Wednesday, 7 August 2019

PERINDUSTRIAN INDUSTRI BBHI4103


PERANAN-PERANAN KERAJAAN DAN MAJIKAN YANG MEMPENGARUHI PERHUBUNGAN INDUSTRI

1.0 TOPIK : PERINDUSTRIAN INDUSTRI 

2.0       PERANAN-PERANAN KERAJAAN YANG MEMPENGARUHI PERHUBUNGAN PERINDUSTRIAN DALAM ORGANISASI

Peranan kerajaan dalam mempengaruhi perhubungan perindustrian di dalam sesebuah industri adalah satu alat yang sangat penting dalam mewujudkan suatu industri yang harmoni dalam membantu menaikkan nama organisasi. Peranan tersebut boleh bertindak sebagai satu pelan tindakan untuk membangunkan perhubungan yang baik dengan pekerja dan organisasi. Menurut Fadzli Shah Abd Aziz dan rakan-rakan, (2015), pihak kerajaan memainkan beberapa peranan yang penting. Syarikat AirAsia Group Berhad sentiasa menggunakan perhubungan industri dengan kerajaan ini dalam memastikan hak-hak dan kebajikan pekerja-pekerja mereka sentiasa terjamin.   

2.1       Peranan-peranan tersebut ialah :-

2.1.1    Penggubal Undang-undang (Ahli perundangan melalui parlimen)

            Dalam membentuk dan mengekalkan hubungan industri yang harmoni, kerajaan telah menggubal dan meluluskan undang-undang yang mengikat kedua-dua pihak majikan dan pekerja. Selain daripada mengemas kini undang-undang ini, kerajaan sering membuat pindaan dan peraturan yang selaras dengan isu terkini berkaitan pekerja. Contohnya isu keselamatan dan kesihatan di tapak pembinaan. Pekerja pembinaan mesti menghadiri kursus orientasi keselamatan dan mesti menjadi pemegang kad hijau, sebelum mereka dibenarkan bekerja.
Undang-undang lain yang diluluskan dan berkaitan dengan perhubungan industri di Malaysia adalah seperti yang berikut;-
a)         Akta Pampasan Pekerja 1952;
b)         Akta Pekerja 1956;
c)         Akta Kesatuan Sekerja 1959;
d)         Akta Perhubungan Perindustrian 1967;
e)         Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969;
f)         Akta Kumpulan Wang Simpanan Pekerja 1991; dan
g)         Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerja 1994.

2.1.2    Pentadbir dan Penimbang Tara (Kementerian Sumber Manusia)

Melalui Kementerian Sumber Manusia, kerajaan telah menggariskan visi, misi dan strategi yang menerangkan pendekatan dalam hubungan industri yang diamalkan di Malaysia dengan jelas.

Antara tujuan pendekatan ini adalah seperti yang berikut :-
a)         Untuk membangunkan sebuah organisasi yang berkesan, cekap dan proaktif dam menyumbangkan usaha kerajaan untuk menjana dan menghasilkan tenaga kerja yang mahir, produktif dan berdisiplin dalam persekitaran perhubungan industri yang harmoni ke arah mencapai Wawasan 2020;
b)         Untuk menjaga kepentingan pekerja, mewujudkan dan mengekalkan persekitaran perhubungan industri yang harmoni berdasarkan prinsip tripartite (tiga pihak) di negara ini;
c)         Untuk perkongsian strategi melalui rundingan tiga pihak, kerjasama antara kerajaan. majikan dan pekerja bagi menghasilkan tenaga kerja yang mahir, produktif, berdisiplin dan berkualiti dengan nilai positif dan etika kerja yang baik ke arah mencapai Dasar Buruh Kerajaan dan Wawasan 2020;
d)         Untuk menggunakan mekanisme tiga pihak, mesyuarat, dialog dan pendekatan inovatif yang lain bagi meningkatkan kebajikan, keselamatan pekerja, keselamatan sosial, dan kualiti hidup pekerja dan juga bagi meningkatkan kesedaran mereka terhadap undang-undang buruh;
e)         Untuk membentuk jawatankuasa perundingan kolektif pada peringkat organisasi swasta dan memupuk gerakan kesatuan yang progresif, dan bertanggungjawab dalam memupuk hubungan yang harmoni antara pekerja dan pihak pengurusan serta melaksanakan sistem penggajian yang berkaitan dengan produktiviti; dan
f)         Untuk berunding dengan majikan dan pekerja melalui Majlis Penasihat Buruh Kebangsaan berkaitan penggubalan dasar dan undang-undang buruh yang dinamik dan fleksibel dan menjurus ke arah peningkatan produktiviti, daya saing dan keuntungan.

Oleh yang demikian, Kementerian Sumber Manusia telah menubuhkan jabatan khas bagi membantu meningkatkan keberkesanan dalam pentadbiran industri dan perhubungannya.

Jabatan tersebut adalah seperti yang berikut:-

a)         Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia.
b)         Jabatan Tenaga Kerja Sabah;
c)         Jabatan Tenaga Kerja Sarawak;
d)         Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerja;
e)         Jabatan Perhubungan Perusahaan;
f)         Jabatan Hal Ehwal Kesatuan Sekerja;
g)         Mahkamah Perusahaan; dan
h)         Majlis Penasihat Buruh Kebangsaan.

2.1.3    Majikan di Sektor Perkhidmatan Awam - Peserta

Kerajaan merupakan majikan yang terbesar dalam sektor perkhidmatan awam.
Kementerian Pembangunan Sumber Manusia bertanggungjawab dalam mentadbir dan memantau sistem perhubungan industri di Malaysia. Kementerian ini mempunyai misi untuk membangunkan tenaga kerja yang berdaya saing dalam situasi yang harmoni dan keadilan sosial dalam industri ini.   
            Banyak kesatuan dalam sektor awam telah bergabung dengan Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS). Berdasarkan laporan tahunan Kementerian Sumber Manusia, pada tahun 1999 terdapat 209 kesatuan sekerja dalam sektor awam, yang terdiri daripada 125 dalam kerajaan dan 84 yang didaftarkan di bawah baan-badan berkanun dan pihak berkuasa tempatan. Dengan itu, CUEPACS merupakan wakil pekerja di sektor awam di peringkat kebangsaan dalam rundingan dan perbincangan yang melibatkan hak dan kepentingan pekerja-pekerja dalam sektor awam.

Bagi mencapai misi ini, kementerian adalah dipertanggungjawabkan untuk :-

i)          Memastikan bahawa draf Polisi Pembangunan Sumber Manusia adalah berkualiti dan boleh diimplementasikan secara praktikal;
ii)         Memastikan perhubungan yang dijalin antara agensi/jabatan di bawah kementerian berkenaan dengan majikan dan pekerja adalah kukuh dan harmonis setiap masa.
iii)        Memastikan perkhidmatan sokongan seperti keperluan perjawatan, kewangan dan kelengkapan untuk pengurusan, dan pentadbiran adalah mencukupi untuk dalam keaadaan beroperasi dan boleh diguna pakai pada setiap masa;
iv)        Memastikan aplikasi pembangunan komputer adalah lengkap dan memenuhi keperluan semasa dan cekap berserta bantuan teknikal;
v)         Mempunyai rujukan perpustakaan yang lengkap dan mengikuti keperluan semasa serta memberikan perkhidmatan yang mesra setiap masa;
vi)        Menjanjikan penerbitan risalah dan sebagainya berkaitan tenaga kerja adalah sentiasa tepat dan memenuhi keperluan semasa dan mematuhi jadual yang ditetapkan;
vii)       Memastikan setiap pertanyaan dan aduan dikendalikan dalam tempoh 24 jam ia dilaporkan.

Objektif kementerian adalah untuk :

i)          Melindungi kebajikan yang merangkumi keselamatan, kesihatan dan hak mereka;
ii)         Menggalakkan hubungan baik antara majikan dan pekerja;
iii)        Membantu di atas nama Pembangunan Sumber Manusia Kebangsaan pada tahap yang maksimum melalui perancangan tenaga kerja yang cekap dan berkesan.

2.2       Penglibatan Kerajaan Dan Strategi

Objektif utama kerajaan mewujudkan persekitaran perhubungan perusahaan yang harmoni dan sesuai untuk majikan, pekerja serta kesatuan sekerja dan kesatuan majikan. Malah, kerajaan telah menetapkan dasar dan strategi yang komprehensif untuk menangani pertikaian industri. Antara pendekatan dan kaedah yang diamalkan oleh kerajaan bagi mengawasi sistem perhubungan industri adalah seperti yang berikut:-

a)         Majikan
            Sebagai majikan, kerajaan mempunyai kuasa untuk membuat keputusan bagi dasar yang selaras dengan dasar pembangunan negara. Tambahan pula, kerajaan mempunyai hak untuk campur tangan bagi mengawal pertikaian perusahaan. Ini adalah tanggungjawab Kementerian Sumber Manusia dan jabatan tersebut, sebagai contoh, berkenaan pengiktirafan dan  pembatalan bagi pendaftaran kesatuan atau persatuan.
b)         Ahli Perundangan

            Kerajaan telah menggubal pelbagai akta dan peraturan yang berkaitan dengan undang-undang buruh. Oleh itu, majikan dan pekerja terikat dengan hak dan tanggungjawab masing-masing. Tambahan pula, kedua-dua pihak ini mesti mempunyai sikap yang positif terhadap perhubungan industri yang harmoni dan memberangsangkan.

c)         Penimbang Tara

            Kerajaan juga bertindak sebagai penimbang tara antara majikan dan pekerja. Sekiranya salah satu pihak tidak memberikan maklum balas dan pengakuan yang sepatutnya, masalah ini boleh dirujuk kepada Ketua Pengarah Kesatuan Sekerja yang bertindak sebagai penimbang tara. Sebagai contoh, jika kesatuan memutuskan untuk mengadakan rundingan kolektif dengan majikan tetapi majikan enggan mengakui tuntutan itu dalam tempoh tujuh hari, kesatuan boleh merujuk masalah ini kepada kerajaan untuk mengambil tindakan terhadap majikan.

d)         Pengadil

            Jika dalam semua pertikaian mencapai kebuntuan, pilihan terakhir ialah merujuk kes tersebut ke Mahkamah Perusahaan yang akan bertindak sebagai pengadil.

  
3.0       PERANAN-PERANAN MAJIKAN YANG MEMPENGARUHI PERHUBUNGAN PERINDUSTRIAN

            Pihak majikan ialah pihak yang memberikan pekerjaan. Majikan mungkin merupakan seorang individu, sebuah syarikat, atau sebarang organisasi atau persatuan yang memberi pekerjaan kepada pekerja. Seperti juga kesatuan sekerja yang melindungi kepentingan pekerja secara berkelompok, majikan juga boleh mempunyai organisasi mereka sendiri. Walau bagaimanapun, kesatuan sekerja untuk majikan bukan bertujuan untuk mewakili majikan dalam sebarang pertelingkahan perhubungan industri tetapi ia perkara penting yang melibatkan kepentingan bersama. Tujuan utama pihak pengurusan dalam perhubungan industri adalah untuk membangunkan strategi bagi memperkukuhkan keberkesanan organisasi dan meningkatkan prestasi. Seksyen 13(3) Akta Perhubungan Perindustrian 1967 menggariskan hak mutlak pengurusan dalam membuat keputusan.
S\]eksyen 5(1) Akta Perhubungan Perindustrian 1967 menyatakan seperti berikut:-
“Tiada majikan atau kesatuan sekerja bagi majikan dan tiada sesiapa pun boleh bertindak bagi pihak majikan atau sebarang kesatuan boleh:
a)         Mengenakan syarat dalam kontrak perkhidmatan dalam mengekang hak seseorang daripada berkontrak untuk menyertai kesatuan sekerja, atau menyambung keahliannya dalam kesatuan sekerja;
b)         Menafikan seseorang untuk bekerja di atas alasan dia ialah ahli atau bukan pegawai dalam kesatuan sekerja;
c)         Mendiskriminasikan mana-mana orang berkaitan pekerjaan, kenaikan pangkat, atau sebarang syarat perkhidmatan atau syarat bekerja atas alasan dia adalah ahli atau bukan ahli atau pegawai dalam kesatuan sekerja;
d)         Memecat atau mengugut untuk memecat seorang pekerja, mencederakan Tu mengugut untuk mencederakan dia dan pekerjanya atau menggubah kedudukannya yang mempunyai prasangka dengan alasan pekerja atau mencadangkan untuk menjadi, atau mempengaruhi mana-mana orang lain untuk menjadi ahli atau pegawai kesatuan sekerja; atau melibatkan diri dalam mempromosikan, penubuhan atau kegiatan kesatuan sekerja; atau
e)         Mempengaruhi atau menghalang seseorang dari menjadi atau berhenti dari menjadi ahli atau pegawai kesatuan sekerja yang memberikan atau menawarkan untuk memberikan apa-apa kelebihan pada atau dengan memperoleh atau menawarkan untuk mendapatkan apa-aa kelebihan untuknya.
3.1       Hak Untuk Membentuk Kesatuan Majikan
           
            Prosedur dan syarat untuk menubuhkan kesatuan majikan adalah sama seperti yang diberikan kepada kesatuan pekerja. Penubuhan pertubuhan atau kesatuan majikan meliputi kerjaya atau industri yang luas. Majikan yang berhasrat untuk membentuk persatuan mestilah daripada industri atau pekerjaan yang sama, contohnya industri perbankan dan perladangan. Walau bagaimanapun dalam konteks Malaysia, persatuan majikan dibahagikan kepada dua jenis iaitu:-
a)         Persatuan majikan yang berdaftar di bawah Akta Kesatuan Sekerja 1959; dan
b)         Persatuan majikan yang berdaftar di bawah Akta Pertubuhan 1966.

Objektif utama penubuhan sesebuah persatuan majikan adalah seperti yang berikut:-
a)         Untuk memperjuangkan, mempertahankan dan melindungi hak dan kepentingan majikan dalam industri yang sama;
b)         Mengatur dan menyusun pergerakan dan perkembangan dalam perhubungan industri untuk semua majikan dalam pekerjaan atau industri tertentu;
c)         Mendapatkan sokongan berkumpulan daripada semua ahli dalam menyelesaikan tuntutan dalam pertikaian perusahaan; dan
d)         Mewakili secara kolektif dalam proses tawar-menawar yang berkaitan dengan pertikaian industri, rundingan mengenai sistem gaji dan sebagainya.

3.2       Fungsi Persatuan Majikan

a)         Bertindak sebagai Wakil dalam Rundingan Kolektif dan Perjanjian Kolektif
            Dalam perhubungan industri, majikan adalah tertakluk kepada permintaan kesatuan sekerja dalam tuntutan dan pertikaian industri. Persatuan majikan ini akan bertindak sebagai wakil kepada majikan pada peringkat kebangsaan dalam rundingan bagi mencari penyelesaian. Oleh itu, pandangan dan cadangan disalurkan oleh persatuan majikan tidak terjumlah sebagai suatu individu tetapi sebagai perwakilan untuk semua ahli di
seluruh negara atau wilayah.


b)         Bertindak sebagai Perunding Rujukan dalam Perhubungan Industri dan Pertikaian Industri
            Sebagai sebuah organisasi yang besar, persatuan majikan mempunyai sumber yang luas dan pengalaman dalam menyelesaikan pertikaian industri. Melalui kes sebelum ini, persatuan majikan boleh menyalurkan pandangan dan alternatif yang boleh menjadi rujukan dalam mengendalikan tuntutan daripada kesatuan.

c)         Bertindak sebagai Penganjur untuk Program Latihan dalam Pengurusan Pekerja
            Sebagai persatuan yang sah dan mewakili ahli pada peringkat kebangsaan, persatuan majikan boleh menganjurkan program latihan dalam bentuk seminar atau kursus jangka pendek untuk majikan bagi pengendalian isu berkaitan tenaga kerja di negara ini. Melalui program ini, ahli boleh bertukar-tukar pengalaman dan pendapat untuk mengekalkan serta mengemas kini hak dan kepentingan majikan.

d)         Bertindak sebagai Jurucakap bagi Menyelesaikan Tuntutan Gaji dan Upah Pekerja
            Dengan sumber pengetahuan serta pengalaman dan juga pengaruh yang besar, persatuan majikan boleh bertindak sebagai jurucakap dalam menangani isu semasa yang berkaitan kawalan perundangan, kepentingan majikan dan tuntutan gaji pekerja. Selain itu, dalam konteks Malaysia, kerajaan sentiasa memberi perhatian kepada pandangan persatuan majikan sebelum mengambil apa-apa tindakan atau menggubal indang-undang yang melibatkan pekerja dan majikan.
           

4.0 CADANGAN UNTUK PENAMBAHBAIKAN PERHUBUNGAN PERINDUSTRIAN DI MALAYSIA

Konflik yang berlaku antara pekerja dan majikan dalam struktur sosial seperti perhubungan industri dapat dilihat dari tiga perspektif, iaitu:-
a)         Pengungkapan idea konflik merupakan satu cabaran langsung kepada arahan dalaman dan kestabilan sistem sosial;
b)         Konflik diperlukan untuk pembangunan arah sosial baharu; dan
c)         Pengungkapan konflik terbuka adalah elemen penting dalam mewujudkan kestabilan dalam sistem sosial.
Ungkapan konflik dan bagaimana untuk menguruskan konflik dengan cara yang bersesuaian dilihat sebagai satu cabaran yang perlu dihadapi oleh pihak pengurusan khususnya. Beberapa cadangan untuk menyelesaikan konflik yang berlaku dapat dilihat dalam penambahbaikan di dalam perhubungan perindustrian dengan melalui pelbagai cara dan kaedah seperti :-

4.1.1    Perundingan
Menurut Fadzil Shah Abd Aziz dan rakan-rakan (2015), Rundingan seperti yang didefinisikan oleh Salmon (2001), merupakan proses interpersonal yang digunakan oleh wakil majikan dan pekerja dalam pelbagai konteks perhubungan industri untuk menyelesaikan perbezaan dan mencapai persetujuan. Rundingan dianggap sebagai kaedah yang paling sesuai dan berkesan untuk menyelesaikan pertikaian antara pihak yang bertikai. Melalui rundingan, pihak yang terlibat dalam pertikaian itu boleh bersemuka secara langsung antara satu sama lain berkenaan masalah dan berusaha untuk mencari penyelesaian terbaik kepada masalah ini. Pihak yang bertikai perlu berkompromi untuk mendapatkan penyelesaian yang paling sesuai bagi kedua-dua belah pihak.
            Ciri-ciri utama perundingan boleh dinyatakan seperti yang berikut:-
a)         Proses yang terbuka dan jelas bagi tujuan mencapai matlamat tertentu;
b)         Proses yang dijalankan oleh wakil utama,
c)         Proses yang mempunyai objektif untuk menyelesaikan perbezaan pendapat, keperluan dan kepentingan antara pihak yang terlibat,
d)         Keputusan dan penyelesaian yang diperoleh bergantung pada hubungan relatif kuasa antara pihak yang terlibat.
4.1.2    Perdamaian
           
Perdamaian ialah penggunaan pihak ketiga (pendamai). Ia adalah kaedah untuk menyelesaikan pertikaian industri di samping rundingan. Pendamai biasanya digunakan jika pihak yang bertikai itu tidak boleh menyelesaikan pertikaian melalui rundingan dan memerlukan campur tangan pihak ketiga untuk menyelesaikan masalah tersebut.
Seperti yang didefinisikan, Perdamaian ialah sebagai strategi yang melibatkan pihak ketiga bagi menyokong atau membantu dalam proses perundingan antara pihak yang bertikai.
Jika usaha damai adalah dengan arahan pengarah Jabatan Perhubungan Perusahaan, ia dikenali sebagai perdamaian wajib. Perdamaian wajib biasanya digunakan untuk menyelesaikan pertikaian industri yang melibatkan perkara yang mempunyai kepentingan awam. Walau bagaimanapun, campur tangan Pengarah hanya akan berlaku selepas Pengarah yakin bahawa usaha yang dilakukan oleh pihak yang bertikai untuk menyelesaikan pertikaian itu telah mencapai kebuntuan atau telah gagal.
Proses perdamaian biasanya dilakukan oleh seorang pegawai Perhubungan Industri, secara umumnya, adalah seperti yang berikut:-

a)         Pegawai yang diberi tanggungjawab ke atas mana-mana pertikaian akan bertemu dengan pihak yang bertikai secara bersama atau berasingan. Tujuan mesyuarat ini adalah untuk mendapatkan maklumat dan fakta mengenai pertikaian itu;
b)         Setelah diberitahu masalah yang dihadapi, pegawai yang bertanggungjawab akan membantu pihak yang bertikai itu untuk mencapai persetujuan bagi menyelesaikan masalah;
c)         Pegawai itu akan sebagai orang tengah, pemudah cara, pemandu dan pemangkin untuk menyelesaikan pertikaian itu.

Menurut Fadzli Shah Abd Aziz dan rakan-rakan (2015), Rata-rata, kira-kira 70 hingga 80 peratus daripada kes pertikaian industri diselesaikan menggunakan kaedah perdamaian. Ini menjadikan kaedah perdamaian merupakan yang paling penting dalam menyelesaikan pertikaian industri di Malaysia (Maimunah Aminuddin, 1999).

 4.1.3    Timbang Tara

            Apabila pihak yang bertikai gagal untuk mencari penyelesaian kepada masalah yang mereka hadapi walaupun setelah mendapat bantuan dari Jabatan Perhubungan Perusahaan, iaitu melalui proses perdamaian, timbang tara kemudian akan digunakan untuk menyelesaikan pertikaian. Di dalam timbang tara, pihak ketiga akan digunakan dan pihak ini mempunyai kuasa untuk membuat keputusan mengenai penyelesaian kepada pertikaian. Pihak ketiga yang dilantik adalah suatu entiti bebas atau neutral, iaitu tidak cenderung kepada mana-mana pihak yang bertikai.
            Pihak ketiga yang dilantik atau penimbang tara akan membuat keputusan berdasarkan maklumat yang diberikan oleh pihak yang bertikai. Di Malaysia, hanya Mahkamah Perusahaan mempunyai kuasa timbang tara dalam menyelesaikan kes pertikaian industri. Mahkamah Perusahaan memainkan peranan timbang tara dalam keadaan yang seperti berikut:-
i)          Seorang pekerja mempunyai rungutan dan diwakili oleh kesatuan; atau
ii)         Kesatuan yang mewakili pekerja dalam syarikat berada dalam pertikaian dengan majikan mengenai terma dan syarat.

Bagi kes yang dibawa ke Mahkamah Perusahaan, keputusan akan dibuat oleh Presiden Mahkamah. Pihak yang terlibat dalam perundingan kolektif perlu memahami keputusan Mahkamah dengan jelas kerana Mahkamah sangat konsisten dengan keputusan yang diputuskan.

4.1.4    Pengantaraan

            Pengantaraan adalah kaedah untuk menyelesaikan pertikaian yang jarang digunakan berbanding dengan kaedah yang di atas. Seperti dalam perdamaian, pengantara juga menggunakan pihak yang ketiga untuk membantu pihak yang bertikai untuk mencapai satu penyelesaian kepada isu yang dipertikaikan. Ini berbeza daripada pendamai yang dilantik dari Jabatan Perhubungan Perusahaan; pengantara dilantik daripada pihak bukan kerajaan. Seperti juga pendamai, pengantara juga tidak mempunyai atau tidak diberi kuasa untuk mengarahkan atau memaksa pihak yang bertikai untuk menerima cadangan mereka.

No comments:

Post a Comment