Monday, 26 November 2018

PRINCIPLES OF CORPORATE COMMUNICATION ABCR2103


PEMBANGUNAN PELAN HUBUNGAN MEDIA YANG KOMPREHENSIF

Pelan perhubungan media adalah satu alat yang sangat penting untuk membantu organisasi memahami peranan yang boleh dimainkan media dalam membantu menaikkan nama organisasi. Pelan tersebut boleh bertindak sebagai satu pelan tindakan untuk membangunkan perhubungan yang baik dengan media. Menurut Zulhamri Abdullah dan rakan-rakan (2013), pelan yang baik secara tipikalnya harus mengandungi 8 elemen penting. Syarikat AirAsia Group Berhad telah menggunakan pelan perhubungan media ini dalam memastikan perniagaan syarikat menjadi bertambah maju dan semakin dikenali. Elemen-elemen tersebut ialah :-

1.      Analisis Situasi
Analisis situasi sering dirujuk sebagai analisis SWOT. Ia meliputi kekuatan, kelemahan, peluang dan ancaman sedia ada daripada mana-mana organisasi dan pesaingnya. Analisis situasi merupakan peringkat pertama dalam merancang perhubungan media yang baik. ini akan membolehkan organisasi mendapatkan maklumat tentang latar belakang, sejarah dan potensi masalah yang boleh menghadkan pengurusan. Menurut kajian Nor Atira Mohamad (2014), yang bertajuk “Perniagaan Antarabangsa AirAsia Berhad”, Syarikat AirAsia mengambil pendekatan strategik dengan menggunakan analisis SWOT seperti yang berikut:-
·                     Kekuatan (Strenght) – AirAsia telah mengekalkan kos operasi dan penyelenggaraan yang rendah dengan menukar Airbus dari jenis Boeing 737 kepada A 320.
·                     Kelemahan (Weakness) – Kos operasi yang tinggi untuk menguruskan pekerja dan teknologi, mendapat banyak saingan daripada syarikat penerbangan lain seperti MAS, MALINDO dan Firefly, peruntukan bagasi yang terhad serta pakej makanan yang berasingan.
·                     Peluang (Opportunities) – AirAsia menawarkan tempahan tiket melalui online, sentiasa membuat promosi tambang murah dan menawarkan perkhidmatan yang selesa kepada penumpang.
·                     Ancaman (Threats) – Terdapat pertambahan syarikat penerbangan luar yang menawarkan tambang tiket murah serta persaingan dengan syarikat penerbangan negara lain seperti Singapura yang mempunyai perkhidmatan terbaik.

2.       Matlamat
             Matlamat merupakan perkara utama yang perlu dicapai oleh mana-mana organisasi. Ia merupakan keseluruhan hasil yang perlu dicapai oleh organisasi. Secara umumnya, matlamat yang dinyatakan dengan baik seharusnya dapat memandu ke arah yang betul dalam meneruskan strategi perhubungan media.
            Untuk memastikan matlamat dapat dicapai, AirAsia Group Berhad telah membuat penentuan untuk mengambil langkah tindakan selanjutnya untuk mencapai matlamat yang menentukan aktiviti organisasi dan pengagihan sumber seperti wang tunai, pekerja, ruang dan juga kemudahan yang diperlukan.

3.       Objektif
             Objektif membina dan mengekalkan hubungan baik dengan media perlu berkait rapat dengan matlamat yang telah dikenal pasti. Objektif akan membantu menyokong matlamat perhubungan media.
            Objektif AirAsia Group Berhad ialah untuk menyediakan perkhidmatan penerbangan yang mampu digunakan oleh semua lapisan pengguna. Selain kos tambang yang murah, kekerapan jadual penerbangan ke lokasi-lokasi yang menarik, perjalanan yang mudah dan selesa serta menyeronokkan adalah menjadi landasan yang utama perniagaan AirAsia Group Berhad.

4.       Khalayak Sasaran
             Satu syarat yang unggul dalam membina pelan perhubungan media yang berkesan adalah mengetahui dan memahami khalayak. Oleh itu, perlu dipastikan dengan jelas khalayak sasaran supaya strategi dan pendekatan yang bersesuaian boleh dibangunkan untuk memenuhi keperluan penerima.
            Menurut Azleen Abdul Rahim (2015), di dalam penulisannya di Utusan Online yang bertajuk “Enam Rahsia Pemasaran AirAsia”, AirAsia memilih untuk menjadi peneraju industri penerbangan tambang rendah di Asia selepas melihat kejayaan Ryanair dan Easyjet di Eropah. Model ini amat sesuai dengan pasaran Malaysia dan Asia kerana penduduknya secara majoriti tidak mempunyai pendapatan yang tinggi, dan tidak mampu menggunakan pengangkutan udara kerana kos tiket yang terlalu mahal pada masa itu, tetapi amat gemar melancong. Dengan sebab itulah AirAsia telah membuat pilihan pasaran yang amat tepat di dalam memajukan perniagaan mereka.

5.       Pembinaan Strategi
            Apabila matlamat, objektif dan khalayak telah dikenal pasti, sudah tiba masanya untuk membina strategi. Seharusnya strategi dipandu dalam memenuhi matlamat dan objektif yang telah diaturkan. Dalam memenuhi objektif-objektif yang dinyatakan, strategi seharusnya menjadi pelan tindakan langkah-langkah dan perkara yang perlu dilaksanakan.
Menurut Mazlan Mohamad (2013), apabila ditanya mengenai apakah rahsia strategi perniagaannya di dalam wawancara Majalah Niaga yang bertajuk “Strategi Bisnes Tony Fernandes Membangunkan Air Asia”, Tan Sri Tony Fernandes memberikan jawapan bahawa tiada rahsia, yang ada hanyalah strategi bisnes yang tepat digunakan oleh AirAsia. Strategi bisnes AirAsia bukan sahaja terbatas pada strategi pemasaran dan produk semata-mata tetapi ia mencakupi dari semua aspek pengurusan bisnes.
Selain itu juga, para pekerja adalah aset syarikat. AirAsia menggelarkan pekerja-pekerjanya “AllStar” kerana bagi AirAsia faktor utama yang menyumbang kepada kejayaannya adalah peranan yang dimainkan oleh pekerja-pekerjanya.
Antara strategi yang lain adalah AirAsia memastikan pengurusan kos efektif. Ini kerana hanya dengan melalui pengurusan kos yang efektif sahaja yang akan membolehkan AirAsia terus menawarkan harga tambang penerbangan yang rendah pada pelanggan-pelanggannya. Kecekapan pengurusan AirAsia dalam mengawal kos terbukti dengan pengiktirafannya sebagai penerbangan tambang murah yang mempunyai kos terendah di dunia iaitu USD0.24 (RM0.82) untuk setiap tempat duduk.
Salah satu strategi bisnes AirAsia yang unik ialah membina hubungan dengan rakyat Malaysia. Setiap kejayaannya, kecil atau besar, bukan sahaja diraikan tetapi diwar-warkan sama ada di laman web mereka ataupun dihebahkan melalui media dan dipaparkan sebagai kejayaan rakyat Malaysia bersama. Bagi mereka, kejayaan ini bukanlah kejayaan peribadi semata tetapi kejayaan yang mesti dikongsi bersama rakyat Malaysia kerana jenama AirAsia merupakan jenama Malaysia.

6.       Mesej Utama & Pembangunan Sudut Cerita
             Mesej utama perlu dikenal pasti dengan jelas agar maklumat yang bersesuaian boleh disampaikan kepada khalayak ataupun orang ramai. Mesej utama yang betul adalah satu elemen penting untuk membina sudut media. Sudut media yang bersesuaian akan memberikan jaminan bahawa program atau acara tersebut adalah sesuatu yang boleh dipercayai dan memberi kesan kepada orang awam.
            Mesej utama AirAsia “Semua Orang Mampu Terbang” atau “Now Everyone Can Fly” telah diletakkan untuk membantu penjenamaan AirAsia. Tanpa perlu menggunakan ayat atau perkataan yang canggih, AirAsia mahu dikenali sebagai satu syarikat penerbangan yang mudah, berkualiti, selamat dan murah. Sesiapa sahaja jika ditanya, pasti akan ingat tagline AirAsia ini.
  
7.       Taktik
             Taktik adalah merupakan kaedah eksklusif yang diaplikasikan atau mengambil tindakan mudah untuk mencapai khalayak sasaran. Ia merupakan perkara penting dalam memenuhi matlamat organisasi. Pemilihan taktik perlu diselaraskan dengan matlamat dan objektif organisasi.
            Tanpa melalui ejen pelancongan sebagai penggerak utama dalam penjualan tiket, AirAsia menumpukan seluruh usaha ke arah pemasaran melalui taktik internet dan e-Commerce. Mereka sedar, bagaimana internet mampu mengubah dunia dan mereka mengeksploitasikannya untuk merealisasikan visi dan misi mereka. Penggunaan iklan secara online, laman web dan telefon pintar dijadikan kaedah utama berbanding cara tradisional yang menggunakan tiket fizikal ataupun tempahan melalui call centre. AirAsia memastikan pengalaman dan harapan para pelanggan ketika membuat tempahan tiket secara online dijadikan satu pengalaman yang sangat mudah dengan hanya menggunakan telefon pintar sahaja. 
  
8.       Pembangunan Senarai Media
             Setiap organisasi perlu sentiasa mengemas kini senarai agar berita dan maklumat dapat disampaikan dengan jayanya. Selain itu, satu senarai media yang menyeluruh sangat membantu dalam pengedaran maklumat dan bahan berita kepada orang awam.
Dapat dilihat bahawa jenis-jenis rangkaian media yang digunakan oleh syarikat AirAsia Group Berhad ialah melalui Media Tradisional dan juga Media Baru. Melalui media tradisional atau pun media cetak dan penyiaran, AirAsia sentiasa mengiklankan penerbangan tambang murahnya atau pun produk-produk keluarannya di stesen-stesen televisyen dan radio serta surat khabar. Selain itu, media baru yang digunakan oleh syarikat AirAsia adalah seperti mewujudkan sendiri laman web iaitu Airasia.com untuk kemudahan para pelanggan mengetahui maklumat terkini perkembangan semasa syarikat dan juga untuk membuat tempahan secara online. Laman web AirAsia boleh dilayari melalui alamat https://www.airasia.com/my/ms/about-us/corporate-profile.page.
Selain daripada itu juga, syarikat AirAsia telah mewujudkan sendiri media sosial antaranya seperti facebook, twitter, instagram, line, wechat dan lain-lain lagi yang di antaranya mempunyai jutaan pengikut. (sila rujuk rajah 1.0) Melalui laporan tahunan yang berakhir pada 31 Disember 2017, seramai 125 juta pelawat telah melayari laman web Airasia.com pada setiap bulan daripada 237 negara. (sila rujuk rajah 2.0).

No comments:

Post a Comment