaitan dengan sebab masalah yang anda telah kenal pasti di atas. Lukiskan ini dengan garisan mendatar lebih kecil dari garisan yang dilukis pada bahagian (ii) di atas.

d)         Analisis gambar rajah anda
            Teroka setiap faktor dengan lebih mendalam. Siasat sama ada penilaian anda adalah betul dan sama ada anda perlukan pencarian lebih lanjut tentang sebab-sebab masalah


2.0       GAMBAR RAJAH SEBAB DAN AKIBAT

Rajah 2.0 :  Gambar Rajah Tulang Ikan


3.0       MENGENAL PASTI DAN CADANGAN TENTANG LIMA NASIHAT DALAM MENANGANI MASALAH DENGAN MENYENTUH BUTIRAN BERIKUT:-

3.1       FAKTOR PENYEBAB PENYAKIT BERKAITAN TEKANAN
                        Menurut Dr Lim Jac Fang, (2014) tekanan di tempat kerja boleh berlaku akibat pelbagai situasi. Contohnya seperti :-
            3.1.1    Perubahan Dalam Organisasi
                        Perubahan dalam struktur dan pengurusan organisasi secara mendadak meningkatkan kekeliruan dan tekanan kepada pekerjaan.
           
            3.1.2    Pembentukan Kerjaya
                        Kurang insentif dan penghargaan daripada majikan, kecewa terhadap suasana kerja, tidak di naik atau diturunkan pangkat serta hilang pekerjaan.

            3.1.3    Hubungan Dengan Rakan Sekerja
                        Konflik yang berlaku sesama rakan sekerja dan majikan.

            3.1.4    Jenis Pekerjaan
                        Suasana tempat kerja, tekanan kerja yang berpanjangan dan perubahan cara pengendalian kerja.

Tekanan mempunyai impak terhadap kesihatan pekerja secara keseluruhannya. Badan kita dicipta dengan tindak balas automatik terhadap tekanan. Sistem ini amat berkesan untuk tindak balas automatik terhadap tekanan. Sistem ini amat berkesan untuk tindak balas jangka pendek yang diperlukan untuk menghadapi situasi bahaya. Masalahnya badan kita bertindak balas terhadap semua jenis tekanan dengan cara yang sama. Sekiranya kita menghadapi tekanan untuk jangka masa yang lama (seperti tekanan pada aras rendah tetapi secara konsisten di tempat kerja) akan mengaktifkan tindak balas ini tetapi tidak memberi peluang untuk badan memberhentikannya.
Respon badan yang telah diprogramkan dinamakan “Respon Umum Terhadap Tekanan” termasuk:
·      Peningkatan tekanan darah.
·      Peningkatan metabolisme (contoh : peningkatan denyutan jantung dan pernafasan)
·      Pengurangan sintesis protein, pergerakan usus (pencernaan), sistem imun dan alahan.
·      Peningkatan kolesterol dan asid lemak di dalam darah untuk sistem penghasilan tenaga.
·      Radang setempat (kemerahan, bengkak, panas dan kesakitan)
·      Pembekuan darah yang lebih pantas.
·      Peningkatan penghasilan gula dalam darah untuk tenaga.
·      Peningkatan penghasilan asid di dalam perut.
3.2       ANALISIS LIMA NASIHAT YANG DAPAT MEMBANTU MEREKA YANG BERGELUT DENGAN KETIDAKSEIMBANGAN KERJA DAN KEHIDUPAN.

Lazimnya, punca tekanan adalah sesuatu yang tidak dapat di ubah secara serta-merta. Maka, adalah amat penting untuk mencari jalan mengekalkan kesihatan. Terdapat pelbagai kaedah dan nasihat yang boleh digunakan untuk membantu mereka yang bergelut dengan ketidakseimbangan kerja dan kehidupan. Nasihat yang berikut boleh dipraktikkan ;-

3.2.1    Hapuskan Faktor-faktor Yang Boleh Mewujudkan Stress/Tekanan
            Pihak majikan perlulah merujuk kepada pekerja terlebih dahulu sebelum memberikan tugas untuk dilaksanakan. Selain daripada itu, majikan juga boleh mewujudkan hubungan sosial yang menyokong pekerja seperti mewujudkan persekitaran mesra keluarga iaitu kemudahan penjagaan kanak-kanak di tempat kerja dan waktu kerja yang fleksibel.
            Selain itu, pihak majikan boleh membentuk semula tugasan agar pekerja dapat meningkatkan lagi prestasi mereka. Di samping itu, pekerja dan majikan bersetuju pada objektif yang hendak dicapai. Sebagai contoh tugasan yang diberikan sebelumnya tidak memerlukan pekerja untuk membuat apa-apa keputusan. Selepas perubahan tugasan dilakukan, pekerja digalakkan untuk melibatkan diri dalam proses membuat keputusan.

3.2.2    Sokongan Sosial Daripada Majikan, Rakan Sekerja & Ahli Keluarga
            Seharusnya kita mewujudkan ikatan persahabatan sesama rakan sekerja. Kita perlu menyenaraikan individu dan organisasi yang dapat membantu kita dan rakan sekerja di dalam menangani sebarang masalah. Selain berkongsi masalah dengan mereka yang sedia mendengar, kita juga haruslah meluangkan masa untuk membantu rakan yang bermasalah dan saling tolong-menolong.
            Kita juga perlulah mempunyai sikap yang betul terhadap perubahan dalam kerja dengan sentiasa bersikap terbuka, bertolak ansur dan realistik terhadap apa juga perubahan yang berlaku. Jalan yang terbaik ialah kita hendaklah merancang setiap perubahan yang ingin dilakukan dengan secara teratur.
            Selain itu, kita hendaklah mengamalkan komunikasi yang berkesan di tempat kerja. Kita boleh cuba mengamalkan sifat tegas (assertive) sewaktu bekerja tetapi bukannya sifat yang garang (aggressive). Jika ingin meluahkan pendapat atau idea sewaktu perbincangan di adakan, kita mestilah melakukannya secara sopan, tegas dan jelas. Kita juga hendaklah sentiasa menghormati pandangan atau pendapat rakan sekerja kita.

3.2.3    Rancang Kerja Anda
            Untuk menangani beban kerja yang semakin banyak atau ketika mengejar ‘dateline’ yang semakin hampir, kita seharusnya mengendalikan masa dengan bijak. Kita patut memberikan keutamaan pada kerja yang lebih penting dahulu. Jangan suka bertangguh kerja dan elakkan  membawa sebarang tugasan balik ke rumah. Kita hendaklah mengagihkan kerja dengan bijak.
            Kita hendaklah melihat masalah dengan rasional dan rancang penyelesaian secara sistematik. Setiap masalah perlu disenaraikan mengikut keutamaan serta langkah-langkah untuk menanganinya. Kita perlu menilaikan kesesuaian pada setiap langkah penyelesaian dan ambil tindakan secara wajar.

3.2.4    Tukar Persepsi Tentang Situasi yang Menyebabkan Tekanan
            Untuk keluar daripada sumber tekanan, pekerja haruslah diberikan dengan tugas yang sesuai. Terdapat pelbagai cara yang pihak majikan boleh ambil seperti memindahkan pekerja ke jabatan yang kurang menerima stres atau tekanan.
            Selain itu, kita hendaklah mengakui kekuatan dan kelemahan dalam diri. Kita hendaklah sentiasa bersikap positif semasa melakukan pekerjaan yang diberikan dengan melakukan yang terbaik. Dengan cara ini kita akan merasa seronok untuk bekerja pada setiap hari.
            Dengan menetapkan matlamat pada setiap individu yang berkerjaya, keyakinan yang tinggi boleh menghasilkan sesuatu yang lebih baik tanpa dibebani dengan tekanan.

3.2.5    Amalkan Cara Hidup Sihat
            Setelah bekerja selama waktu hari bekerja, tubuh badan dan pemikiran kita juga perlu berehat. Kita boleh meluangkan masa dengan melakukan senaman seperti berjoging, berurut badan di spa atau membuat yoga. Yoga boleh mengembalikan kemampuan berfikir kita secara jernih untuk menyelesaikan setiap permasalahan di tempat kerja. Selain itu, kita juga boleh beriadah atau bercuti bersama keluarga atau rakan-rakan dengan pergi ke tempat rekreasi seperti berpiknik di tepi pantai atau tempat-tempat yang menarik untuk melakukan aktiviti seperti mendaki gunung dan memancing. Apa yang penting kita memanfaatkan hari cuti dengan berfaedah agar tubuh dan minda kita segar untuk melakukan aktiviti kerja pada keesokan harinya.
            Selain itu, kita hendaklah menjauhkan diri kita dari melakukan amalan yang tidak sihat seperti ketagihan alkohol dengan minum arak yang berlebihan, merokok dan mengambil dadah yang boleh merosakkan kerjaya dan kehidupan. Nilai-nilai murni haruslah kita amalkan dengan berpegang teguh pada ajaran agama. Untuk berjaya di dalam hidup, kita haruslah sentiasa menjadikan ajaran agama sebagai panduan agar tidak memusnahkan kerjaya dan masa depan diri dan juga keluarga. Dengan cara ini juga, tekanan dapat dikurangkan dan kita bebas daripada penyakit yang diakibatkan oleh tekanan di tempat kerja.

4.0       KESIMPULAN

            Dapat di simpulkan bahawa berfikir adalah satu aktiviti mental bersebab yang sedikit sebanyak berada di bawah kuasa atau kawalan kita. Bukti telah menunjukkan berfikir boleh dilakukan dalam keadaan minda separa sedar atau tanpa sedar. Beberapa percubaan telah dilakukan untuk menerangkan sifat semula jadi berfikir dan pandangan paling popular dewasa ini yang dianggap tidak penting ialah berfikir sepenuhnya bersifat lisan. Kepentingan berfikir itu dihargai hanya apabila seseorang berhadapan dengan situasi kehidupan yang memerlukan mereka menggunakan kemahiran seperti menganalisa, menyelesaikan masalah dan membuat keputusan yang betul.
            Proses berfikir pula mempunyai dua fasa yang berbeza iaitu pengeluaran dan pengimbangan. Kemahiran berfikir memerlukan kepakaran semua pendekatan bersesuaian terhadap setiap fasa dan kemahiran untuk bergerak ke hadapan dan ke belakang di antaranya. Keseluruhannya, pemikir yang baik telah mahir bagaimana cara untuk berhadapan dengan kehampaan mereka, sedangkan pemikir yang lemah akan bersedih dengan situasi mereka dan membenarkan kegagalan membuatkan mereka akan merasa tidak berupaya.
Konsep penyelesaian masalah ialah satu proses langkah demi langkah (stepwise). Polya (1957), telah mengenal pasti empat langkah penting dalam penyelesaian masalah iaitu memahami masalah, membina satu perancangan, melaksanakan perancangan itu dan melihat kembali. Lima strategi penyelesaian masalah yang popular ialah pembahagian masalah, bergerak ke belakang, mendaki bukit, analisis cara akhir dan rantaian hadapan.
Alat-alat penyelesaian masalah pula merangkumi teknik-teknik mudah dan biasa digunakan seperti gambar rajah alir ke teknik khusus seperti analisis SWOT. Alat ini digunakan bagi mengendali analisis terperinci terhadap masalah untuk membantu kita melihat banyak faktor dalam cara berstruktur dan bermetodologi. Alat penyelesaian masalah boleh dibahagikan kepada dua kategori. Set pertama mengandungi alat umum yang boleh digunakan untuk menyelesaikan apa jua situasi. Ini merangkumi percambahan minda, penanda aras, gambar rajah kesan dan sebab, dan carta alir.
Dalam tugasan ini, untuk menganalisis lima nasihat yang dapat membantu mereka yang bergelut dengan ketidakseimbangan kerja dan kehidupan, penggunaan Gambar rajah sebab dan kesan dapat membantu kita memikirkan melalui sebab-sebab masalah dengan teliti. Pendekatan ini menggabungkan percambahan minda dengan penggunaan peta konsep, Gambar rajah sebab dan kesan juga dikenali sebagai gambar rajah tulang ikan dan gambar rajah Ishikawa.
Lima nasihat yang telah diberikan ialah Hapuskan faktor-faktor yang mewujudkan stres, tukar persepsi tentang situasi yang menyebabkan stres, sokongan sosial daripada majikan, rakan sekerja dan ahli keluarga, rancang kerja dan juga amalkan cara hidup yang sihat. Selain itu, melakukan senaman ringan di tempat kerja juga dapat menghilangkan rasa mengantuk atau stres seseorang. Bergelak ketawa dengan berkongsi jenaka bersama rakan juga merupakan kaedah paling senang dan terbaik untuk mengurangkan tekanan. Dengan cara mengambil masa selama 10 minit pada permulaan setiap hari untuk menguasai situasi dengan menyusun keutamaan mampu membereskan kerja yang diberi tanpa dibebani dengan tekanan. Kita hendaklah sentiasa jujur dengan rakan sekerja, beri kritikan yang membina dan cadangan yang praktikal. Apa pun perlu diingat bahawa tekanan yang dihadapi adalah dugaan hidup bagi manusia. Apa yang perlu dilakukan ialah dengan taat kepada perintah agama dan sentiasa berfikir secara positif. Dengan cara ini, tekanan yang di alami di tempat kerja akan dapat di atasi dengan mudah.
                                                                                                            (2,566 patah perkataan)

5.0       RUJUKAN

Haresh, K., K., Anton, E., (2012). Kemahiran Berfikir Dan Penyelesaian Masalah : SBSF1103 (1st ed.) Seri  Kembangan, Selangor, Malaysia: Open Universiti Malaysia
   
Lim Jac Fang (2014). Tekanan Perasaan Di Tempat Kerja. Google[web log].  Retrieved Februari 19, 2017 from http://www.mmgazette.com/tekanan-perasaan-di -tempat-kerja-dr-lim-jac-fang/

Zaharin Othman  (2010). Faktor Tekanan Di Tempat Kerja. Google[web log]. Retrieved Februari 19, 2016 from http://km.anm.gov.my/Artikel/Faktor%20tekanan%20di%20tempat%20kerja.aspx

Job Malaysia (2013). Panduan Menangani Tekanan Di Tempat Kerja.  Google[web log] Retrieved Februari 20, 2017 from http;//cic.jobmalaysia.gov.my/html/stress1.html

Amal Jaya (2012). Kemahiran Berfikir. Google[web log].  Retrieved Februari 20, 2017 from http://www.amaljaya.com/guru/wp-content/uploads/2012/07/kemahiran-berfikir.pdf


No comments:

Post a Comment