TOPIK : BUSINESS LAW (BBUN2103)
TAJUK : ELEMEN-ELEMEN BAGI SEBUAH KONTRAK YANG SAH
PENGENALAN
Pada dasarnya,
kontrak dikuatkuasakan melalui Akta Kontrak 1950. Kontrak adalah perjanjian
yang dimeterai oleh dua, atau lebih individu yang mana kedua-duanya akan
terikat kepada perjanjian tersebut. Menurut Wikipedia (2016), Kontrak ialah
undang-undang yang mengawal urusan perjanjian. Perjanjian adalah suatu
persetujuan di antara dua belah pihak atau lebih yang berkaitan dengan suatu
perkara. Perlu difahami bahawa istilah kontrak adalah lebih khusus manakala
istilah perjanjian adalah lebih umum. Hanya perjanjian yang mempunyai ciri-ciri
kontrak sahaja yang mempunyai implikasi undang-undang. Sebagai contoh ringkas,
perbezaan di antara perjanjian dan kontrak ialah :-
a) Contoh Kontrak
Seorang peniaga telah memberitahu pemborong
bahawa si peniaga mahu membeli 200 batang penyapu daripada si pemborong dan
telah menandatangani dokumen pembelian. Walau bagaimanapun, setelah barangan
dihantar ke kedai, si peniaga telah bertukar fikiran untuk tidak mahu membeli
200 batang penyapu tersebut. Secara umumnya, si pemborong boleh menyaman si
peniaga tersebut.
b) Contoh Perjanjian
Seorang lelaki telah berjanji kepada teman
wanitanya untuk belanja makan di sebuah restoran pada pukul 2 petang keesokan
harinya. Akan tetapi, pada keesokan harinya wanita tersebut telah menunggu di
restoran tersebut pada pukul 2 petang tetapi lelaki tersebut tidak datang.
Secara umumnya, wanita tersebut tidak boleh menyaman lelaki tersebut kerana
telah mungkir janji untuk membelanjanya makan.
Oleh itu, seseorang itu perlu
memastikan bahawa sesuatu perjanjian yang dicapai adalah sah bagi membolehkan
ia dikuatkuasakan di sisi undang-undang sebagai suatu kontrak yang mengikat.
Sekiranya sesuatu perjanjian yang dicapai tidak dikuatkuasakan, maka
pihak-pihak terlibat tidak akan mendapat bantuan mahkamah jika mengalami
kerugian atau kegagalan. Soalan yang sering diajukan ialah, adakah kontrak itu
suatu perjanjian? Untuk lebih memahami persoalan itu, kita boleh merujuk kepada
Seksyen 10(1) yang memperuntukkan bahawa ”semua perjanjian adalah kontrak jika
dibuat atas kerelaan bebas pihak-pihak yang layak membuat kontrak, untuk
sesuatu balasan yang sah, dan dengan sesuatu tujuan yang sah, dan tidak
ditetapkan dengan nyata mengikut peruntukan akta ini bahawa ia batal”.
2.0 ELEMEN-ELEMEN
BAGI SEBUAH KONTRAK YANG SAH
Menurut Mazila Mohamed dan rakan-rakan (2016),
terdapat 8 elemen penting yang perlu di ambil kira oleh setiap individu sebelum
bersetuju dengan mana-mana perjanjian yang ditawarkan. Elemen ini perlu di
semak oleh setiap individu sebelum bersetuju mengikat perjanjian secara sah.
Perlu diingat bahawa kesemua elemen ini mestilah dipenuhi secara serentak.
Elemen-elemen tersebut ialah :-
2.1 Tawaran
(Offer)
Sebagaimana yang telah kita maklum, sebelum
adanya Akta Kontrak 1950, kita merujuk kepada Undang-undang Inggeris. Istilah
“tawaran” digunakan dalam Undang-undang Inggeris, manakala istilah “cadangan”
pula digunakan untuk Akta Kontrak 1950.
Seksyen 2(h) Akta Kontrak 1950 telah
mendefinisikan kontrak sebagai suatu perjanjian, yang boleh dikuatkuasakan oleh
undang-undang yang mana kontrak ini, akan mengikat pihak-pihak yang terlibat
secara sah.
Syarat bagi sesuatu tawaran itu ia mestilah
sesuatu tawaran yang jelas, dan dikomunikasikan kepada pihak yang akan membuat
penerimaan kepada tawaran tersebut. Jika tawaran yang diberikan tidak jelas,
atau tidak dikomunikasikan kepada pihak yang berkenaan, ia adalah terbatal.
Oleh yang demikian, “offer” atau tawaran itu
sangat penting untuk menjadikan kontrak itu sah dan mengikat kedua-dua pihak.
Tanpa tawaran, tidak akan ada jalinan kontrak yang sah di antara kedua-duanya.
2.2 Penerimaan
(Acceptance)
Jika dirujuk pada Seksyen 2(b) Akta Kontrak
1950, penerimaan ini didefinisikan sebagai persetujuan atau penerimaan kepada
tawaran yang telah ditawarkan sebelum ini.
Persetujuan ini bermaksud bahawa penerima
tawaran ini akan turut bersetuju dengan syarat-syarat dan terma-terma yang
telah ditetapkan.
Dengan adanya penerimaan tawaran ini, maka
sesebuah kontrak itu berjaya diwujudkan.
2.3 Balasan
(Consideration)
Elemen
ketiga ini tidak kurang pentingnya untuk menjadikan kontrak itu adalah sah di
sisi undang-undang. Perjanjian yang telah dibuat adalah batal sekiranya tanpa
balasan. Balasan yang dimaksudkan di sini ialah harga yang dibayarkan oleh
pihak yang menerima janji kepada pihak pembuat janji. Dalam Seksyen 2(d) Akta
Kontrak 1950, ada menyebut tentang balasan janji tersebut.
Oleh yang demikian, pihak yang membuat kontrak
mestilah mempunyai balasan masing-masing. Sebagai contoh, satu pihak mendapat
sebuah rumah, dan satu pihak yang lain mendapat sejumlah wang sebagai bayaran
pada harga yang telah dipersetujui oleh kedua-duanya.
2.4 Keupayaan
(Capacity)
Di dalam Akta
Kontrak 1950, Seksyen 11 turut ada menyentuh perkara berkaitan dengan keupayaan
ataupun kelayakan seseorang. Hakikatnya, hanya mereka yang dewasa, sempurna
akal dan tidak dihalang oleh mana-mana undang-undang sahaja yang layak untuk
membuat kontrak. Seseorang itu ditakrifkan sebagai dewasa apabila mencapai usia
dewasa iaitu 18 tahun.
Oleh yang demikian, mereka yang berumur di
bawah 18 tahun adalah tidak layak untuk membuat kontrak, kecuali dalam kes-kes
yang tertentu sahaja. Sebagai contoh, kontrak untuk keperluan atau insurans dan
juga biasiswa adalah sah jika kanak-kanak yang melaksanakan kontrak tersebut.
Secara mudahnya, bagi yang muflis, tidak waras
atau gila atau di bawah umur dewasa adalah tidak layak dan tidak berhak sama
sekali untuk terlibat dalam mana-mana urusan kontrak.
2.5 Niat
(Intention)
Niat atau kehendak terbahagi kepada 2 iaitu kontrak
yang melibatkan perjanjian perniagaan dan perjanjian domestik, keluarga dan
sosial. Mengikut andaian yang dibuat, jika kontrak itu melibatkan urusan
perniagaannya, pihak-pihak yang terbabit dikatakan mempunyai niat untuk membuat
perjanjian, dan mengikat mereka secara sah. Walau bagaimanapun masih boleh
disangkal jika mempunyai bukti yang jelas dan kukuh.
Bagi perjanjian yang melibatkan domestik,
keluarga dan sosial pula, andaian mengatakan pihak-pihak yang terlibat tidak
diniatkan untuk mengikat dan mempunyai hubungan yang mengikat secara sah di
sisi undang-undang. Sebagai contoh, sekiranya pihak suami berjanji dengan pihak
isteri secara lisan untuk menghadiahkan isteri pakej percutian, namun si suami
gagal berbuat berbuat demikian, maka si isteri tidak boleh membuat tuntutan
undang-undang.
Namun begitu, jika janji itu direkodkan atau
ditulis pada sekeping kertas, perjanjian itu boleh dikuatkuasakan kerana
kedua-dua belah pihak dikatakan berniat untuk menghasilkan sesuatu perjanjian
yang mengikat kedua-duanya secara sah.
2.6 Kepastian
(Certainty)
Kepastian
adalah salah satu elemen yang penting dalam sesebuah kontrak.
Perjanjian-perjanjian yang mempunyai unsur ketidakpastian, kabur, tidak jelas,
atau mengelirukan adalah batal dan tidak akan mengikat mana-mana pihak yang
terbabit.
Jika
kontrak itu mempunyai elemen yang tidak dapat dipastikan sama ada perjanjian
itu mencapai syarat utama perjanjian atau tidak, kontrak itu juga boleh
terbatal sebagaimana yang dinyatakan dalam Seksyen 30, Akta Kontrak 1950.
2.7 Kerelaan
(Free Consent)
Semua
pihak yang terlibat mestilah mempunyai kerelaan secara bebas. Ini adalah kerana
kesahan kontrak ini boleh dipertikai, jika persetujuan pihak-pihak yang
terlibat dalam kontrak ini diterima secara paksa dan tanpa rela.
2.8 Tujuan
Yang Sah (Valid Object)
Perlu
diingatkan bahawa, sesuatu kontrak yang dibuat haruslah untuk sesuatu yang
tidak menyalahi undang-undang.
Oleh itu, setiap pihak yang terlibat dalam
mana-mana perjanjian mahupun kontrak mestilah mengambil tahu akan kepentingan
kesemua elemen dalam kesahan untuk membuat kontrak ini. Jika terdapat satu
elemen yang hilang, kontrak itu boleh dipertikaikan dan mungkin akan
mengakibatkan terbatal.
No comments:
Post a Comment