Friday, 17 March 2017

PENGANTAR KOMUNIKASI : KEPENTINGAN KOMUNIKASI

KEPENTINGAN KOMUNIKASI

PENGENALAN
Apakah itu komunikasi? Menurut Verdeber dan Verdeber (2002), komunikasi adalah suatu proses pembentukan dan perkongsian makna dalam perbualan tidak formal, interaksi kumpulan atau perucapan awam. Proses komunikasi melibatkan seorang komunikator, konteks, mesej, perantara, elemen gangguan dan maklum balas. Manakala Hybels dan Weaver (2001) pula menjelaskan, Komunikasi adalah suatu proses perkongsian idea, maklumat dan perasaan yang melibatkan ucapan, penulisan, tingkah laku dan bahasa tubuh. Ringkasnya, apa juga reaksi yang memberikan makna kepada suatu mesej adalah komunikasi. Melalui pengertian ini, adalah sangat penting pemahaman untuk berkomunikasi dalam hubungan kekeluargaan untuk sama-sama memahami dengan sebaik-baiknya sesuatu isu yang dibincangkan agar mendatangkan kegembiraan dan permuafakatan.
Menurut Asiah Ali, Irkhaniza Md Rahim dan Mohamed Sharif Mustaffa (2008), Manusia berkomunikasi kerana ada tujuan yang perlu dicapai. Tujuan utama individu berkomunikasi dengan manusia yang lain adalah kerana individu tersebut hendak memahami orang lain. Sebagai manusia, kita mempunyai naluri untuk mengenali siapa mereka, siapa diri mereka, apa yang mereka fikirkan, apa yang dirasakan oleh mereka dan pelbagai lagi maklumat berkenaan dirinya. Manusia juga berkomunikasi kerana hendak memahami segala kejadian dan peristiwa yang berlaku di sekelilingnya. Sebahagian daripada peristiwa itu berlaku ke atas diri mereka sendiri, manakala sebahagian lagi terjadi ke atas orang lain.
Komunikasi itu berlaku pada setiap masa dan kadangkala ia terjadi tanpa kita sedari. Seseorang itu melibatkan diri dalam komunikasi sama ada secara lisan atau bukan lisan. Ini boleh dilihat dalam pelbagai bentuk aktiviti seperti berbual, mendengar, berfikir, menonton filem atau televisyen, mendengar radio, berbincang dalam kumpulan atau bertafakur. Seseorang yang mendiamkan diri juga mungkin berkomunikasi dalam dirinya sambil memikirkan sesuatu (Massila Hamzah dan Arfah Yusof, 2013).  Menurut Asiah Ali, Irkhaniza Md Rahim dan Mohamed Sharif Mustaffa (2008) pula, Komunikasi lisan (verbal) dan komunikasi tanpa lisan (non verbal) adalah antara dua bentuk komunikasi yang perlu dikuasai oleh ibu bapa dalam usaha untuk mengenali keperibadian anak-anak. Komunikasi lisan adalah proses menyampaikan atau menyebarkan mesej yang lazimnya dikaitkan dengan pertuturan, manakala komunikasi tanpa lisan ialah segala perilaku ataupun signal selain daripada perkataan ataupun tulisan yang wujud semasa proses komunikasi sedang berlangsung. Segala mesej tidak dikodkan dengan perkataan tetapi disampaikan melalui pergerakan badan (body language) dan tangan (gesture), nada suara, riak air muka, cara berpakaian dan penggunaan ruang dan waktu. Menurut Asiah Ali, Irkhaniza Md Rahim dan Mohamed Sharif Mustaffa (2008) seperti yang dinyatakan oleh Lily Mastura dan Ramlah Hamzah (2007) lagi, Keluarga yang sihat akan menerima dan cuba untuk memahami mesej yang disampaikan sama ada kabur atau jelas, antara satu sama lain. Berbeza dengan keluarga yang tidak berfungsi, mesej yang disampaikan jarang dapat diterima dengan betul, malah tidak diambil kisah atau dipedulikan. Perlu diingat bahawa kegagalan untuk berkomunikasi dengan baik akan menjejaskan pembentukan suatu perhubungan. Oleh itu, untuk melahirkan perhubungan kekeluargaan yang sihat, setiap masalah yang dihadapi perlu diselesaikan dengan cara yang positif bukan dengan cara mencari siapa yang bersalah.


3.0       KEPENTINGAN KOMUNIKASI DALAM SISTEM KELUARGA

            Menurut Massila Hamzah dan Arfah Yusof (2013), komunikasi yang berkualiti dalam keluarga adalah penting untuk menjalinkan hubungan yang harmoni dalam kalangan ahli keluarga berdasarkan ciri-ciri yang berikut :-

3.1       Kebergantungan antara Ahli Keluarga

            Setiap ahli bagi sistem keluarga adalah berkaitan antara satu dengan yang lain. Mereka memerlukan satu sama lain agar sistem tersebut boleh berfungsi dengan berkesan dan efektif. Perlakuan setiap individu akan mempengaruhi dan memberi kesan jangka panjang dari segi emosi dan psikologi kepada ahli keluarga yang lain. Justeru, perlu ada keseimbangan dalam perlakuan yang ditunjukkan untuk mengekalkan komunikasi dalam sistem keluarga tersebut.
            Menurut Asiah Ali, Irkhaniza Md Rahim dan Mohamed Sharif Mustaffa (2008) pula, seseorang individu memerlukan pasangan yang rapat dan intim seperti seseorang yang dapat berkomunikasi dengannya ialah supaya dapat menghilangkan rasa kesepian dan kesunyian yang dialami jikalau mereka tidak memiliki seseorang. Ini tidak bermakna apabila seseorang individu itu berkahwin mereka tidak akan mengalami rasa sepi dan sunyi. Kesepian dan kesunyian boleh muncul pada bila-bila masa sahaja. Ada kalanya individu itu berasa sunyi dan sepi meskipun mereka berada di dalam rumah sendiri dan dikelilingi oleh isteri atau suami atau anak-anak. Oleh itu, seseorang itu perlu mempunyai kemahiran untuk menghilangkan rasa sepi dan sunyi orang yang kita cintai.
            Setiap anak yang lahir di dunia ini pastinya memiliki harapan bergantung untuk mendapatkan kasih sayang dan perhatian yang kukuh daripada kedua-dua ibu bapa mereka, walau apa pun alasannya mereka hanya ingin dikasihi, diterima serta melihat keluarga mereka bahagia. 

3.2       Perlu Perkongsian Maklumat

            Setiap sistem keluarga memerlukan satu mekanisme untuk memudahkan proses komunikasi antara setiap ahli keluarga. Perkongsian maklumat mempunyai implikasi terhadap hubungan antara ahli keluarga. Walaupun begitu, tidak semua jenis maklumat dikongsi bersama dengan ahli keluarga. Perkongsian maklumat mungkin bercanggah, menyebabkan sama ada hubungan menjadi lebih rapat atau kadangkala menimbulkan salah faham di kalangan ahli keluarga. Walau bagaimanapun, perkongsian maklumat adalah sangat penting dalam membantu mewujudkan keseragaman, integrasi, kestabilan dan penyelarasan dalam sistem keluarga. 
            Sebagai contoh, sesebuah keluarga itu haruslah memastikan agar komunikasi berlaku dengan berkesan. Maklumat yang cuba disampaikan haruslah mudah difahami, tepat dan jelas untuk memudahkan perkongsian maklumat tersebut. Setiap perubahan yang perlu diperbaiki hendaklah seiring dengan apa yang dikehendaki oleh penghantar maklumat. Jika mesej yang disalurkan tidak dapat diterima dengan baik, akan mengundang pelbagai masalah dalam keluarga. Kedua-dua pihak perlu tahu apa yang harus dilakukan apabila masalah seperti ini terjadi. Bahasa yang tidak tepat dan kurang maklumat yang disampaikan akan menjadikan komunikasi tersebut tidak akan berjalan dengan lancar.

 3.3       Bersifat Terbuka
           
            Sistem keluarga adalah sebahagian daripada sistem sosial yang bersifat terbuka. Mengamalkan keterbukaan dalam keluarga melibatkan proses komunikasi yang sihat dalam kalangan ahli keluarga. Hanya dengan bersifat terbuka ini, seseorang itu boleh difahami dengan mudah.  Dalam institusi keluarga, interaksi sering kali berlaku antara sistem sosial dan sistem lain seperti sebuah institusi pendidikan, kesihatan, ekonomi dan sebagainya. Aktiviti komunikasi dalam sistem ini boleh bersifat positif atau negatif untuk memastikan sistem sosial terus beroperasi dalam keadaan yang harmoni dan stabil. Jika situasi yang sama diaplikasikan dalam sistem kekeluargaan, komunikasi yang harmoni pasti dapat dibentuk.
            Sebagai contoh, bersikap terbuka dan fleksibel dalam kehidupan suami isteri adalah satu kesanggupan untuk berkongsi maklumat bersama. Ramai isteri yang risau apabila suami jarang untuk berkomunikasi apabila berada di rumah sehinggakan mereka tidak tahu apa yang ada di dalam fikiran suami. Perlakuan suami ini boleh menyebabkan kegagalan dalam komunikasi kerana manusia tidak dapat mengagak apa yang kita fikirkan. Oleh itu, sangat penting bagi suami isteri menjaga hubungan kekeluargaan mereka dengan menggunakan saluran komunikasi yang betul. (lihat Rajah 3.3)

3.4       Mengadaptasi Diri

            Komunikasi sebagai satu sistem memerlukan keseimbangan. Walau bagaimanapun, keadaan yang seimbang adalah agak sukar untuk dicapai terutamanya dalam sistem keluarga yang sangat kompleks. Oleh itu, demi mencapai keseimbangan, setiap ahli keluarga perlu dapat menyesuaikan diri dengan mereka untuk sebarang bentuk perubahan tanpa mengira sama ada ia dijangka atau tidak. Perubahan yang berlaku adalah sebahagian daripada pengalaman kehidupan berkeluarga. Ini kerana keluarga bukanlah satu sistem yang mempunyai ciri-ciri yang kekal. Sistem keluarga mungkin sering berubah untuk mewujudkan integrasi dan evolusi dalam proses mewujudkan komunikasi yang berkesan.
            Sebagai contoh, dalam kehidupan kita sehari-hari, kita pasti akan dipertemukan dengan orang yang baru di sekeliling kita seperti perkahwinan campur. Perkahwinan campur dengan bangsa lain akan menimbulkan masalah dalam keluarga sekiranya seseorang itu tidak cuba untuk menyesuaikan diri dengan keluarga baru. Mungkin juga komunikasi yang terjadi di antara mereka tidak akan berjalan dengan lancar kerana lambat untuk memahami apa yang cuba disampaikan. Budaya yang berlainan juga akan membuatkan ahli keluarga yang lain berasa tidak selesa dan agak sukar untuk menerima dengan sekelip mata. Oleh itu, pasangan masing-masing diharapkan dapat memainkan peranan yang penting untuk memastikan pasangan mereka dan ahli keluarga berasa selesa dan dapat berinteraksi dengan baik.

                                   
4.0       FAKTOR-FAKTOR YANG MENYUMBANG KEPADA BERLAKUNYA KONFLIK DALAM KALANGAN AHLI KELUARGA

            Menurut Rahsia Penulis (2013), Wood, Walace, Zeffane, Schermerhorn, Hunt dan Osborn (1998) ada menerangkan bahawa konflik komunikasi adalah suatu situasi di mana dua atau banyak orang tidak setuju terhadap suatu permasalahan yang berkaitan dengan kepentingan matlamat yang menimbulkan perasaan permusuhan di antara satu dengan lain. Konflik boleh terjadi dalam hubungan komunikasi yang akan merenggangkan hubungan keluarga yang terjalin. Setiap manusia menangani konflik komunikasi dengan cara yang berbeza. Di antara faktor-faktor yang menyumbang kepada berlakunya konflik di kalangan ahli keluarga ialah :-

4.1       Tiada Persefahaman

            Di dalam sesebuah keluarga, sudah tentu terjadinya komunikasi. Akan tetapi, komunikasi yang berlaku kadangkala terdapat wujudnya pendapat yang berbeza. Perbezaan pendirian dan pendapat menyebabkan ketidaksefahaman akan berlaku. Sumber mesej yang cuba disalurkan mungkin tidak mencukupi maka percanggahan pendapat dan persepsi menyebabkan penerima mesej tersebut boleh tersalah anggap dan tidak faham.
            Di dalam sesebuah keluarga, sudah tentu terjadinya komunikasi. Akan tetapi, komunikasi yang berlaku kadangkala terdapat wujudnya pendapat yang berbeza. Perbezaan pendirian dan pendapat menyebabkan ketidaksefahaman akan berlaku. Sumber mesej yang cuba disalurkan mungkin tidak mencukupi maka percanggahan pendapat dan persepsi menyebabkan penerima mesej tersebut boleh tersalah anggap dan tidak faham.
            Perbezaan pendapat ini akan melonggarkan ikatan kekeluargaan apabila konflik seperti ini sering berlaku. Terdapat banyak isu yang menjadi konflik dalam sesebuah keluarga. Antaranya ialah hubungan di antara mertua, ipar-duai, anak-anak dan juga tanggungjawab sebagai suami/ayah dan isteri/ibu. Oleh itu, suami perlu cenderung mewujudkan perbincangan dan memberi peluang kepada isteri atau anak-anak untuk memberi pendapat mengenai isu bagi mencapai kata sepakat.


4.2       Faktor Kewangan

            Menurut Zahir Zainudin (2007), Kos hidup yang semakin meningkat akan membuatkan pasangan keluarga mengehadkan perbelanjaan. Faktor wang kadangkala menyebabkan pergaduhan di antara suami dan isteri yang boleh menggugat kebahagiaan keluarga. Keluarga yang tidak mempunyai asas perancangan kewangan akan mengalami masalah menguruskan kewangan masing-masing terutamanya jika pendapatan isi rumah sangat kecil dan terhad.
            Pegawai Psikologi Pemangku Pengarah Bahagian Pembangunan Keluarga, Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), Dr Khamsiah Ismail, pernah berkata kewangan boleh menjadi punca utama konflik keluarga walau sebanyak mana jumlah wang yang diperoleh. Hal ini akan menjadi konflik komunikasi dalam menentukan perbelanjaan sesebuah keluarga.


4.3       Perbezaan Peranan
            Di dalam budaya masyarakat kita, suami merupakan ketua keluarga dalam sesebuah keluarga itu. Perbezaan peranan dalam keluarga boleh berlaku seandainya keputusan yang dibuat tidak memenuhi matlamat yang dikehendaki. Mesej yang cuba disampaikan walaupun disalurkan dengan baik, tetap akan mewujudkan konflik komunikasi sekiranya peranan masing-masing masih belum dapat diterima oleh pasangan suami isteri. Sebagai contoh, suami yang bekerja menganggap bahawa beliau mempunyai peranan dalam mencari nafkah dan peranan isteri pula menguruskan rumah. Ini boleh menyebabkan suami mahu semua keputusan yang dibuat perlu dipatuhi tanpa perlu berkomunikasi dengan berkesan. Sebenarnya kedua-dua pihak harus bijak dan peka keadaan persekitaran rumah agar konflik ini dapat ditangani. Suami perlu membantu isteri sekiranya isteri memerlukan bantuan seperti mengemas rumah dan membantu isteri di dapur. Dengan cara ini akan dapat mengurangkan konflik perbezaan peranan keluarga. 

4.4       Mengabaikan Pendidikan Agama
            Kebahagiaan keluarga terletak pada banyak faktor dan yang paling utama ialah beragama. Menurut Zahir Zainudin (2007), pendidikan awal kepada ialah mengenal Tuhan (akidah). Mendidik keluarga kepada Tuhan pada hakikatnya ialah usaha menanam keyakinan bahawa hidup adalah untuk mendapat keredaan Allah swt. Instrumen yang diguna pakai ialah mengerjakan solat lima kali sehari dan yang terbaik ialah berjemaah. Tidak kiralah apa agama yang dianuti oleh setiap bangsa, setiap daripada mereka percaya bahawa pengabaian amalan agama akan membentuk keluarga yang pincang, resah, mudah bergelora dan kesan jangka panjang yang negatif kepada ibu bapa. Kasih sayang, mencintai dan keinginan terhadap satu sama lain telah dinyatakan dengan jelas dalam surah Ar-Rum ayat 21 yang bermaksud;   “Bahawa Dia menjadikan kamu dari jenis jodoh-jodoh dan kamu bersenang-senang kepadanya dan Dia jadikan di antara kamu percintaan dan kasih sayang, sesungguhnya tentang itu, ada tanda ayat-ayat bagi kamu yang mahu berfikir”


5.0       STRATEGI YANG BERKESAN UNTUK MENGELAKKAN ATAU MENGURANGKAN KONFLIK DALAM KALANGAN AHLI KELUARGA
Untuk menghadapi konflik keluarga, sumber kepada konflik berkenaan haruslah dikaji dengan teliti agar strategi yang diguna pakai dapat mengurangkan konflik tersebut. Memilih strategi yang bersesuaian dengan mengambil kira siapa, apa, di mana dan kenapa dapat merapatkan jurang di antara punca konflik dan kaedah penyelesaian. Antara strategi yang berkesan untuk mengatasi konflik keluarga ialah : -

5.1       Kaedah penyelesaian secara bekerjasama

            Menurut Zahir Zainudin (2007),  penyelesaian konflik melalui kaedah penyelesaian secara bekerjasama adalah melalui beberapa tahap. Kaedah ini diperkenalkan oleh Mary Parker Folet yang lebih mengkhususkan konflik yang melibatkan dua orang. Melalui kaedah ini, dua orang yang berkonflik tadi memilih cara yang diterima oleh mereka berdua. Dalam kaedah penyelesaian begini, tidak akan ada pihak kalah kerana kedua-duanya berkompromi untuk kebaikan bersama. Enam langkah untuk menyelesaikan proses ini ialah :-
5.1.1    Memberi takrifan terhadap masalah dalam rangka keperluan.
5.1.2    Percambahan fikiran untuk kemungkinan-kemungkinan penyelesaian.
5.1.3    Memilih penyelesaian yang bersesuaian dan menyemak kembali kemungkinan akibat-
            akibatnya.
5.1.4    Rancangkan siapa yang akan melakukan apa, di mana dan bila.
5.1.5    Melaksanakan perkara yang dirancang.
5.1.6    Proses penyelesaian masalah dinilai semula.

5.2       Perundingan

            Perundingan adalah satu kaedah penyelesaian konflik dalam komunikasi di antara satu sama lain. Tujuannya adalah untuk mencari kaedah dalam membuat keputusan bersama. Perundingan perlu dijalankan untuk memastikan konflik dalam keluarga diselesaikan dengan bijak tanpa rasa prejudis dengan keputusan yang dibuat. Dengan berkomunikasi, penghantar dan penerima perlu bijak membincangkan mesej yang disampaikan. Rundingan ini perlu agar matlamat komunikasi dapat dicapai di kedua belah pihak.
            Mesej yang disampaikan secara lisan dan tidak lisan perlu seiring agar konflik yang berlaku dapat diatasi kerana pemahaman setiap individu mengenai mesej yang disalurkan adalah berbeza. Di dalam situasi ini, apabila menguruskan konflik komunikasi sudah tentu setiap pasangan harus bersedia dari segi fizikal dan mental agar perundingan dapat berjalan dengan lancar dan berjaya.


5.3       Belajar Untuk Menerima

            Penerimaan dalam sesuatu perkara atau tidak dalam komunikasi boleh mengurangkan konflik dalam keluarga. Untuk mengekalkan hubungan dengan lebih panjang, pasangan suami isteri perlu menerima secara positif mesej yang cuba disampaikan. Sikap tolak ansur dalam membuat keputusan mempengaruhi tingkah laku penghantar dan penerima komunikasi yang sedang berlaku. Konflik komunikasi dapat dielakkan jika masing-masing sanggup menerima pendapat pasangan masing-masing.
            Menurut Asiah Ali, Irkhaniza Md Rahim dan Mohamed Sharif Mustaffa (2008), perkara yang paling penting untuk dilakukan ialah sentiasa memberi atau mengiktiraf serta menghargai orang yang sedang bercakap dengan kita. Lebih-lebih lagi apabila berkomunikasi dengan ahli keluarga tidak kiralah sama ada suami atau isteri atau ibu bapa dan anak-anak. Hubungan yang sentiasa ada pengiktirafan dan saling menerima ini akan mengukuhkan lagi ikatan kekeluargaan.


5.4       Khidmat Nasihat Profesional/Orang Tengah

            Penglibatan pakar nasihat profesional atau orang tengah ataupun orang ketiga kadangkala dapat membantu menguruskan konflik keluarga dengan lebih cepat dan berkesan. Menurut Zahir Zainudin (2007), jika isu yang melibatkan kedua-dua pihak atau terdapat pihak ketiga seperti perebutan harta atau anak, khidmat pakar boleh digunakan sebagai sebahagian daripada penyelesaian. 
            Walaupun khidmat nasihat profesional ini memerlukan kos yang perlu dibayar dan mempunyai jangka masa penyelesaian yang ditetapkan, akan tetapi kaedah ini tetap memberikan kepuasan kepada kedua belah pihak kerana masing-masing meletakkan kepakaran sebagai sandaran dan lebih mudah untuk menerima keputusan. Ciri utama orang tengah atau orang ketiga yang harus dikenal pasti ialah mereka tidak boleh mengambil sikap berkecuali dan tidak mengambil kesempatan mengadu domba pada kedua belah pihak.

                                   

6.0       KESIMPULAN

            Komunikasi amat penting dalam kehidupan seharian kita. Walau di mana kita berada, kepakaran dan pengetahuan bagaimana untuk berkomunikasi amat penting bagi menjamin kesefahaman di antara satu sama lain lebih-lebih lagi di dalam memelihara hubungan kekeluargaan. Kepentingan komunikasi dalam sistem keluarga itu ialah saling bergantung di antara sama dengan yang lain, sentiasa berkongsi maklumat, mempunyai sifat terbuka serta dapat menyesuaikan diri dengan ahli keluarga yang lain.
            Kehidupan berkeluarga itu bererti berinteraksi, berkomunikasi, berhubung dengan menggunakan bahasa tubuh badan, fikiran, emosi dan juga suara hati. Akal, perasaan dan emosi biasanya menjadi petanda awal kepada konflik yang merumitkan hubungan kekeluargaan. Punca konflik yang telah dibincangkan ialah tiada kesefahaman, masalah kewangan yang membebankan, perbezaan peranan dan juga pendidikan agama tidak dititik beratkan.
            Setiap ahli keluarga perlu bijak dalam menguruskan masalah komunikasi yang berlaku. Setiap mesej yang disampaikan perlu dibuat pilihan yang terbaik. Menguruskan konflik komunikasi di kalangan keluarga memerlukan komitmen yang tinggi serta strategi untuk memastikan konflik dapat ditangani. Strategi yang berkesan untuk mengatasi konflik keluarga ini ialah dengan cara bekerjasama di antara satu sama lain, sentiasa berunding untuk mencapai kata sepakat, belajar untuk menerima kelebihan dan kekurangan masing-masing serta perlunya khidmat nasihat daripada orang yang lebih berpengalaman dan pakar.
Oleh itu, institusi kekeluargaan akan menjadi lebih kukuh jika setiap ahli keluarga boleh berkomunikasi dengan baik di antara satu sama lain sehingga keseluruhan ahli keluarga dapat merasakan diri mereka dicintai, disayangi, dihargai dan dihormati. Apa yang penting di dalam hidup sesama insan, elakkan berlakunya pergeseran. Jangan pernah cuba untuk menyalahkan sesiapa pun di dalam hidup. Orang yang mulia hatinya akan memberikan kita kegembiraan dan ketenangan, orang yang teruk perangainya, memberikan kita pengalaman yang berlainan serta pengajaran, dan orang yang baik hatinya akan meninggalkan memori yang indah di dalam hidup kita. Oleh itu sentiasalah cuba untuk berinteraksi secara berhemah, agar kita dapat mengawal perhubungan di antara satu sama lain dan akhirnya akan memperoleh persefahaman di dalam hubungan kekeluargaan.

                                                                                                             (3,120 patah perkataan)

 7.0       RUJUKAN

Massila, H., Arfah, Y., (2013). Pengantar Komunikasi : CBCF1103 (1st ed.) Seri  Kembangan, Selangor, Malaysia: Open Universiti Malaysia
   
Zahir Zainudin (2007). Konflik Rumah tangga : punca dan strategi penyelesaian. Google[web log].  Retrieved Oktober 19, 2016 from https://zahirzainudin.blogspot.sg/2007/04/konflik-rumah-tangga-punca-dan-strategi.html

Asiah Ali, Irkhaniza Md Rahim dan Mohamed Sharif Mustaffa  (2008). Peranan Komunikasi Dalam Hubungan Kekeluargaan. Google[web log]. Retrieved Oktober 19, 2016 from http://eprints.utm.my/6509/1/AsiahAli2008_PerananKomunikasiDalamHubunganKekeluargaan.pdf


Rahsia Penulis (2013). Konflik Dalam Keluarga. Google[web log] Retrieved Oktober 31, 2016 from http://melayumaya.blogspot.my/2013/01/definisi-komunikasi.html

No comments:

Post a Comment